Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap kali seseorang membeli secawan kopi, mengisi minyak kenderaan, atau membuat keputusan untuk membeli perabot baharu, tindakan itu bukan sekadar memenuhi keperluan peribadi. Sebenarnya, setiap ringgit yang dibelanjakan mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi dan membentuk kuasa kolektif yang dikenali sebagai penggunaan swasta (private consumption). Dalam wacana ekonomi negara, istilah seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI) dan dasar fiskal sering menjadi tumpuan. Namun begitu, enjin sebenar yang menggerakkan jentera ekonomi Malaysia saban hari terletak lebih dekat, iaitu dalam dompet rakyat dan pada keputusan perbelanjaan setiap isi rumah.

Satu kajian oleh Iszan Hana dan lain-lain dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2017 mengesahkan kepentingan penggunaan swasta sebagai komponen terbesar ekonomi negara. Lebih daripada itu, kajian berkenaan turut menunjukkan fungsi hubungan kompleks antara penggunaan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi saling memperkukuh antara satu sama lain. Oleh itu, pemahaman terhadap hala tuju ekonomi negara perlu bermula dengan memahami kuasa di sebalik perbelanjaan pengguna.

Apakah Sebenarnya Penggunaan Swasta?

Secara mudah, penggunaan swasta merujuk jumlah perbelanjaan isi rumah untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Komponen ini boleh dipecahkan kepada tiga kategori utama:

  1. Barangan Tahan Lama: Barangan fizikal yang mempunyai jangka hayat lebih daripada tiga tahun seperti kereta, perkakas elektrik dan perabot. Corak perbelanjaan ini sering mencerminkan keyakinan pengguna terhadap kestabilan pendapatan masa hadapan.
  2. Barangan Tidak Tahan Lama: Barangan yang habis digunakan dalam tempoh yang singkat, antaranya termasuklah makanan, minuman, petrol dan pakaian. Perbelanjaan ini biasanya konsisten kerana berkait dengan keperluan asas.
  3. Perkhidmatan: Semua bentuk perbelanjaan untuk barangan tidak ketara, termasuk kos sewa rumah, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, hiburan dan pelancongan. Sektor perkhidmatan kini membentuk sebahagian besar daripada corak perbelanjaan moden.

Di Malaysia, penggunaan swasta telah menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK sejak sekian lama, lazimnya melebihi 55 peratus dan kadangkala mencapai 60 peratus. Hal ini bermakna lebih separuh daripada nilai keseluruhan ekonomi negara dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan isi rumah. Oleh itu, sebarang peningkatan atau pengurangan dalam perbelanjaan rakyat memberikan kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kesan Pengganda: RM1 Menjadi RM5

Nilai sebenar penggunaan swasta tidak hanya terhenti pada jumlah ringgit yang dibelanjakan. Setiap perbelanjaan mencetuskan kesan pengganda (multiplier effect). Sebagai contoh, apabila RM100 dibelanjakan untuk makan malam di sebuah restoran, wang tersebut seterusnya mengalir kepada pekerja restoran, pembekal bahan, petani dan nelayan. Setiap lapisan dalam rantaian itu menjanakan pendapatan baharu yang kemudiannya dibelanjakan semula. Dengan cara ini, satu transaksi kecil boleh mewujudkan gelombang ekonomi yang berulang dan berlipat ganda.

Fenomena ini juga menjelaskan faktor kelembapan dalam perbelanjaan pengguna boleh memberikan impak yang jauh lebih besar kepada ekonomi. Jika rakyat mengurangkan perbelanjaan kerana ketidaktentuan ekonomi, seluruh rantaian ekonomi akan merasai kesannya.

Perbelanjaan Pengguna: Pemacu Utama Ekonomi Negara?

Persoalan utama sering timbul, iaitu adakah rakyat berbelanja kerana ekonomi berkembang, atau ekonomi berkembang kerana rakyat berbelanja? Meneliti data ekonomi Malaysia sejak tahun 1970 menunjukkan bahawa penggunaan swasta, pelaburan oleh syarikat dan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring. Walaupun ketiga-tiganya saling mempengaruhi, perbelanjaan pengguna terbukti memainkan peranan penting sebagai pencetus utama pertumbuhan ekonomi.

Apabila rakyat berbelanja, permintaan terhadap barang dan perkhidmatan meningkat. Peningkatan ini mendorong syarikat untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, sekali gus melabur bagi memperluas kapasiti. Hasilnya, ekonomi berkembang dengan lebih pesat. Secara ringkas, keyakinan pengguna bukan sahaja memberi nyawa kepada perniagaan, malah menyumbang secara menyeluruh kepada pembangunan ekonomi negara.

Implikasi Dasar Awam dan Strategi Perniagaan

Pemahaman terhadap peranan penggunaan swasta sebagai nadi ekonomi membawa implikasi penting kepada penggubal dasar dan pemimpin perniagaan. Bagi kerajaan, dasar yang menyokong dan meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) isi rumah adalah kritikal. Antara langkah utama yang boleh dilaksanakan termasuklah:

  1. Pengurusan Inflasi: Memastikan kadar inflasi, terutamanya bagi barangan keperluan asas berada pada tahap terkawal merupakan keutamaan. Inflasi yang tinggi akan menghakis kuasa beli pengguna dan mengurangkan jumlah wang yang tersedia untuk perbelanjaan lain.
  2. Bantuan Bersasar: Inisiatif berbentuk bantuan tunai berfungsi sebagai suntikan langsung kepada ekonomi. Golongan berpendapatan rendah lazimnya membelanjakan sebahagian besar pendapatan tambahan mereka, sekali gus memberikan rangsangan segera kepada permintaan domestik.
  3. Pasaran Buruh yang Stabil: Dasar yang menggalakkan pewujudan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang berdaya saing menjadi asas kepada kelestarian penggunaan swasta. Pekerjaan yang stabil dan pendapatan yang meningkat akan memperkukuh keyakinan rakyat untuk berbelanja.
  4. Struktur Cukai: Sebarang semakan atau pengenalan cukai penggunaan perlu diteliti dengan mendalam bagi menilai kesannya terhadap corak perbelanjaan dan sentimen pengguna.

Bagi sektor korporat, penekanan tidak boleh hanya tertumpu pada pasaran eksport semata-mata. Permintaan domestik yang dipacu oleh penggunaan swasta merupakan pasaran yang stabil dan berdaya tahan. Perniagaan perlu mengambil kira perubahan cita rasa, demografi dan kuasa beli pengguna tempatan. Inovasi produk, strategi pemasaran yang berkesan dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang menjadi kunci utama bagi merebut peluang dalam pasaran domestik yang dinamik.

Cabaran Masa Hadapan

Walaupun memainkan peranan yang penting, penggunaan swasta di Malaysia berdepan dengan beberapa cabaran yang signifikan. Peningkatan berterusan kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan isi rumah. Selain itu, tahap hutang isi rumah yang tinggi mengekang keupayaan berbelanja kerana sebahagian besar pendapatan terpaksa diperuntukkan untuk bayaran balik pinjaman.

Pelarasan fiskal seperti kenaikan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut memberikan tekanan langsung terhadap pengguna. Peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus bagi pelbagai sektor menjadikan kos untuk mendapatkan perkhidmatan tertentu semakin tinggi. Keadaan ini secara langsung mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah kerana lebih banyak wang dialihkan kepada cukai, sekali gus mengecilkan baki untuk simpanan atau perbelanjaan lain. Tanpa pertumbuhan pendapatan yang seimbang, cabaran ini berisiko melemahkan sentimen pengguna dan menjejaskan momentum penggunaan swasta yang menjadi tunjang ekonomi.

Ketidaktentuan ekonomi global seperti konflik perdagangan atau kelembapan ekonomi di negara maju juga memberikan kesan melalui pasaran pekerjaan dan tahap keyakinan pengguna. Sekiranya syarikat yang berorientasikan eksport terjejas, pemberhentian pekerja boleh berlaku, sekali gus mengurangkan pendapatan isi rumah dan kuasa beli rakyat.

Menuju Kemakmuran Bersama

Penggunaan swasta bukan sekadar komponen dalam KDNK, tetapi juga mencerminkan keyakinan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah merupakan enjin utama yang menggerakkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan makmur, tumpuan strategik perlu diberi kepada usaha memperkasakan pengguna. Pemerkasaan ini menuntut pembentukan ekosistem yang holistik merangkumi dasar kerajaan yang melindungi kuasa beli, pasaran pekerjaan yang menawarkan pendapatan setimpal dan sektor perniagaan yang inovatif dan responsif terhadap keperluan domestik. Dompet pengguna ialah cerminan kesihatan ekonomi negara dan menjaganya bermakna menjaga masa hadapan yang lebih sejahtera untuk semua.

Mohamad Fadhlullah Omar ialah Pegawai Ekonomi di Kementerian Kewangan Malaysia dan Profesor Madya Dr. Amirul Afif Muhamat ialah Ketua Penyelidik bagi Climate Risk and Sustainable Finance RIG serta Pensyarah Kewangan dan Perbankan Islam di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi