Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN–GCC) yang berlangsung pada 27 Mei 2025 telah berakhir dengan pencapaian positif, memacu kerjasama antara blok serantau dengan organisasi berkenaan dengannya. Hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan potensi besar ke arah pertumbuhan ekonomi yang saling menguntungkan.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dengan GCC telah menunjukkan perkembangan ketara dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi tempoh 2020–2024 mencecah 16 peratus dan jumlah dagangan meningkat kepada USD9.2 bilion pada tahun 2024. Qatar mencatatkan CAGR tertinggi dalam tempoh tersebut sebanyak 28 peratus dengan nilai dagangan mencapai USD1.4 bilion.

Sumber: Pengiraan penulis berdasarkan Pangkalan Data Perangkaan Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Comtrade).

Dari sudut eksport Malaysia, Oman mendahului dengan pertumbuhan CAGR 18 peratus diikuti dengan Arab Saudi (13 peratus) dan UAE (12 peratus). Bagi import pula, Qatar mencatatkan CAGR tertinggi sebanyak 48 peratus diikuti dengan Kuwait (24 peratus) dan UAE (20 peratus).

Sumber: Pengiraan penulis berdasarkan Pangkalan Data Perangkaan Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Comtrade).
Sumber: Pengiraan penulis berdasarkan data Pangkalan Data Perangkaan Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Comtrade).

Dalam mesyuarat dua hala bersama Kuwait dan Qatar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan potensi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik seperti petrokimia, besi dan keluli, gas asli cecair (LNG), pelancongan, kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan. Sektor lain yang turut berpotensi termasuk pembuatan makanan, pertanian, logam dan aeroangkasa.

Pelaburan langsung asing dari GCC ke Malaysia bagi tempoh tahun 2019 hingga tahun 2024 menunjukkan pertumbuhan positif terutamanya dalam sektor tenaga, pembuatan, hartanah dan teknologi. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), UAE merupakan pelabur terbesar dalam kalangan negara GCC dengan pelaburan berjumlah RM1.51 bilion dalam sektor pembuatan yang melibatkan 35 projek dan mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan sehingga September 2024.

Satu pencapaian penting adalah pemeteraian Perjanjian Ekonomi Komprehensif (CEPA) antara Malaysia dengan UAE pada awal tahun 2025. MITI menjangkakan CEPA akan meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 60 peratus dalam tempoh lima tahun, di samping memperluas kerjasama dalam teknologi, tenaga boleh baharu dan semikonduktor.

Malaysia juga sedang giat memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan keseluruhan blok GCC. Rundingan rasmi telah dimulakan dan perjanjian dijangka dimeterai menjelang akhir tahun 2025. FTA bakal menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, memudahkan aliran pelaburan serta memperkukuh pelibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam perdagangan rentas sempadan.

Beberapa sektor menawarkan potensi kerjasama yang luas. Dalam bidang tenaga dan petrokimia, Malaysia menyediakan peluang pelaburan dalam industri penapisan dan pengeluaran petrokimia, manakala negara GCC sebagai pengeksport utama minyak dan gas berpotensi menjadi pelabur dan rakan kongsi strategik. Malaysia juga berada dalam kedudukan terbaik sebagai hab industri halal dan kewangan Islam dan berpotensi memperkukuh kerjasama dengan GCC untuk membina rangkaian pengedaran produk halal global serta memperluas pelaburan dalam sukuk dan produk kewangan patuh syariah.

Dengan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang stabil, pemeteraian CEPA serta rundingan FTA yang sedang berjalan, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan GCC. Hubungan ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak, malah membuka ruang kepada kerjasama yang lebih mendalam dalam sektor bernilai tinggi dan masa hadapan.

 

 

Kredit Foto: Media Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi