Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam dunia yang semakin mencabar, harga bukan lagi sekadar angka yang tertera di rak pasar raya. Sebaliknya, harga yang merupakan nilai barangan kini menjadi penentu kepada kesejahteraan dan simbol harapan, malah kadangkala beban yang dipikul oleh rakyat. Ketika kos sara hidup melonjak dan kuasa beli pengguna terus mengecil, langkah kerajaan memperkenalkan Jualan Rahmah muncul sebagai penyelamat kepada rakyat yang bergelut dalam diam untuk meneruskan kelangsungan hidup. Inisiatif ini bukan sekadar penurunan harga, sebaliknya mencerminkan lambang keprihatinan kerajaan. Dalam kerangka Malaysia MADANI, dasar ekonomi digerakkan berasaskan nilai kemanusiaan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, bukan semata-mata keuntungan.

Program Jualan Rahmah lahir daripada falsafah inklusif dan nilai ihsan yang dibawa oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, seorang tokoh yang dikenang kerana melaksanakan dasar secara langsung untuk membantu rakyat, bukan sekadar merancang di atas kertas. Melalui gagasan Payung Rahmah, barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, telur dan barangan keperluan dapur lain dijual pada harga lebih rendah menerusi kerjasama pintar antara kerajaan dengan pemain industri. Meskipun penjimatan yang ditawarkan lebih kecil dari segi nominal, setiap ringgit yang dijimatkan bagi seorang ibu tunggal atau warga emas yang bergantung pada pencen bulanan membawa makna yang besar dalam kehidupan mereka

Menangani Cabaran, Menyantuni Rakyat

Seperti kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta,” persepsi pengguna terhadap Jualan Rahmah berbeza mengikut pengalaman dan latar sosioekonomi masing-masing. Terdapat pengguna yang melihat inisiatif ini sebagai penyelamat kepada rutin belanja bulanan, tetapi tidak kurang juga yang bersikap skeptikal dengan mempertikaikan mutu barangan, lokasi jualan yang tidak strategik, atau promosi yang tidak sampai ke sasaran. Situasi ini menggambarkan betapa pentingnya aspek komunikasi dan penyampaian maklumat yang efektif. Dalam era digital yang serba pantas, kegagalan menyalurkan informasi dengan tepat boleh menjejaskan kredibiliti sesuatu program walaupun matlamatnya murni.

Cabaran pelaksanaan turut timbul dari sudut logistik dan keupayaan agihan. Lokasi jualan yang jauh dari kawasan kediaman, masa operasi yang bertembung dengan waktu bekerja dan kekurangan stok barangan sering menjadi punca rungutan pengguna. Banyak yang sanggup beratur panjang, namun pulang dengan hanya satu atau dua barangan kerana stok kehabisan awal. Harapan tinggi yang tidak diurus dengan baik boleh bertukar menjadi kekecewaan dan merosakkan keyakinan awam. Oleh itu, penyelarasan yang lebih mantap antara agensi pelaksana dengan rantaian pasaran amat diperlukan, termasuk memperkasakan pelibatan koperasi tempatan dan pasar komuniti agar manfaat program dapat diperluas secara lebih menyeluruh.

Walaupun pelbagai kekangan wujud, kesan segera daripada pelaksanaan Jualan Rahmah terhadap pengguna tidak dapat dinafikan. Inisiatif ini memberikan ruang kepada isi rumah menyusun semula keutamaan perbelanjaan. Penjimatan dalam pembelian keperluan harian membolehkan lebihan wang digunakan untuk ubat-ubatan, pendidikan anak atau keperluan kecemasan. Rakyat juga menjadi lebih berwaspada, lebih bijak mengurus wang dan lebih menghargai nilai setiap sen yang dibelanjakan. Dalam semangat MADANI, pendekatan seumpama ini mencerminkan bentuk kasih sayang pemimpin terhadap rakyat yang dizahirkan melalui dasar berorientasikan kebajikan.

Model Seimbang, Pendekatan Lestari

Program seumpama Jualan Rahmah bukan hanya dilaksanakan di Malaysia. Di Thailand, Kementerian Perdagangan telah memperkenalkan program “Blue Flag”, iaitu pasaran harga terkawal melalui gerai bergerak dan kedai milik kerajaan. Inisiatif ini menyasarkan golongan miskin bandar dan luar bandar dengan bantuan teknologi lokasi mudah alih. Sementara itu, di Indonesia, program Operasi Pasar diaktifkan apabila berlaku lonjakan harga dengan Badan Urusan Logistik (BULOG) akan mengedarkan barangan asas seperti beras, minyak dan gula melalui trak khas dan pasar terbuka. Kedua-dua negara mengaplikasikan pendekatan campur tangan langsung kerajaan sebagai langkah kawalan harga demi menjaga kebajikan rakyat.

Berbanding dengan model serantau, pendekatan Jualan Rahmah mengambil jalan tengah dengan menggalakkan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta tanpa bergantung sepenuhnya pada subsidi. Pendekatan seimbang ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan, malah membantu mengekalkan kestabilan pasaran. Malaysia tidak menekan peniaga melalui peraturan yang ketat, sebaliknya menyeru kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat. Model seumpama ini lebih lestari sekiranya digabungkan dengan penggunaan data, sistem maklumat pintar dan pelibatan komuniti tempatan.

Membina Literasi Kewangan

Namun begitu, harga murah semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kejayaan program. Inisiatif seperti Jualan Rahmah seharusnya turut menjadi alat pendidikan kepenggunaan untuk menggalakkan rakyat agar celik nilai, mampu menilai kualiti dan bijak membuat keputusan ketika berbelanja. Tanpa pembangunan literasi ekonomi yang seiring, pengguna berisiko menjadi terlalu bergantung pada harga bersubsidi dan tidak bersedia menghadapi realiti pasaran terbuka. Dalam masa yang sama, peniaga kecil juga tidak boleh dipinggirkan. Sekiranya mereka tidak dilibatkan secara aktif dalam ekosistem Jualan Rahmah, tekanan terhadap kelangsungan perniagaan mereka boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan tempatan.

Bagi menangani cabaran tersebut, peranan kerajaan tidak seharusnya terhenti setakat mengumumkan program semata-mata. Tanggungjawab ini perlu diperluas dengan memperkukuh strategi penyampaian maklumat serta melibatkan institusi akar umbi seperti surau, masjid, ketua komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat dalam usaha hebahan. Pelaksanaan aplikasi digital khas, penyediaan maklumat lokasi jualan, integrasi e-dompet serta promosi berasaskan lokasi boleh dimanfaatkan untuk merapatkan jurang informasi antara penduduk bandar dengan penduduk luar bandar. Di samping itu, pelaksanaan pemantauan secara berkala dan audit persepsi pengguna wajar dijadikan rutin agar penambahbaikan berterusan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.

Ekonomi Berjiwa Rakyat

Inisiatif Jualan Rahmah ialah bukti bahawa dasar ekonomi boleh digerakkan dengan jiwa dan hati nurani. Dalam dunia yang berputar atas dasar untung dan rugi, dasar juga boleh berakar pada nilai ihsan, empati dan kebersamaan. Konsep Malaysia MADANI menuntut kerajaan agar bukan sekadar mentadbir, tetapi juga menyantuni rakyat. Pendekatan ini menekankan bahawa bantuan yang disalurkan bukan sekadar untuk menyara kehidupan, tetapi memulihkan maruah kehidupan. Oleh itu, program ini tidak seharusnya menjadi bahan promosi bermusim. Sebaliknya, pendekatan berjiwa rakyat ini perlu membentuk budaya dan sistem sokongan jangka panjang yang benar-benar melindungi rakyat tanpa mengorbankan kebebasan pasaran dan daya tahan ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, rakyat tidak mengharapkan bulan dan bintang. Mereka hanya menginginkan harga yang adil, akses yang saksama dan sistem yang mendengar dan memahami keperluan sebenar mereka. Jualan Rahmah boleh menjadi simbol kepada sebuah ekonomi berjiwa rakyat jika dilaksanakan dengan strategi yang tepat dan berpaksikan nilai kemanusiaan. Seperti kata pepatah, “bagai aur dengan tebing”, apabila kerajaan, peniaga dan rakyat saling menyokong antara satu sama lain, kesejahteraan bukan lagi sebuah cita-cita, tetapi realiti yang mampu dicapai bersama.

Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi