Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa terdapat pelaksanaan ketetapan di bawah Seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dalam situasi melibatkan ejen, pengedar atau pengagih (Individu Pemastautin) (EPP) yang telah meninggal dunia.

Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa syarikat perlu melaksanakan potongan cukai sebanyak dua peratus terhadap pembayaran tunai yang dibuat kepada EPP. Bayaran potongan ini adalah terpakai kepada individu pemastautin yang dilantik oleh syarikat pembayar untuk bertindak sebagai EPP dan menerima bayaran yang terbit daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan atas kapasiti mereka sebagai EPP.

Takrif “individu” dalam konteks ini merujuk orang yang masih hidup atau orang sebenar sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2 ACP 1967. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang EPP telah meninggal dunia, mereka tidak lagi dikategorikan sebagai individu bagi maksud peruntukan tersebut.

Sehubungan dengan itu, potongan cukai dua peratus adalah tidak terpakai terhadap bayaran yang dibuat kepada EPP yang telah meninggal dunia dan mulai 1 Ogos 2025, bayaran potongan tersebut tidak lagi akan diterima oleh HASiL.

Sekiranya masih terdapat pendapatan yang diterima selepas tarikh kematian EPP, pendapatan tersebut hendaklah dikendalikan oleh wasi, pentadbir, waris atau wakil sah si mati dan perlu dilaporkan di bawah fail Harta Pusaka (TP). Bagi tujuan ini, pihak berkenaan perlu membuat pendaftaran fail TP di mana-mana pejabat HASiL dengan melengkapkan Borang Pemberitahuan Kematian Pembayar Cukai (CP57) serta mengemukakan dokumen sokongan seperti salinan sijil kematian dan salinan geran probet atau salinan surat kuasa mentadbir.

Untuk kemudahan pengguna, HASiL telah menyediakan Borang CP57 yang boleh dimuat turun daripada portal rasmi HASiL menerusi capaian pantas melalui https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfborang/Borang_CP57_1.pdf

HASiL ingin menasihatkan agar syarikat pembayar serta wakil waris atau pentadbir harta pusaka mengambil maklum sepenuhnya akan ketetapan ini dan bertindak sewajarnya dalam mengurus pendapatan si mati selaras dengan kehendak undang-undang dan prosedur percukaian yang berkuat kuasa.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) menerusi talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi