Diterbitkan pada 24 April 2025, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Malaysia dan Singapura telah melancarkan Forum Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bertujuan untuk mengubah rantau ini menjadi hab pelaburan utama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang seterusnya.

Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Persada Johor itu menarik hampir 1,000 orang peserta termasuklah para penggubal dasar, pelabur dan pemain industri. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI); Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI); dan Kerajaan Negeri Johor dilihat sebagai langkah berani dalam integrasi ekonomi serantau.

Bertemakan “Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan,” JS-SEZ bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara untuk menarik pelaburan berprestasi, berteknologi tinggi dan berkonsepkan kehijauan. Antara agensi sokongan yang turut terlibat dalam program ini termasuklah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Invest Johor, Enterprise Singapura dan Lembaga Pembangunan Ekonomi dengan CIMB dan Maybank sebagai rakan kongsi strategik.

Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata, zon ini akan membantu meletakkan Johor sebagai hab ekonomi digital, lokasi kilang pembuatan termaju, pelancongan dan logistik. Beliau turut menekankan dasar properniagaan yang disediakan untuk menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat (YB) Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menambah bahawa JS-SEZ meningkatkan keupayaan ASEAN untuk bertindak balas terhadap perubahan ekonomi global yang tidak stabil.

Jelas beliau,

JS-SEZ membina daya tahan, meningkatkan rantaian bekalan dan menyelaraskan dasar serantau untuk pertumbuhan jangka panjang.

Sorotan utama dalam forum tersebut termasuklah tentang pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU), iaitu Perkongsian Tenaga Hijau antara Terminal Tenaga Pertamina dengan Pelabuhan Tanjung Langsat dan Perjanjian Pembiayaan Industri Kecil Sederhana (IKS) antara Maybank dengan Perbadanan Usahawan Johor

Pada hari kedua, forum berkenaan membawakan Seminar Rantaian Bekalan yang menampilkan firma seperti Super Micro, Ferrotec, Insulet dan AirTrunk. Sesi padanan perniagaan dan perundingan turut berlangsung yang menghubungkan peserta dengan agensi kerajaan seperti MIDA, Invest Johor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

JS-SEZ dijangka akan mengubah dasar kedua-dua negara menjadi lebih maju dan berdaya saing, membentuk koridor yang berinovasi dan dipacu agar lebih memberikan manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau ASEAN yang lebih luas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi