Diterbitkan pada 12 Disember 2025, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kemalangan jalan raya mencetuskan gelombang kesedihan di seluruh negara. Namun begitu, di sebalik kesan emosi tersebut, terserlah satu realiti pahit yang sering dipandang ringan. Kemalangan jalan raya bukan sekadar isu keselamatan, malah turut memberikan kesan besar dan  berterusan kepada ekonomi negara.

Menurut laporan Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerugian akibat kemalangan jalan raya mencecah RM25 bilion pada tahun 2023, meningkat daripada RM19.7 bilion pada tahun sebelumnya. Angka ini bersamaan dengan hampir 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus meletakkan keselamatan jalan raya sebagai satu daripada penyumbang terbesar kepada kerugian ekonomi negara. Kemalangan jalan raya menjadi beban sistemik yang menuntut perhatian segera, khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi mampan.

Kerugian ekonomi akibat kemalangan tidak terbatas kepada kos rawatan perubatan semata-mata. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menganggarkan bahawa setiap kematian akibat kemalangan jalan raya membawa kepada kerugian ekonomi melebihi RM3.12 juta berdasarkan nilai statistik kehidupan [Value of Statistical Life (VSL)] pada tahun 2018. Anggaran ini merangkumi kehilangan produktiviti sepanjang hayat bekerja, kos rawatan perubatan, litigasi, kerosakan harta benda, serta kesan psikososial terhadap keluarga dan masyarakat.

Menurut laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 6,080 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2023 dengan sekitar 68 peratus hingga 70 peratus melibatkan penunggang motosikal, iaitu kumpulan paling terdedah dalam statistik kematian negara. Kajian turut menunjukkan bahawa individu berusia 21 tahun hingga 30 tahun mencatatkan peratusan tertinggi pesakit kemalangan, iaitu 36.29 peratus dengan jumlah kos rawatan melebihi RM742,000.

Hal ini terbukti apabila pada 9 Jun 2025, negara dikejutkan dengan nahas di Jalan Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tragedi paling buruk dalam sejarah kemalangan melibatkan pelajar institusi pendidikan tinggi. Kehilangan golongan muda ini bukan sahaja menjejaskan jumlah tenaga kerja, bahkan turut menyusutkan potensi pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang negara.

Laporan The High Toll of Traffic Injuries: Unacceptable and Preventable oleh Bank Dunia pada tahun 2017 menegaskan bahawa kemalangan jalan raya memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk Malaysia. Laporan tersebut menyatakan bahawa kos sosial akibat kemalangan boleh mencecah sehingga tiga peratus daripada KDNK sesebuah negara. Kos ini merangkumi kehilangan produktiviti, kos rawatan perubatan dan kerugian ekonomi lain yang berkaitan dengannya.

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila lebih daripada 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas. Dalam konteks ini, kehilangan golongan muda akibat kemalangan menjadi lebih kritikal kerana mempercepat krisis tenaga kerja dan meningkatkan kebergantungan kepada pekerja asing, sekali gus memberikan kesan kepada struktur ekonomi nasional.

Kos rawatan untuk mangsa trauma akibat kemalangan juga jauh lebih tinggi daripada rawatan penyakit biasa. Kajian Ismail et al. (2020) menunjukkan bahawa 84.2 peratus mangsa kemalangan dimasukkan ke hospital antara satu hingga 10 hari, manakala kes paling lama melebihi 41 hari. Kos rawatan bagi pesakit yang dirawat selama 51 hari dan ke atas mencecah RM33,002 diikuti dengan RM31,155 untuk tempoh rawatan 41 hari hingga 50 hari.

Hal ini meningkatkan beban terhadap sistem kesihatan negara yang terpaksa menangguhkan atau mengehadkan sumber bagi rawatan penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan darah tinggi. Laporan Tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2023 pula mencatatkan peningkatan 50.2 peratus dalam kes kecederaan melibatkan petugas kesihatan pada tahun 2022.

Tekanan terhadap sistem kesihatan ini turut menjejaskan kesejahteraan petugas barisan hadapan. Kajian Tarcan et al. (2017) mendapati bahawa keletihan emosi merupakan peramal signifikan terhadap tahap kepuasan kerja dalam kalangan profesional kesihatan kecemasan.

Hal ini membuktikan bahawa kemalangan jalan raya bukan sahaja membebankan mangsa dan keluarga, malah memberikan kesan berantai kepada keseluruhan ekosistem kesihatan negara. Oleh itu, pendekatan pencegahan berasaskan polisi, pelaburan keselamatan dan pendidikan awam menjadi strategi jangka masa panjang penting untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan, serta membebaskan kapasiti bagi keperluan rawatan lain.

