Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIndustri buku bukan sahaja membantu menggerakkan kitaran ekonomi, malah turut menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Antara pemacu utama dalam merancakkan industri ini ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan saban tahun. Acara ini menjadi platform penting dalam merangsang aktiviti ekonomi berkaitan dengan dunia perbukuan yang melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
PBAKL bukan sekadar pesta jualan buku; bahkan merupakan satu perayaan ilmu yang dinantikan oleh jutaan pencinta buku. Bagi pencinta buku, PBAKL ibarat “hari raya” yang membolehkan eksplorasi pelbagai genre dan judul baharu dalam suasana penuh keterujaan. Dalam masa yang sama, platform ini membuka peluang luas kepada para penulis dan penerbit untuk mempromosikan serta menjual hasil karya mereka kepada khalayak yang lebih besar.
Kehadiran puluhan ribu pengunjung dari pelbagai latar belakang terutamanya golongan muda menjadikan PBAKL satu platform berimpak tinggi. Promosi dan diskaun menarik sepanjang acara berlangsung menambah daya tarikan, sekali gus meningkatkan jualan dan pendapatan penerbit serta pengedar. Bagi pengedar pula, selain memenuhi tempahan perpustakaan, mereka berpeluang menjual terus kepada pembaca seterusnya menambah nilai kepada aktiviti jualan mereka.
Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PBAKL 2025 kali ke-42 menjadi medan utama pempamer memperkenalkan karya terkini dan berinteraksi secara langsung dengan pengunjung. Suasana pesta ini saban tahun begitu luar biasa yang melambangkan kerancakan ekonomi hasil daripada sinergi antara pengeluar dengan pengedar dan pengguna dalam industri buku.
Satu daripada tarikan utama di PBAKL ialah potongan harga serta kepelbagaian bahan bacaan yang ditawarkan. Penulis, penerbit dan pengedar sewajarnya menggunakan ruang ini untuk menampilkan kelainan berbanding dengan jualan di kedai fizikal atau platform secara dalam talian. Di samping merangsang pembelian, tawaran harga istimewa ini turut menyemai semangat cinta akan ilmu dan tabiat membaca terutamanya dalam kalangan masyarakat.

Lebih menarik, PBAKL turut menyajikan pelbagai program ilmiah seperti sesi diskusi, wacana dan perbincangan melibatkan tokoh besar industri perbukuan. Aktiviti ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pengunjung, malah membina ruang pertemuan idea antara penulis dengan penerbit dan pembaca. Perkongsian idea dan pengalaman ini menjadi nilai tambah penting yang sukar didapati di luar suasana pesta buku.
Dalam era digital yang semakin mencabar, kehadiran fizikal PBAKL membuktikan bahawa buku bercetak masih kekal relevan dan memiliki daya tarikan tersendiri. Kesimpulannya, PBAKL bukan sekadar acara jualan buku tetapi satu entiti penting yang mendukung kemajuan industri perbukuan negara, sekali gus menyumbang kepada ekonomi nasional.
PBAKL juga berpotensi besar untuk menjadi produk pelancongan andalan negara sekiranya dipromosikan secara strategik. Peningkatan jumlah pengunjung memberikan manfaat terus kepada sektor perhotelan, restoran dan perkhidmatan lain. Hal ini terbukti melalui contoh kejayaan Pesta Buku Frankfurt di Jerman dan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah di Mesir yang kedua-duanya menjadi acara berskala mega yang dinanti saban tahun oleh penggiat buku dari seluruh dunia.
Sebagai contoh, sejarah mencatatkan bahawa Raja England, Henry VIII pernah menghantar wakil ke Pesta Buku Frankfurt untuk membeli buku bagi perpustakaan Universiti Oxford. Kini, pesta tersebut menjadi acara tahunan terbesar dunia dengan kehadiran lebih daripada 7,300 orang peserta dari lebih daripada 100 buah negara.
Di Mesir pula, Pesta Buku Antarabangsa Kaherah (CIBF) telah diiktiraf sebagai pesta buku kedua terbesar dunia. CIBF berjaya menarik lebih daripada dua juta pengunjung setiap tahun, sekali gus memperkenalkan khazanah peradaban Mesir melalui penerbitan buku. Hal ini secara tidak langsung membuka pasaran baharu untuk penerbit tempatan.
Malaysia juga seharusnya meletakkan aspirasi yang sama terhadap PBAKL. Dengan perancangan yang teliti dan promosi yang berkesan, PBAKL mampu mencapai tahap yang setanding pada peringkat antarabangsa.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan dengan penerbit, penulis serta pihak berkepentingan untuk terus menyokong dan memartabatkan acara seperti PBAKL demi kemajuan industri buku dan pembangunan intelektual negara.