Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangInflasi merujuk peningkatan berterusan dalam paras harga umum barangan dan perkhidmatan dalam suatu tempoh masa. Secara ringkasnya, inflasi berlaku apabila terdapat lebihan wang dalam ekonomi berbanding dengan jumlah barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Kesan inflasi termasuklah melemahkan kuasa beli pengguna, mempengaruhi corak perbelanjaan serta menjejaskan keputusan berkaitan dengan simpanan kewangan.
Apabila harga barang meningkat, pengguna lazimnya memberikan keutamaan kepada keperluan asas dan menyesuaikan tabiat perbelanjaan mereka mengikut keadaan kewangan semasa. Dalam sesebuah ekonomi yang berkembang, inflasi yang sederhana dan terkawal lazimnya mencerminkan aktiviti ekonomi yang sihat. Namun begitu, inflasi yang tinggi atau tidak stabil boleh memberikan kesan negatif kepada kuasa beli, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Oleh hal yang demikian, memahami punca dan dinamik inflasi adalah penting bagi pembuat dasar dalam merangka strategi ekonomi yang berkesan. Di Malaysia, inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kadar inflasi kekal stabil. Pada tahun 2024, kadar inflasi tahunan direkodkan pada 1.8 peratus, iaitu lebih rendah berbanding dengan banyak negara maju yang terkesan oleh gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik.
Dalam konteks tempatan, inflasi sering dikaitkan dengan harga barang keperluan seperti makanan, pengangkutan dan perumahan. Perubahan harga dalam kategori ini boleh mengubah corak perbelanjaan isi rumah apabila peningkatan kos keperluan asas akan mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan lain. Oleh itu, analisis terhadap trend inflasi dan kesannya terhadap perbelanjaan isi rumah adalah penting untuk menilai tahap tekanan harga dan kesejahteraan ekonomi rakyat secara keseluruhan.

Carta 1 menunjukkan hubungan antara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penggunaan swasta dan Indeks Harga Pengguna (IHP) atau inflasi di Malaysia bagi tempoh tahun 2016 hingga tahun 2024. Secara keseluruhan, data ini menunjukkan bahawa pertumbuhan pesat dalam penggunaan swasta lazimnya mendorong peningkatan tekanan inflasi disebabkan oleh permintaan agregat yang lebih tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, kesan perubahan perbelanjaan terhadap inflasi boleh berbeza bergantung pada jenis barangan yang dibeli oleh isi rumah.
Pada tahun 2020, pandemik COVID-19 memberikan kesan besar terhadap ekonomi negara. KDNK dan penggunaan swasta mencatatkan penurunan mendadak, selari dengan kelembapan ekonomi dan peningkatan kadar pengangguran. Perbelanjaan isi rumah merosot ketara akibat sekatan pergerakan serta ketidaktentuan ekonomi, sekali gus menjejaskan aktiviti perniagaan. Kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020 berbanding dengan 3.3 peratus pada tahun 2019.
Namun begitu, pada tahun 2021, penggunaan sektor swasta mula menunjukkan tanda pemulihan dengan pertumbuhan sebanyak 1.8 peratus. Peningkatan ini didorong oleh pelbagai langkah fiskal dan monetari yang diperkenalkan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM). Meskipun begitu, kadar pertumbuhan tersebut masih jauh lebih rendah berbanding dengan purata antara tahun 2016 hingga tahun 2019, mencerminkan pemulihan ekonomi yang masih belum kukuh sepenuhnya.
Perubahan kadar inflasi turut mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna, terutamanya dalam kategori barangan keperluan asas. Ketika harga makanan dan barangan asas meningkat, isi rumah cenderung memberikan keutamaan kepada perbelanjaan asas, sekali gus mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan bukan keperluan seperti hiburan dan barangan tahan lama.

Jika diteliti dari sudut corak pembelian, Carta 2 menunjukkan bahawa perbelanjaan terhadap barangan tidak tahan lama (non-durable) seperti makanan dan perkhidmatan cenderung meningkat apabila inflasi dijangka meningkat. Fenomena ini berlaku kerana pengguna lazimnya mempercepat pembelian barangan tertentu untuk mengelakkan kenaikan harga pada masa hadapan. Sebaliknya, perbelanjaan terhadap barangan tahan lama (durable) seperti kenderaan dan perabot menunjukkan penurunan disebabkan oleh sikap berhati-hati pengguna dalam membuat keputusan pembelian berskala besar semasa ketidaktentuan ekonomi.
Situasi ini mencerminkan bagaimana jangkaan terhadap inflasi mempengaruhi keutamaan dan pola perbelanjaan isi rumah serta menunjukkan peranan penting inflasi dalam membentuk dinamik penggunaan dalam ekonomi negara.
Bagi tempoh tahun 2016 hingga tahun 2019, kadar inflasi di Malaysia kekal stabil dengan purata 1.7 peratus setahun, manakala penggunaan swasta berkembang sekitar 7 peratus setiap suku tahun. Hal ini menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah ketika itu dipacu oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan dan kadar inflasi yang rendah tidak memberikan kesan ketara terhadap corak perbelanjaan.
Namun begitu, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap ini secara drastik. Sekatan pergerakan dan ketidaktentuan ekonomi mendorong pengguna untuk mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan tidak penting. Jadual 1 menunjukkan bahawa kadar pengangguran melonjak kepada 4.5 peratus pada tahun 2020, manakala penggunaan sektor swasta merosot sebanyak -3.9 peratus. Trend ini mencerminkan kesan langsung kelembapan ekonomi terhadap permintaan domestik yang seterusnya menjejaskan aktiviti perniagaan dan pasaran pekerjaan.

Apabila ekonomi mula dibuka semula pada tahun 2022, penggunaan swasta mencatatkan lonjakan ketara, meningkat sebanyak 18.4 peratus pada suku kedua, selari dengan kadar inflasi yang melebihi empat peratus. Namun begitu, peningkatan ini lebih banyak didorong oleh tekanan kos berbanding dengan pertumbuhan pendapatan sebenar. Sebagai contoh, kenaikan harga bahan api dan makanan menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan isi rumah, bukan kerana pendapatan pengguna meningkat tetapi disebabkan oleh mereka terpaksa berbelanja lebih untuk memenuhi keperluan asas. Keadaan ini menggambarkan peranan inflasi kos-tolak (cost-push inflation) dalam mendorong perbelanjaan domestik, berbeza dengan inflasi permintaan-tarik (demand-pull inflation) yang berpunca daripada peningkatan pendapatan dan permintaan agregat.
Menjelang suku ketiga tahun 2022, apabila inflasi menurun daripada 4.5 peratus kepada 1.6 peratus pada suku keempat tahun 2023, pertumbuhan penggunaan swasta turut menunjukkan trend penyederhanaan. Perkembangan ini mencerminkan kestabilan ekonomi yang semakin pulih apabila pengguna tidak lagi perlu berbelanja berlebihan untuk menampung kenaikan harga. Dalam tempoh ini, penggunaan swasta berkembang secara lebih stabil, menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna serta keberkesanan dasar monetari dalam mengawal tekanan inflasi.
Secara keseluruhan, trend ini menggariskan hubungan erat antara penggunaan swasta dengan inflasi dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia. Hal ini menyaksikan faktor luaran seperti krisis global serta dasar ekonomi domestik, memberikan kesan signifikan terhadap pola perbelanjaan isi rumah dan kestabilan ekonomi negara.
Jenis Inflasi di Malaysia dan Strategi Pengurusan
Inflasi di Malaysia boleh dikategorikan kepada dua jenis utama berdasarkan teori ekonomi, iaitu inflasi kos-tolak dan inflasi permintaan-tarik
Inflasi kos-tolak berlaku apabila kos pengeluaran meningkat, mendorong perniagaan untuk memindahkan kos tersebut kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi. Antara faktor utama yang menyumbang kepada inflasi jenis ini di Malaysia termasuklah:
Inflasi permintaan-tarik berlaku apabila permintaan dalam ekonomi meningkat lebih pantas berbanding dengan penawaran. Hal ini sering berlaku dalam fasa pemulihan ekonomi apabila keyakinan pengguna dan pelaburan perniagaan meningkat. Sebagai contoh:
Inflasi domestik juga dipengaruhi oleh faktor luaran seperti perubahan dalam dasar monetari bank pusat utama dunia. Sebagai contoh, apabila Rizab Persekutuan AS (FED) menaikkan kadar faedah, nilai dolar AS meningkat. Hal ini menjadikan import lebih mahal bagi Malaysia yang memberikan tekanan tambahan kepada harga barangan dalam pasaran tempatan.
Pemahaman tentang cara pengguna membentuk jangkaan inflasi memainkan peranan penting dalam membantu pembuat dasar merangka strategi ekonomi yang lebih berkesan. Sekiranya pengguna menjangkakan inflasi kekal tinggi, mereka cenderung untuk menjadi lebih berhati-hati dalam berbelanja dan membuat keputusan kewangan. Oleh itu, kestabilan dasar monetari serta komunikasi yang jelas dan konsisten daripada pihak bank pusat amat penting bagi mengekalkan keyakinan pengguna terhadap prospek ekonomi negara.
Bagi memastikan pengawalan inflasi yang berkesan, kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaan pelbagai langkah dasar yang saling melengkapi, antaranya termasuklah:
Beberapa negara telah berjaya mengawal inflasi melalui pendekatan dasar yang bersasar dan responsif seperti yang berikut:
Pengurusan inflasi di Malaysia memerlukan pendekatan yang holistik, strategik dan adaptif dengan gabungan dasar fiskal dan monetari yang diselaraskan secara berhati-hati mengikut cabaran semasa. Kejayaan pengurusan inflasi bukan sahaja bergantung pada ketepatan dasar, malah juga kepada pemantauan berterusan, komunikasi dasar yang telus serta pelaksanaan yang cekap dan inklusif. Dalam jangka masa panjang, hal ini akan memastikan bukan sahaja kestabilan harga, tetapi juga kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara.
Mohammad Fadhlullah Omar ialah Pegawai di Seksyen Permintaan Domestik dan Harga, Kementerian Kewangan Malaysia dan Profesor. Madya Dr. Amirul Afif Muhamat ialah Pensyarah dan Penyelidik di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM serta ketua penyelidik bagi kumpulan penyelidikan Climate Risk and Sustainable Finance.