Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pelibatan sektor swasta menerusi program pemerkasaan komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, serta usahawan mikro.
Menurut baginda, inisiatif sedemikian bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi setempat, malah memberikan sumbangan langsung ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan mampan.
“Komitmen berterusan sektor swasta, khususnya UEM Group menerusi sayap kebajikannya, Yayasan UEM terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri Perlis melalui pelaksanaan inisiatif jangka masa panjang yang berteraskan pendidikan, serta pemerkasaan pembangunan dan sosioekonomi usahawan mikro tempatan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Yayasan UEM di Perlis yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar.
Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Yayasan UEM, YBhg. Datuk Noorazman Abd Aziz; Pengarah Urusan Kumpulan UEM, YBhg. Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, YBrs. Puan Aishah Nor.

Dalam ucapannya, Aishah Nor memaklumkan bahawa bermula tahun 2025, UEM Group menerusi Yayasan UEM telah memulakan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih mampan dan berimpak jangka masa panjang di Perlis dengan penekanan utama diberikan kepada sektor pendidikan.
Menurut beliau, meskipun pengurusan pendidikan di Perlis berada pada tahap yang baik, sokongan tambahan diyakini mampu memberikan nilai tambah yang signifikan.
Sehubungan dengan itu, Yayasan UEM telah melaksanakan Program Tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun lalu dengan peruntukan berjumlah RM350,000 yang memberikan manfaat kepada sebanyak 860 orang pelajar.
Tahun 2025 turut menyaksikan peluasan Program Pembangunan Usahawan Yayasan UEM ke Perlis dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sebanyak 15 orang usahawan mikro daripada golongan B40 dipilih menyertai program selama dua tahun itu yang melibatkan bantuan berbentuk barangan dan bimbingan latihan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250,000.
Pada majlis yang sama, Yayasan UEM turut menganjurkan Program Kembali ke Sekolah yang melibatkan sebanyak 150 orang pelajar daripada golongan memerlukan.
Selain itu, Yayasan UEM bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengenal pasti 150 orang penerima daripada golongan asnaf untuk menerima agihan bantuan Ramadan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyaksikan simbolik penyampaian barangan persekolahan kepada 15 orang pelajar, serta penyampaian sumbangan Yayasan UEM berjumlah RM50,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Baginda juga berkenan menyempurnakan pengagihan sumbangan MAIPs berjumlah RM105,000, serta sumbangan Yayasan UEM sebanyak RM150 wang tunai dan kotak makanan kepada 150 orang asnaf terpilih.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700 daripada MAIPs yang melibatkan 75 orang penerima daripada Kariah Behor Empiang dan 75 orang penerima daripada Kariah Alwi, Kangar.