Dari aspek kerosakan infrastruktur pula, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan bahawa kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori muatan dan bas ekspres menyumbang secara signifikan kepada kerosakan jalan raya, jambatan, pembahagi jalan dan lampu isyarat. Kenderaan muatan berlebihan menyebabkan permukaan jalan cepat rosak, terutama di laluan perindustrian dan lebuh raya utama.

Laporan Audit Negara 2022 melaporkan bahawa sebahagian besar jalan yang dibaiki perlu diturap semula dalam tempoh kurang daripada dua tahun, khususnya di kawasan dengan kadar lalu lintas berat yang tinggi. Data MIROS menunjukkan bahawa kira-kira 12 peratus kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam dengan purata kos pembaikan mencecah RM40,000 bagi setiap insiden serius.

Dalam jangka masa panjang, kemerosotan infrastruktur ini menjejaskan kelancaran logistik, perjalanan harian rakyat dan imej negara sebagai hab pengangkutan serantau. Oleh itu, pelaburan dalam teknologi pemantauan jalan, sistem had muatan digital dan penyelenggaraan berjadual yang lebih cekap amat diperlukan bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur negara.

Kemalangan turut membawa kesan sosioekonomi dan psikologi yang mendalam. Kajian mengenai trauma kemalangan menunjukkan bahawa ahli keluarga mangsa, khususnya pasangan dan anak-anak berisiko mengalami tekanan psikologi berpanjangan seperti kemurungan, gangguan tidur, kebimbangan melampau dan kesukaran menyesuaikan diri dengan rutin harian.

Kesan ini boleh merencatkan kestabilan emosi dan sosial, serta mempengaruhi pencapaian pendidikan dan hubungan sosial kanak-kanak dan remaja. Di samping itu, kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan sering menyebabkan isi rumah terjerumus ke dalam kelompok berpendapatan rendah (B40). Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (Nurrul Hafeezah Sahak, 2023) menunjukkan bahawa pendapatan keluarga biasanya merosot ke paras kritikal dalam tempoh dua tahun selepas kejadian, sekali gus meningkatkan ketidaksamaan ekonomi dan kebergantungan pada bantuan kerajaan.

Dalam konteks sosiokomuniti, insiden kemalangan besar turut mencetuskan trauma kolektif dalam kalangan penduduk setempat, khususnya di kawasan luar bandar. Hal ini terbukti dalam kes melibatkan pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan apabila penduduk melaporkan kebimbangan berpanjangan untuk menggunakan laluan sama selepas tragedi berlaku. Oleh itu, pendekatan sokongan psikososial, skim bantuan kecemasan, serta pendidikan keselamatan perlu diperkasakan sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya negara.

Pelaburan Keselamatan Jalan Raya sebagai Strategi Ekonomi Negara

Dalam era globalisasi dan urbanisasi pesat, keselamatan jalan raya bukan lagi isu pinggiran tetapi elemen teras dalam agenda pembangunan mampan negara. Laporan World Bank 2022 menegaskan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya memberikan pulangan tinggi kepada pertumbuhan ekonomi. Setiap RM1 yang dilaburkan berpotensi menjanakan pulangan RM4 hingga RM7 melalui pengurangan kos rawatan, penurunan kadar kemalangan dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.

Laporan International Road Assessment Programme (iRAP) pula menjelaskan bahawa jika Malaysia meningkatkan tahap keselamatan pada hanya 10 peratus laluan berisiko tinggi, negara berpotensi menjimatkan lebih daripada RM3 bilion dalam tempoh lima tahun. Manfaat ini bukan sahaja ekonomi bahkan juga sosial, termasuk penurunan kadar kematian dan kecederaan parah.

Kadar kemalangan yang tinggi turut menjejaskan imej negara. Laporan Global Competitiveness Index 2023 menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-56 dalam aspek keselamatan jalan raya, jauh di belakang Singapura (ke-8) dan Thailand (ke-42). Kajian Universiti Putra Malaysia (Daud et al., 2023) menunjukkan bahawa sebilangan pelancong asing mengelak daripada menyewa kenderaan atau menggunakan lebuh raya kerana bimbang akan mutu infrastruktur dan keselamatan jalan raya negara yang secara langsung menjejaskan pendapatan sektor pelancongan dan hospitaliti.

Tragedi yang meragut sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei 2025 dan 15 orang pelajar UPSI ini cerminan kegagalan kolektif sistem keselamatan jalan raya negara. Jika kegagalan ini berterusan, ekonomi negara akan terus dibebani, imej Malaysia akan tercalar dan lebih banyak nyawa akan melayang setiap tahun.

Tuntasnya, pembaharuan menyeluruh mesti dilaksanakan segera melibatkan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat. Dengan kesungguhan dan pelaburan strategik dalam keselamatan jalan raya, Malaysia mampu mewujudkan sistem pengangkutan yang bukan sahaja selamat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Dr. Ku Boon Dar dan Profesor Madya Dr. See Kok Fong ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Kredit Foto: fxquadro on Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi