Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPentaksiran Programme for International Student Assessment (PISA) dilaksanakan setiap empat tahun sekali dan keputusan terkini adalah bagi PISA tahun 2022. Pada tahun tersebut, hampir 700,000 ribu pelajar dari 81 negara anggota dan rakan kongsi Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang mewakili 29 juta pelajar berusia 15 tahun di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam pentaksiran. Malaysia turut menyertai PISA dengan penyertaan sebanyak 7,069 pelajar dari 199 sekolah yang mewakili 390,400 pelajar di seluruh negara.
Pencapaian matematik pelajar di negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian dalam PISA tahun 2022 dilihat berdasarkan latar belakang sosioekonomi keluarga mereka. Pengukuran dibuat menggunakan Indeks PISA bagi Status Ekonomi, Sosial dan Budaya (ESCS). Indeks PISA dikira supaya semua pelajar yang mengambil ujian PISA tanpa mengira negara dapat diletakkan pada skala sosioekonomi yang sama. Hal ini membolehkan prestasi pelajar dengan latar belakang sosioekonomi yang serupa dibandingkan antara mereka.
Pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan atau kuartil yang sama besar dengan setiap kumpulan mewakili 25 peratus populasi pelajar berusia 15 tahun. Kuartil keempat ialah kumpulan pelajar dengan status sosioekonomi tertinggi, manakala kuartil pertama mewakili kumpulan yang paling tidak bernasib baik. Pembahagian ini dapat membantu memahami jurang pencapaian antara kumpulan berbeza dalam sesebuah negara.
Di Malaysia, 27 peratus pelajar berada dalam kuartil kedua, iaitu mereka bukan tergolong dalam kumpulan yang paling berkelebihan mahupun yang paling tidak bernasib baik. Purata skor matematik bagi kumpulan pelajar ini ialah 387 mata. Sebagai perbandingan, di Turkiye dan Vietnam, pelajar yang mempunyai latar belakang sosioekonomi yang serupa memperoleh skor yang jauh lebih tinggi. Hal ini menunjukkan terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Selain itu, di Malaysia, pelajar daripada keluarga berkelebihan (25 peratus teratas) mengatasi pelajar daripada kumpulan tidak bernasib baik (25 peratus terbawah) sebanyak 82 mata dalam matematik. Perbezaan ini hampir sama dengan purata jurang di negara OECD, iaitu 93 mata. Hal ini menunjukkan bahawa jurang pencapaian antara pelajar berpendapatan tinggi dengan rendah di Malaysia sejajar dengan trend global meskipun masih menjadi cabaran besar untuk memastikan kesamarataan pendidikan.
Kesan status sosioekonomi terhadap pencapaian pelajar telah lama diketahui. Pelajar yang ibu bapanya mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi dan berpendapatan tinggi selalunya mendapat lebih banyak sokongan termasuk kelas tambahan, kemudahan teknologi, buku rujukan dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Keadaan ini memudahkan mereka untuk mencapai prestasi akademik yang lebih baik berbanding dengan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah atau yang menghadapi masalah ekonomi seperti pengangguran atau kemiskinan.
Pada peringkat OECD, secara purata pelajar daripada latar belakang sosioekonomi tidak bernasib baik mempunyai tujuh kali ganda kemungkinan untuk gagal mencapai tahap kemahiran asas matematik berbanding dengan pelajar daripada keluarga berkelebihan. Namun begitu, masih terdapat pelajar yang berjaya mengatasi cabaran ini. Secara purata, 10 peratus pelajar tidak bernasib baik di negara OECD mampu mencapai prestasi dalam suku teratas pencapaian matematik di negara masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa dengan sokongan yang tepat, pelajar daripada semua latar belakang mampu cemerlang dalam bidang akademik.

Singapura mencatatkan jurang kuartil sebanyak 111, iaitu perbezaan skor purata antara kuartil tertinggi dengan kuartil terendah. Hal ini bermakna, walaupun semua kuartil mencatatkan skor yang tinggi, jurang antara murid yang paling tidak bernasib baik dengan yang paling berkelebihan masih sangat besar. Keadaan ini menggambarkan bahawa prestasi akademik di Singapura sangat dipengaruhi oleh latar belakang sosioekonomi, meskipun sistem pendidikannya terkenal sebagai satu daripada yang paling efisien di dunia.
Sebaliknya, Kemboja mencatatkan skor rendah untuk semua kuartil. Keputusan ini menunjukkan wujudnya kesamarataan dalam pencapaian murid, tetapi pada tahap yang rendah. Dengan kata lain tiada jurang besar antara kuartil, namun tiada kumpulan pelajar yang benar-benar menonjol dalam prestasi matematik.
Menariknya, Vietnam menunjukkan prestasi yang baik dan konsisten. Skor kuartil terendah di Vietnam (434) adalah lebih tinggi daripada skor kuartil tertinggi di negara seperti Kemboja, Filipina dan Indonesia. Keadaan ini menggambarkan bahawa pelajar di Vietnam termasuk yang datang daripada latar belakang sosioekonomi rendah mampu mencapai tahap pencapaian yang baik.
Malaysia dan Brunei pula menunjukkan pola peningkatan skor yang jelas dari kuartil pertama hingga kuartil empat. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar daripada latar belakang sosioekonomi tinggi berjaya mencapai skor cemerlang. Namun begitu, jurang yang besar antara kuartil juga memberikan gambaran bahawa pelajar daripada keluarga miskin masih ketinggalan dalam pencapaian akademik.
Dalam PISA tahun 2022, soal selidik turut dilakukan terhadap pelajar tentang pengalaman kekurangan makanan. Para pelajar ditanya, “Dalam tempoh 30 hari yang lalu, berapa kerapkah anda tidak makan kerana tidak cukup wang untuk membeli makanan?” Jawapan yang diberikan termasuk, (i) “Tidak pernah atau hampir tidak pernah”, (ii) “Sekali seminggu”, (iii) “dua kali hingga tiga kali seminggu”, (iv) “empat kali hingga lima kali seminggu” dan (v) “Setiap hari atau hampir setiap hari”.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, lebih daripada satu pertiga pelajar di Filipina melaporkan tidak makan sekurang-kurangnya sekali seminggu kerana kekurangan wang. Di Kemboja pula, lebih daripada separuh pelajar (67.8 peratus) melaporkan mengalami keadaan ini. Situasi ini berkait rapat dengan pencapaian akademik dengan kedua-dua negara ini mempunyai sekurang-kurangnya 25 peratus pelajar dalam kelompok pencapaian terendah dalam matematik PISA tahun 2022 (purata skor di bawah 400 mata).
Tuntasnya, bagi negara seperti Malaysia, Thailand dan Brunei, tumpuan perlu diberi terhadap usaha untuk meningkatkan sokongan kepada pelajar di kuartil pertama. Hal ini demikian kerana jurang prestasi yang besar menunjukkan ketidaksamarataan peluang pendidikan. Bagi negara seperti Kemboja dan Filipina pula, sistem pendidikan memerlukan penambahbaikan secara menyeluruh. Meskipun wujud kesamarataan dalam pencapaian pelajar, tahap keseluruhannya masih rendah dan memerlukan perhatian serius.
Bagi Singapura dan Vietnam, walaupun pencapaian keseluruhan tinggi, usaha perlu digiatkan bagi menangani jurang sosial. Keadaan ini penting untuk memastikan peluang pendidikan yang adil dan seimbang, terutamanya kepada pelajar daripada keluarga miskin.
Terdapat juga contoh negara yang berjaya memastikan pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Sebagai contoh, di Macau (China), pelajar daripada kumpulan sosioekonomi terendah mencatatkan skor yang lebih tinggi daripada purata OECD.
Dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia, perbandingan ini menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendidikan boleh diatasi dengan dasar yang tepat dan berkesan. Di samping itu, sokongan khusus seperti program intervensi awal, bantuan pembelajaran dan akses kepada sumber pendidikan berkualiti dapat membantu pelajar yang tidak bernasib baik menyerlahkan potensi mereka ke tahap maksimum.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.