Diterbitkan pada 6 Disember 2025, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta pada 1 Disember 2025 bagi melaksanakan kerja membaik pulih cerun runtuh di beberapa lokasi sepanjang Laluan FT226 Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian serta Jalan Pagar Keselamatan Bukit Kuan Choh.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, YBrs. Encik Ir. Norikhwan Haji Abu Seman, kerja awalan dijangka dimulakan dalam masa terdekat, manakala kerja penambahbaikan utama dijadualkan bermula pada Januari 2026.

“Tempoh keseluruhan pembaikan dianggarkan mengambil masa antara enam bulan hingga 12 bulan, bergantung pada keadaan cuaca dan tahap kerosakan,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan projek pemulihan itu  melibatkan beberapa teknik kejuruteraan cerun seperti dinding penahan berangkur (tie back wall), paku tanah (soil nailing), kawalan hakisan dan pemendapan (erosion and sediment control measures), hidrosungkuran (hydromulching) serta jaringan penahan guguran batu (rockfall netting).

“Pendekatan teknikal bersepadu itu dipilih bagi memastikan kestabilan cerun dalam jangka panjang, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya lagi.

Kenyataan tersebut dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika baginda berkenan berangkat mengadakan lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Wang Kelian, Kaki Bukit.

Tambah YBrs. Encik Norikhwan, Laluan FT226 Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian masih ditutup kepada orang awam, namun pergerakan kenderaan secara berjadual dibenarkan bagi kenderaan yang tidak melebihi tiga tan.

“Dari pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi, laluan tersebut dibuka secara terhad kepada penduduk setempat, kenderaan yang terlibat dalam kerja pembaikan, selain pelancong atau individu yang ingin mengambil kenderaan yang terkandas.”

“Dari pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi, pergerakan dihadkan kepada penduduk kampung, pasukan pembaikan serta urusan kecemasan sahaja,” jelasnya lagi.

Pada kesempatan itu, DYTM Tuanku Raja Muda turut menasihati para pengguna supaya sentiasa berhati-hati serta merancang perjalanan lebih awal bagi meminimumkan risiko sepanjang tempoh pembaikan, sebelum laluan kembali berfungsi sepenuhnya kelak.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau kerja pembaikan cerun runtuh di Laluan FT226 bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi