Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kenaikan gaji penjawat awam menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) disambut dengan rasa syukur dan kelegaan. Kira-kira 1.5 juta penjawat awam seluruh negara bakal menerima manfaat daripada sistem ini, sekali gus menandakan fasa baharu kepada kerajaan bagi memperkasakan kesejahteraan golongan pekerja sektor awam.

Pelarasan gaji yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024 dibuat secara lebih berfokus berasaskan prestasi kerja. Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pegawai dalam Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus.

Namun begitu, timbul juga peringatan penting daripada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Presidennya, YBhg. Datuk Adnan Mat mengingatkan penjawat awam agar tidak terjebak dalam kitaran hutang baharu hanya kerana berasa lebih “lapang” selepas menerima kenaikan gaji. Nasihat ini bukanlah tanpa asas, sebaliknya bersandarkan trend yang menyaksikan banyak penjawat awam cenderung membuat pinjaman baharu atau menyambung pinjaman sedia ada secara bertindih (overlap) sehingga akhirnya terjerat dalam komitmen kewangan yang membebankan diri sendiri.

Isu keberhutangan dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu. Sebahagiannya berpunca daripada ketidakseimbangan antara gaji dengan kos sara hidup, khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan bandar. Terdapat mereka yang mempunyai keinginan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu dengan berbelanja lebih daripada kemampuan demi menjaga penampilan atau status sosial. Keadaan ini diburukkan lagi dengan akses yang terlalu mudah kepada kemudahan kredit seperti kad kredit dan pinjaman peribadi dengan kadar faedah rendah. Institusi kewangan tidak teragak-agak menawarkan pelbagai pakej pinjaman yang tampak menarik kepada penjawat awam, namun sering kali memerangkap mereka dalam jangka panjang.

Selain itu, faktor komitmen keluarga juga memainkan peranan besar. Kos pendidikan anak-anak, perbelanjaan kesihatan, keperluan rumah tangga dan pelbagai lagi keperluan asas sering memaksa penjawat awam berhutang bagi menampung kekurangan pendapatan. Keadaan menjadi lebih genting apabila mereka tidak mempunyai simpanan kecemasan. Dalam situasi mendesak seperti kemalangan atau penyakit yang memerlukan rawatan segera, pinjaman menjadi satu-satunya pilihan yang dilihat mudah dan cepat.

Namun begitu, sebagai anggota perkhidmatan awam, seseorang penjawat awam tertakluk pada undang-undang dan peraturan yang telah digariskan oleh kerajaan. Sub-Peraturan 13(7), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperincikan bahawa seseorang pegawai boleh dikategorikan mengalami keberhutangan kewangan serius apabila jumlah hutang tidak bercagarnya melebihi sepuluh kali gaji bulanan, gagal menyelesaikan hutang yang telah diperintahkan mahkamah dalam tempoh ditetapkan atau telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap.

Akibat hutang yang tidak terkawal, banyak penjawat awam terpaksa berdepan dengan tindakan tatatertib. Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 106 orang penjawat awam dikenakan tindakan kerana diisytiharkan muflis. Lebih menyedihkan, terdapat golongan yang terjerumus dalam penipuan kewangan yang melibatkan sindiket dan pegawai bank menyebabkan mereka menanggung kadar faedah pinjaman setinggi 35 peratus. Perkara ini merupakan satu bebanan yang boleh menjejaskan kehidupan sepanjang hayat.

Hakikatnya, keberhutangan bukan sahaja menjejaskan individu, malah boleh memberikan kesan terhadap prestasi organisasi secara keseluruhan. Pegawai yang tertekan dengan masalah kewangan berisiko untuk kehilangan fokus, terlibat dalam kesalahan disiplin atau lebih buruk lagi terjebak dalam amalan rasuah demi mencari jalan pintas bagi menyelesaikan hutang.

Berdasarkan situasi ini, semua pihak perlu mengambil langkah proaktif. Jabatan Insolvensi Malaysia mencadangkan agar had maksimum potongan gaji yang dibenarkan kepada penjawat awam dikaji semula. Perkara ini penting bagi memastikan mereka tidak terperangkap dalam kitaran hutang yang melebihi kemampuan sebenar.

Pada masa yang sama, penjawat awam perlu diberi pendedahan yang lebih sistematik berkenaan pengurusan kewangan peribadi. Formula asas seperti pembahagian 50-30-20 yang mencadangkan 50 peratus pendapatan digunakan untuk keperluan hidup, 30 peratus untuk bayaran hutang dan 20 peratus lagi disimpan boleh dijadikan panduan mudah bagi mengatur belanjawan bulanan. Pendekatan ini tampak asas, namun mampu membentuk disiplin kewangan jangka panjang dan mencegah kecenderungan berbelanja mengikut emosi atau desakan sosial.

Di samping itu, program kesedaran kewangan secara berterusan perlu diperhebat pada peringkat jabatan dan agensi kerajaan. Ceramah, bengkel dan khidmat nasihat kewangan bukan lagi perkara tambahan, sebaliknya keperluan asas bagi memastikan penjawat awam bukan sahaja kompeten dalam tugas mereka, tetapi juga stabil dari segi kewangan dan emosi.

Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar dan kos sara hidup yang terus meningkat, penjawat awam perlu mengambil tanggungjawab penuh bagi merancang dan mengawal aliran kewangan peribadi mereka. Kenaikan gaji yang diberi kerajaan ialah satu bentuk kepercayaan dan pengiktirafan terhadap peranan mereka. Maka,  peningkatan pendapatan ini perlu digunakan sebaik-baiknya dan bukan sebagai lesen untuk berhutang, tetapi sebagai peluang untuk membina semula kehidupan kewangan yang lebih kukuh, lestari dan bebas daripada bebanan yang tidak perlu.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi