Diterbitkan pada 18 April 2025, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jawatan Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dipilih secara bergilir setiap tahun mengikut susunan abjad negara anggota dalam bahasa Inggeris. Negara yang memegang jawatan Pengerusi bertanggungjawab mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN serta sidang yang berkaitan dengannya seperti Majlis Penyelarasan ASEAN, Majlis Komuniti ASEAN, badan-badan menteri sektoral yang berkaitan dengannya, Mesyuarat Pegawai Kanan dan Jawatankuasa Perwakilan Tetap seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 31 Piagam ASEAN.

Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat (AFMGM) ke-12 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 April hingga 10 April 2025. Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II, YBhg. Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Para pemimpin negara anggota ASEAN berkumpul untuk membincangkan kemajuan ekonomi serantau, mengenal pasti cabaran serta merumuskan keputusan bersama demi masa hadapan yang lebih kukuh, inklusif dan mampan.

Secara keseluruhannya, mesyuarat ini melihat beberapa aspek seperti yang berikut:

  1. Perkembangan Ekonomi ASEAN

Meskipun berdepan dengan persekitaran global yang tidak menentu, ekonomi ASEAN kekal mampan hasil daripada permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan, eksport yang stabil dan peluang pekerjaan yang baik. Penurunan kadar inflasi turut menjadi petanda positif. Namun begitu, rantau ini terus mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Mutakhir ini, Amerika Syarikat (AS) telah mengambil tindakan drastik dengan mengenakan tarif baharu yang berpotensi menjejaskan aliran perdagangan dan pelaburan di rantau ASEAN. Memandangkan ekonomi ASEAN sangat bergantung pada perdagangan antarabangsa, penguatkuasaan tarif ini boleh mencetuskan ketidakstabilan kewangan termasuklah perubahan mendadak dalam nilai mata wang serta aliran keluar modal. Sehubungan itu, para pemimpin ASEAN berikrar untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Turut ditekankan ialah kepentingan berpegang pada peraturan perdagangan global yang adil dan terbuka serta mengelakkan sebarang tindakan balas. ASEAN menyuarakan keinginan untuk bekerjasama dengan AS dan negara lain demi memastikan ekonomi global terus berdaya tahan dan seimbang.

2. Keperluan untuk Pertumbuhan yang Mampan dan Menyeluruh

Tema Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia ialah “Keterangkuman dan Kelestarian.” Sehubungan dengan itu, ASEAN memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan kewangan utama seperti yang berikut:

(i) Pemudah cara kepada orang ramai dan perniagaan untuk mendapatkan            pembiayaan berkaitan dengan iklim;

(ii) Mengembangkan pasaran modal serantau yang lebih mampan dan                   menyeluruh; dan

(iii) Memperluas sistem pembayaran rentas sempadan yang pantas dan mudah.

ASEAN turut mengumumkan pembinaan Grid Kuasa ASEAN (APG), sebuah projek serantau bertujuan untuk meningkatkan tenaga bersih dan keselamatan tenaga. Inisiatif ini memerlukan suntikan dana pelaburan yang besar daripada sektor swasta, bank pembangunan di negara anggota dan penderma antarabangsa. ASEAN turut meneroka pelbagai pilihan pembiayaan termasuklah kewangan Islam untuk menyokong projek ini dan projek lain yang berkaitan dengannya.

Malaysia dalam pada itu, memperkenalkan mekanisme terbaharu untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana (IKS) menjadi lebih mesra alam seperti penerbitan Buku Panduan Rantaian Nilai Penghijauan ASEAN dan Panduan Pendedahan ESG ASEAN untuk IKS (Versi 1). Sumber ini diharapkan dapat membantu IKS memenuhi piawaian alam sekitar dan kekal berdaya saing dalam rantaian bekalan global.

Selain itu, Malaysia melancarkan pelan hala tuju untuk pembayaran rentas sempadan dengan sasaran untuk dicapai pada tahun 2025. Pelan ini diharapkan akan memudahkan orang ramai menghantar dan menerima wang merentasi sempadan ASEAN serta menggalakkan rangkuman kewangan yang lebih luas.

3. Kerjasama Serantau dan Global yang Utuh

Satu daripada matlamat utama Kepengerusian ASEAN adalah untuk menjadikan ASEAN lebih teguh sebagai sebuah platform serantau. Project Revive bertujuan untuk menambah baik ASEAN menguruskan kerjasama kewangan. Projek ini akan menyokong perancangan utama masa hadapan termasuklah Pelan Strategik ASEAN 2026-2030 dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

4. Penyatuan Kewangan yang Menyeluruh

ASEAN meneruskan usahanya untuk membina sistem kewangan serantau yang lebih bersepadu. Antara sorotan aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah kemudahan perkhidmatan kewangan, penyatuan sistem perbankan, komuniti yang diabaikan diberikan perhatian yang sewajarnya, pembangunan pasaran modal dan pembayaran rentas sempadan.

Di samping itu, ASEAN dalam persediaan untuk menghidupkan semula Pengaturan Pertukaran ASEAN (ASA), iaitu sebuah jaringan keselamatan kewangan yang menyediakan sokongan kecairan mata wang semasa berlakunya sebarang krisis.

Turut diperkenalkan ialah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan untuk membantu negara ASEAN berdagang dan melabur lebih banyak menggunakan mata wang mereka sendiri dan bukannya mata wang asing.

United Kingdom (UK) menyatakan kebersamaannya untuk menyokong kajian semula matlamat ekonomi ASEAN 2025, sekali gus menyediakan ASEAN untuk pelan hala tuju ekonomi jangka panjang yang seterusnya, iaitu bagi tahun 2026 hingga 2030.

Forum Pasaran Modal ASEAN telah membentuk draf Pelan Tindakan 2026–2030 yang memberikan tumpuan untuk menjadikan pasaran lebih berdaya tahan, mampan, menyeluruh dan bersifat digital. Perancangan tersebut dijangka untuk dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

5. Kerjasama Merentas Pelbagai Sektor untuk Kesihatan dan Persediaan Menghadapi Bencana

Bagi menangani peningkatan risiko berkaitan dengan iklim dan kesihatan, ASEAN membentuk Jawatankuasa Kerja Merentas Pelbagai Sektor. Jawatankuasa ini akan mengawasi pembiayaan bencana dan kesihatan serta melihat rancangan keterjaminan makanan masa hadapan. ASEAN juga meningkatkan kerjasama melalui jawatankuasa sedia ada untuk membina daya tahan merentas pelbagai sektor.

6. Meningkatkan Penyelarasan Perdagangan, Percukaian dan Perbendaharaan

Dalam perdagangan, negara anggota ASEAN telah mencapai kemajuan dengan sistem kastam digital dan Tetingkap Tunggal ASEAN yang menjadikan perdagangan rentas sempadan lebih pantas dan lebih cekap.

Dalam percukaian, ASEAN mengambil pendekatan untuk meningkatkan perjanjian cukai dua hala, menyelaraskan piawaian ASEAN berdasarkan piawaian antarabangsa untuk mencegah hakisan asas cukai (BEPS) dan meningkatkan ketelusan dan percukaian yang adil

Malaysia turut mencadangkan rangka kerja Nombor Pengenalan Cukai (TIN) untuk membantu pelaporan cukai yang tepat di seluruh negara anggota.

Dari segi perbendaharaan, ASEAN meraikan pelancaran Forum Perbendaharaan ASEAN di Bali pada tahun 2024. Forum ini merangkumi kumpulan kerja mengenai perbelanjaan awam, pengurusan tunai, perakaunan kerajaan dan kewangan awam digital.

Hal ini diharapkan akan dapat membantu negara anggota untuk berkongsi pengetahuan dan menambah baik cara mereka mengurus wang awam.

