Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeberang Perai – Kumpulan Barkath Sdn. Bhd., sebuah jenama ikonik dalam industri makanan negara sejak tahun 1940 meraikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-85 bertempat di premis HACKS Malaysia Sdn. Bhd., Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan menyempurnakan acara penuh bermakna tersebut.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Kumpulan Barkath, YBhg. Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi syarikat.

Sempena sambutan ini, baginda berdua turut berkenan mencemar duli melakukan lawatan ke beberapa premis kemudahan utama syarikat, termasuk Bahagian Operasi Kilang, Gudang Penyimpanan, serta Galeri Anugerah Kumpulan Barkath yang menampilkan sejarah kecemerlangan, pencapaian dan legasi lebih lapan dekad syarikat tersebut.
Kunjungan turut diteruskan ke kawasan gudang bagi meninjau operasi semasa.
Majlis turut menyaksikan Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik Sambutan Ulang Tahun ke-85 Kumpulan Barkath sebagai manifestasi komitmen syarikat untuk terus maju, memperkukuh inovasi dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju produk makanan berkualiti di Malaysia.
Sambutan ulang tahun ini bukan sekadar meraikan perjalanan panjang Kumpulan Barkath dalam industri, tetapi turut menjadi inspirasi kepada generasi pewaris untuk mempertahankan mutu, inovasi dan legasi perniagaan keluarga yang menjadi kebanggaan negeri Pulau Pinang dan negara.
Sebagai rekod, syarikat ini merupakan pengeluar gula-gula HACKS, antara produk yang begitu sinonim dan digemari rakyat Malaysia. Kumpulan Barkath juga mengeluarkan produk minuman Sunquick melalui kerjasama strategik dengan Denmark.
Selain itu, pelbagai produk lain turut dihasilkan bersama-sama syarikat tempatan, iaitu Barkath Foods Sdn. Bhd. dan Class Foods Sdn. Bhd.