Diterbitkan pada 21 Julai 2025, 20:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia kini berada atas landasan baharu dalam ekosistem semikonduktor, khususnya melalui perkembangan pesat dalam segmen reka bentuk litar bersepadu. Perkembangan ini selaras dengan strategi negara untuk bergerak ke arah rantaian nilai industri yang lebih tinggi. Dengan pengalaman lebih daripada setengah abad sebagai destinasi utama bagi aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip (ATP), tumpuan Malaysia kini semakin beralih kepada segmen yang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu. Menurut kajian pasaran oleh Smith Zander, nilai jualan global bagi pasaran reka bentuk mencecah RM827.1 bilion pada tahun 2022, sekali gus membuka peluang besar kepada penyertaan lebih meluas syarikat tempatan.

Pulau Pinang yang sering digelar sebagai Lembah Silikon Timur memainkan peranan penting dalam evolusi industri semikonduktor negara. Sejak kemasukan lapan syarikat multinasional utama (MNC) seperti Intel dan AMD pada tahun 1970-an, negeri ini telah membina ekosistem elektronik yang menyeluruh. Kini, lebih daripada 300 syarikat MNC dan lebih daripada 3,500 syarikat sokongan industri beroperasi di Pulau Pinang merangkumi pengeluar peralatan global, syarikat penyumberan luar ujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) dan kumpulan bakat kejuruteraan tempatan yang semakin berkembang.

Asas kukuh ini menjadi pemangkin kepada kemunculan segmen baharu seperti reka bentuk litar bersepadu yang kini menyumbang nilai tambah lebih tinggi dalam ekosistem semikonduktor negara. Beberapa syarikat tempatan seperti Oppstar Technology, Experior, SkyeChip, Infinecs, Symmid dan IC Microsystems mula meraih pengiktirafan antarabangsa dan berjaya membekalkan perkhidmatan kepada pelanggan dari Amerika Syarikat, China, dan Eropah. Kekuatan Malaysia dalam bidang ini disokong oleh kepakaran teknikal, pengalaman kejuruteraan dan rantaian bekalan menyeluruh yang membolehkan kerjasama erat antara syarikat reka bentuk litar bersepadu dan pengilang dengan penyedia perkhidmatan ujian.

Meskipun syarikat reka bentuk litar bersepadu tempatan masih dalam fasa pertumbuhan, potensi mereka sangat besar. Sebagai perbandingan, syarikat global seperti Socionext, Global Unichip dan Alchip Technologies masing-masing mencatatkan hasil tahunan melebihi RM1 bilion. Hal ini menunjukkan bahawa wujud ruang luas bagi syarikat tempatan untuk melonjak ke tahap setanding dengan pemain antarabangsa, terutamanya dengan sokongan dasar kerajaan dan pembangunan ekosistem yang berterusan.

Dalam majlis pelancaran Strategi Semikonduktor Negara (NSS), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan keperluan untuk Malaysia memperkukuh kekuatan sedia ada dalam segmen ujian dan pemasangan yang telah dibangunkan sejak lebih 50 tahun lalu. Penekanan ini bertujuan memastikan syarikat tempatan dan antarabangsa dapat meneroka sempadan baharu, sekali gus kekal berdaya saing dan inovatif.

Aspirasi Malaysia dalam segmen reka bentuk litar bersepadu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Arm Holdings, syarikat reka bentuk cip global yang berpangkalan di United Kingdom. Melalui kerjasama ini, syarikat pemula (startup) dan universiti tempatan akan mendapat akses eksklusif kepada harta intelek, alatan reka bentuk dan sokongan teknikal daripada Arm Holdings. Malaysia kini menjadi antara negara terpilih yang menjalin hubungan rasmi pada peringkat nasional dengan syarikat tersebut. Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan aktiviti reka bentuk cip berasaskan seni bina Arm yang digunakan secara meluas dalam telefon pintar, sistem automotif dan pelbagai peranti elektronik global.

Insiatif ini turut merangkumi pembangunan bakat serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selari dengan penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park (PFCC) di Puchong. Taman teknologi ini dibangunkan khusus untuk menyokong syarikat reka bentuk cip tanpa kilang [factory less (fabless)] menerusi penyediaan kemudahan seperti makmal bersama, perisian automasi reka bentuk elektronik (EDA), perkhidmatan prototaip dan ruang kerja bersama. PFCC direka untuk mendorong inovasi rentas disiplin dalam bidang cip kecerdasan buatan (AI), peranti Internet benda (IoT) dan pengkomputeran pinggiran (edge computing) selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai ekonomi digital yang berdaya saing.

Usaha untuk memperkukuh segmen reka bentuk litar bersepadu ini bertepatan dengan perubahan landskap industri semikonduktor global. Menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jumlah jualan semikonduktor global pada tahun 2024 mencecah USD627.6 bilion dan dijangka meningkat kepada USD697 bilion pada tahun 2025. Permintaan yang semakin meningkat terhadap cip, khususnya pemecut AI dan semikonduktor automotif menjadikan model reka bentuk litar bersepadu tanpa kilang semakin penting. Dalam konteks ini, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memperkukuh peranannya pada peringkat serantau.

Peralihan daripada aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip kepada reka bentuk litar bersepadu mencerminkan transformasi strategik industri semikonduktor negara. Transisi ini bukan sahaja memperkukuh daya saing Malaysia dalam industri bernilai tinggi, malah menyokong aspirasi negara untuk menjadi pemacu utama dalam ekonomi digital dan berteknologi tinggi di rantau ini. Momentum yang berterusan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, menggalakkan pemindahan teknologi serta merangsang penyelidikan serta inovasi tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi