Diterbitkan pada 13 Oktober 2025, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Belanjawan MADANI Keempat bagi tahun 2026 muncul sebagai batu penjuru penting dalam transformasi struktur ekonomi negara. Hal ini menandakan satu peralihan yang jelas daripada fasa pemulihan pascapandemik kepada fasa pertumbuhan yang lebih berkualiti, produktif dan inklusif. Dengan peruntukan mencecah RM470 bilion, dokumen fiskal ini bukan sekadar angka dan unjuran, tetapi cerminan kepada satu falsafah ekonomi baharu yang cuba mengimbangi disiplin kewangan negara dengan keadilan sosial yang sebenar.

Pembentangan belanjawan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 10 Oktober 2025 bukanlah satu acara ritual tahunan semata-mata, sebaliknya merupakan satu kenyataan dasar yang menggambarkan kematangan negara dalam perancangan makroekonomi. Dengan hasil kerajaan diunjurkan sebanyak RM343.1 bilion dan defisit fiskal menurun kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Belanjawan 2026 memperlihatkan keseimbangan antara dasar fiskal mengembang dengan konsolidasi fiskal yang sederhana.

Sebagai fasa pertama kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), belanjawan ini meletakkan asas bagi pertumbuhan berkualiti, iaitu kestabilan makroekonomi tidak dikorbankan demi pengembangan semata-mata. Dari lensa ekonomi pembangunan, pendekatan ini mencerminkan keseimbangan antara pertumbuhan inklusif dengan keanjalan ekonomi jangka masa panjang.

Lebih mendalam, belanjawan ini memperlihatkan suatu anjakan nilai dalam pendekatan ekonomi negara. Dengan kata lain, agenda pembangunan kini lebih berfokus kepada inklusiviti dan keberdayaan.

Kesejahteraan Rakyat

Antara komponen paling menonjol ialah komitmen untuk menoktahi kemiskinan tegar menjelang tahun 2026. Dengan kadar kemiskinan tegar kini berada pada paras 0.09 peratus, kejayaan ini banyak dipacu oleh pelbagai intervensi bersasar seperti program SARA untuk Semua, Dana Ikhtiar MADANI berjumlah RM1 bilion, serta Dana Sejahtera MADANI sebanyak RM120 juta. Namun begitu, kejayaan sebenar tidak terletak pada statistik semata-mata, tetapi pada keupayaan dasar ini mencetuskan mobiliti sosial ke atas.

Dalam kerangka ekonomi kebajikan (welfare economics), pelaksanaan program ini jelas memenuhi prinsip kecekapan Pareto (Pareto efficiency) dengan meningkatkan kesejahteraan segolongan rakyat tanpa menjejaskan golongan lain. Lebih penting lagi, hal ini menandakan perubahan pendekatan daripada bantuan pasif kepada pemerkasaan aktif dengan penerima dibimbing untuk berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan secara berperingkat.

Program seperti Perkhidmatan Bergerak MADANI, serta Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI turut memperkukuh keadilan dari segi geografi dan ruang dengan memastikan bahawa manfaat pembangunan sampai ke kawasan pedalaman dan luar bandar, bukan sekadar berpusat di kota. Walau bagaimanapun, untuk menjamin keberkesanan jangka masa panjang, bantuan sementara ini mesti diiringi dengan pembangunan kapasiti melalui latihan kemahiran, literasi digital dan keusahawanan komuniti yang bersifat lestari.

Pendidikan Tinggi dan Modal Insan: Teras Produktiviti Negara

Peruntukan RM18.6 bilion kepada sektor pengajian tinggi pula memperlihatkan kesedaran bahawa pendidikan bukan lagi sekadar perbelanjaan sosial, tetapi pelaburan strategik dalam modal insan negara. Melalui kaca mata Teori Modal Insan, pelaburan dalam pendidikan terbukti meningkatkan produktiviti individu dan mencetuskan pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang.

Pelbagai inisiatif seperti biasiswa berjumlah RM4.4 bilion, Program Dapur MADANI (RM26 juta), MySiswa Job On Campus (RM20 juta), serta pengecualian bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar miskin di universiti awam (RM120 juta) merupakan contoh nyata akses kepada pendidikan ditanggapi sebagai teras kemakmuran nasional.

Lebih menarik, tumpuan baharu kerajaan terhadap bidang seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga boleh baharu menunjukkan pemahaman mendalam tentang keperluan penstrukturan semula tenaga kerja dalam menghadapi revolusi teknologi global. Universiti awam kini berfungsi sebagai rakan strategik pembangunan negara. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya, memainkan peranan penting dalam penyelidikan AI dan semikonduktor, selain terlibat dalam pembangunan mesin dialisis mudah alih serta pembinaan Blok Pembedahan Canggih di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian.

Projek sebegini mencerminkan konsep pulangan pelaburan sosial (SRoI) yang menilai keberkesanan perbelanjaan awam berdasarkan impak sosial dan ekonomi berganda kepada masyarakat.

Subsidi dan Rasionalisasi Fiskal: Kecekapan Melalui Sasaran

Satu langkah paling strategik dan berani dalam Belanjawan 2026 ialah usaha rasionalisasi subsidi yang dijangka menjimatkan RM15.5 bilion setiap tahun. Penjimatan ini melibatkan subsidi ayam dan telur (RM2 bilion), elektrik (RM6 bilion), diesel (RM5 bilion) dan RON95 (RM2.5 bilion).

Di bawah pendekatan baharu ini, kerajaan memperkenalkan Program BUDI95 yang membolehkan 10 juta rakyat menikmati harga petrol RM1.99 seliter, manakala petani, nelayan dan pekebun kecil menerima bantuan diesel sebanyak RM200 sebulan. Dari sudut teori ekonomi awam, langkah ini memenuhi prinsip kecekapan Pigouvian, iaitu mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan peruntukan sumber.

Langkah ini mungkin tidak popular dari sudut politik, namun penting untuk kelangsungan fiskal negara. Malaysia sedang bergerak daripada subsidi penggunaan ke arah subsidi pembangunan menyaksikan penjimatan tersebut disalurkan semula ke sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur rakyat. Pendekatan ini mencerminkan kematangan fiskal yang diperlukan dalam mengimbangi antara keperluan sosial dengan tanggungjawab fiskal jangka masa panjang.

Dasar Peluang Kedua: Pemulihan sebagai Strategi Pembangunan

Satu lagi aspek yang mencerminkan pendekatan progresif kerajaan ialah pelaksanaan Dasar Peluang Kedua dengan peruntukan RM15 juta. Dasar ini menyasarkan kelompok yang sering terpinggir seperti bekas bankrap, ibu tunggal, mangsa penipuan kewangan dan bekas banduan, iaitu golongan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dalam dasar kebajikan arus perdana.

Berbeza daripada model tradisional yang berasaskan bantuan sementara, pendekatan ini lebih bersifat pemulihan dengan matlamat membina semula kehidupan dan mengintegrasikan individu dalam ekonomi produktif.

Selain itu, pengecualian cukai bagi perusahaan sosial sehingga tahun 2028 dan geran padanan berjumlah RM120 juta mengukuhkan lagi peranan sektor sosial sebagai enjin pembangunan lestari. Peruntukan RM10 juta untuk pendaftaran dan penyediaan kemudahan asas bagi kanak-kanak pelarian dan tanpa dokumen, walaupun kecil dari segi jumlah, membawa impak besar dalam menzahirkan nilai kemanusiaan dalam dasar fiskal negara.

Belanjawan sebagai Cerminan Nilai dan Hala Tuju Negara

Secara keseluruhan, Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi juga sebuah pernyataan nilai dan wawasan. Belanjawan ini menyeimbangkan tiga tonggak utama pembangunan negara, iaitu kestabilan fiskal melalui disiplin kewangan, pertumbuhan produktif melalui pelaburan strategik, serta kesejahteraan rakyat melalui dasar sosial yang inklusif.

Dalam landskap ekonomi moden, kejayaan sesebuah negara tidak lagi diukur hanya pada kadar pertumbuhan KDNK, tetapi juga pada keupayaan rakyatnya untuk menikmati dan mengekalkan kemakmuran yang dicipta. Belanjawan MADANI 2026 menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk membina sebuah ekonomi yang bukan sahaja maju, tetapi juga adil, berdaya saing dan berperikemanusiaan.

Dr. Lim Chee Ann ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Beliau berpengalaman dalam bidang ekonomi pembangunan dan ekonomi sektor awam dengan tumpuan penyelidikan merangkumi kos sara hidup, pembangunan indeks dan kajian polisi.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi