Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima yang dikenang kerana keperibadiannya yang lembut namun berwawasan besar. Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat secara adil dan saksama, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi.
Antara inisiatif ekonomi paling signifikan yang diperkenalkan di bawah pentadbiran beliau termasuklah penubuhan lima koridor ekonomi utama yang memberikan tumpuan kepada pembangunan wilayah secara menyeluruh. Koridor ini ialah Iskandar Malaysia di Johor, Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE). Setiap koridor dirangka bagi memanfaatkan kekuatan tempatan dan sumber wilayah tertentu, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Sebagai contoh, NCER yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak memberikan tumpuan kepada sektor pertanian dan komoditi, manakala Iskandar Malaysia pula menjadi pusat pembangunan sektor pembuatan dan perindustrian. Matlamat utama pembentukan koridor ini adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar serta menyediakan peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat di seluruh negara.
Inisiatif koridor ekonomi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi wilayah dan menarik aliran masuk pelaburan termasuklah pelaburan asing. Usaha ini juga menyumbang kepada pemerkasaan infrastruktur asas dan peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar. Dengan penekanan terhadap keadilan agihan ekonomi, Pak Lah memperkenalkan dasar pembangunan yang menyeimbangkan pertumbuhan dengan kesejahteraan rakyat.
Satu lagi dasar penting yang diketengahkan dalam RMK-9 ialah pemerkasaan semula sektor pertanian dan asas tani melalui pendekatan “kembali kepada asas.” Langkah ini bukan sekadar menghidupkan semula sektor tradisional, malah menyepadukannya dengan teknologi moden dan kemahiran profesional bagi menjadikan sektor pertanian sebagai satu bentuk perniagaan berdaya maju.
Pendekatan ini turut disokong oleh slogan “Pertanian adalah Perniagaan” yang bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian, yakni daripada sekadar untuk sara hidup kepada sektor yang berpotensi menjanakan kekayaan.
Pak Lah melihat potensi nilai tambah dalam sektor pertanian melalui pemprosesan dan pemasaran produk bernilai tinggi. Misalnya, tanaman serai yang dijual pada harga rendah pada peringkat ladang boleh diproses menjadi produk farmaseutikal atau kosmetik dan dieksport pada nilai jauh lebih tinggi. Visi beliau menjangkau pertanian tradisional menyaksikan kehendak beliau yang menginginkan sistem yang menggunakan teknologi, komputer dan Internet bagi memantau keseluruhan rantaian pengeluaran dari semaian hingga ke pasaran.
Hasil daripada dasar progresif ini, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh hampir enam peratus setahun sepanjang tempoh pentadbiran beliau dari tahun 2003 hingga tahun 2008. Pendapatan per kapita rakyat meningkat daripada RM15,819 kepada RM25,816, kadar inflasi kekal stabil sekitar 2.8 peratus, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus. Pelaburan swasta juga berkembang pesat, mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 17.1 peratus dan eksport barangan berkembang pada kadar 8.9 peratus setahun. Sejak tahun 2006, jumlah dagangan negara melepasi paras RM1 trilion, mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh di arena ekonomi antarabangsa.
Di bawah pimpinan Pak Lah, Malaysia juga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada lima peratus kepada 3.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala rizab antarabangsa meningkat kepada RM316.8 bilion yang membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan. Beliau turut melaksanakan beberapa reformasi penting termasuklah pemansuhan tambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dan memperkenalkan pelaburan strategik dalam sektor bioteknologi, biobahan api (biofuel) dan produk halal global.
Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negara, Pak Lah juga memberikan penekanan kepada transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memperkasakan sektor awam, memperkenalkan tender terbuka dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran. Langkah ini bertujuan untuk membina tadbir urus yang berintegriti dan meningkatkan keyakinan pelabur serta rakyat.
Inisiatif untuk merangsang sektor swasta turut digerakkan melalui pelaksanaan inisiatif pembiayaan swasta (PFI), pengurangan cukai korporat serta liberalisasi sektor kewangan Islam. Penggabungan syarikat perladangan utama di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang melahirkan Sime Darby Bhd. dengan modal pasaran melebihi RM65 bilion adalah antara legasi terpenting yang memperkukuh daya saing syarikat tempatan pada peringkat global.
Secara keseluruhannya, kepimpinan Pak Lah yang berteraskan kejujuran, kesederhanaan dan komitmen kepada rakyat telah melakar satu fasa penting dalam sejarah pembangunan ekonomi Malaysia. Meskipun tempoh pemerintahannya singkat, kesannya begitu mendalam, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga dalam meletakkan asas kepada pembangunan yang seimbang, mampan dan inklusif.
Legasi Pak Lah yang berlandaskan prinsip “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” terus dikenang sebagai satu titik perubahan yang membina ke arah Malaysia yang lebih maju, adil dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.