7. Mengguna Pakai Inovasi Digital dan Kewangan

ASEAN telah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam pembayaran rentas sempadan dengan 21 hubungan pembayaran aktif termasuklah dengan Jepun India dan Hong Kong. ASEAN sedang membina sistem pembayaran pelbagai hala yang dipanggil Projek Nexus dengan badan pentadbir yang baharu ditubuhkan berpangkalan di Singapura.

Untuk menjadikan transaksi digital lebih selamat, ASEAN memberikan tumpuan pada keselamatan siber dan mencegah jenayah kewangan seperti penipuan dalam talian. Negara anggota dan bank pusat bekerjasama untuk membangunkan sistem pencegahan penipuan serantau yang merangkumi kedua-dua amaran awal dan mekanisme pemulihan.

ASEAN juga menggesa bank dan perniagaan untuk menyokong sistem pembayaran serantau seterusnya mempromosikan pembayaran digital dan meningkatkan rangkuman kewangan.

8. Mempercepat Usaha ke Arah Kewangan yang Mampan

ASEAN memerlukan pelaburan secara besar-besaran untuk mencapai infrastruktur dan matlamat hijau. Tabung Infrastruktur ASEAN (AIF) meluluskan pelan tindakan untuk tahun 2025 hingga tahun 2028 bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pembiayaan; menarik pelaburan dari modal swasta; dan melancarkan kemudahan pembiayaan baharu seperti dana kesediaan projek, dana peralihan hijau untuk Grid Kuasa ASEAN dan kemudahan perintis kewangan Islam.

Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan (Versi tiga) telah dimuktamadkan dengan mekanisme bagi membantu IKS memenuhi piawaian kemapanan. Versi empat akan mengembangkan rangka kerja ini menjelang akhir tahun yang meliputi lebih banyak industri dan matlamat alam sekitar.

Platform ASEAN Climate Change and Energy Project  (ACCEPT) akan membantu menyelaraskan taksonomi ASEAN mengikut piawaian global, memudahkan pelabur antarabangsa melibatkan diri dengan projek kemapanan ASEAN.

ASEAN turut melancarkan dan memajukan beberapa usaha kewangan hijau seperti yang berikut:

  • Peta Hijau ASEAN;
  • Garis panduan kewangan peralihan (ATFG Versi 2);
  • Hab Sokongan Kewangan Mampan ASEAN;
  • Konsortium Transformasi Hijau Asia;
  • Panduan baharu untuk pembiayaan penyesuaian iklim (panduan mARs);
  • Latihan untuk pengawal seliaan dan syarikat mengenai pelaporan kemampanan;
  • Pengembangan kerja pasaran karbon sukarela; dan
  • Produk insurans yang berkaitan dengan kemapanan.

Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) membantu membangunkan Rangka Kerja Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGFF) untuk menarik pelaburan modal global. Dokumen ini akan menjadi panduan pelaburan dalam satu daripada projek tenaga hijau ASEAN yang bercita-cita tinggi.

Di samping itu, para pemimpin ASEAN turut menyeru sektor swasta dan para dermawan untuk memberikan sokongan untuk usaha ini melalui pembiayaan, inovasi dan tenaga kepakaran.

9. Dialog dengan Komuniti Perniagaan

Pemimpin ASEAN juga terlibat dalam dialog terbuka bersama-sama dengan kumpulan perniagaan utama termasuklah Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (BAC), Majlis Perniagaan EU-ASEAN dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.

Siri dialog ini memberikan tumpuan untuk menyokong penyatuan kewangan, membiayai peralihan ASEAN kepada ekonomi rendah karbon, menggalakkan sistem pembayaran rentas sempadan, menggunakan teknologi dan sistem kewangan Islam dan menangani penipuan secara dalam talian.

Mesyuarat diakhiri dengan penghargaan terhadap kepimpinan dan kepengerusian Malaysia dengan tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

ASEAN menantikan kepengerusian Filipina pada tahun 2026 dengan rantau ini mula melaksanakan pelan ekonomi strategik seterusnya (2026–2030) dan mengambil langkah yang lebih besar ke arah visi jangka panjangnya, iaitu Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Kredit Foto: Facebook Bank Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi