Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Seminar Penanaman Cendawan Tiram yang dianjurkan oleh mahasiswa Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh bukan sahaja memberikan pendedahan awal terhadap pelestarian dan keterjaminan makanan tetapi juga membuka peluang untuk mengaktifkan potensi kemahiran keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Seminar yang berlangsung pada hari ini di Lecture Hall KSTCL, UIAM Cawangan Pagoh menarik minat seramai 50 orang mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai jurusan. Penganjuran seminar ini merupakan projek bagi subjek SCSH 2163 (Usrah in Action) seksyen 518 di bawah seliaan Yang Berusaha Dr. Aminnudin Saimon.
Objektif projek ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai bidang pertanian, agropelancongan dan keusahawanan yang boleh diceburi selepas tamat pengajian.
Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan di Malaysia khususnya supaya negara tidak bergantung pada sumber makanan import.
Dalam usaha menjayakan projek ini, pengusaha cendawan tiram (Cendawan.com), iaitu Encik Muhamad Saidan Sanib diundang ke seminar ini bagi memberikan panduan dan syarahan berkaitan dengan penanaman cendawan tiram.
Menurut Encik Muhamad Saidan, usaha seperti ini perlu dipergiat supaya mahasiswa memperoleh ilmu yang bermanfaat berkaitan dengan pertanian dan juga agropelancongan.
Tambah beliau, pelbagai kaedah boleh dijalankan dalam usaha menarik minat golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian di samping memperoleh pendapatan sampingan melalui bidang ini. Antara kaedah yang disarankan termasuklah kaedah affiliate (gabungan).
Projek ini akan diteruskan menerusi lawatan ke ladang penanaman cendawan tiram yang diusahakan oleh Encik Muhamad Saidan Sanib di Pontian Johor yang dijangka pada pertengahan bulan Mei 2025. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan pengalaman sebenar kepada mahasiswa untuk menghasilkan bongkah cendawan, penyuntikan benih, pengukusan bongkah dan seterusnya menuai cendawan tiram.
