Diterbitkan pada 14 April 2025, 08:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (NMITP) yang dilancarkan pada tahun 2021 bertujuan untuk memajukan industri mineral Malaysia secara mampan dan bertanggungjawab. Pelan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri mineral dan bertujuan untuk menjadikannya sebagai sumber pertumbuhan baharu untuk negara.

Berdasarkan analisis dalam NMITP, Malaysia memiliki sumber mineral yang bernilai dengan anggaran RM4.11 trilion (USD982 bilion) yang meliputi mineral logam dan bukan logam. Nilai mineral logam sahaja dianggarkan mencapai RM1.03 trilion termasuklah potensi mineral kritikal yang bernilai sehingga USD182 bilion.

Mineral logam seperti nikel, mangan, tembaga dan aluminium memainkan peranan penting dalam pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik (EV). Walaupun unsur nadir bumi (REE) juga digunakan dalam pembangunan EV, REE tidak digunakan dalam bateri litium-ion, sebaliknya diperlukan untuk menghasilkan magnet yang membentuk motor pendorong utama kenderaan elektrik.

NMITP menggariskan lima mineral yang dianggap strategik untuk pembangunan industri mineral negara. Antaranya termasuklah:

  1. REE bukan radioaktif (NR-REE) seperti unsur lantanida dengan anggaran nilai deposit sebanyak RM747 bilion.
  2. Bauksit bernilai RM20 bilion.
  3. Bijih timah dengan nilai RM140 bilion.
  4. Pasir silika yang dianggarkan bernilai RM28 bilion.
  5. Kaolin bernilai RM26 bilion.

Pemetaan dalam NMITP 2021-2030 menunjukkan bahawa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu memiliki deposit mineral yang kaya dan berpotensi tinggi.

Selain NMITP, terdapat dua dasar utama kerajaan yang turut memberikan tumpuan kepada pembangunan industri mineral, iaitu:

  1. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12): Menekankan pembangunan industri nadir bumi bukan radioaktif sebagai satu daripada inisiatif di bawah sektor “Big Bold Rare Earths” yang berimpak besar.
  2. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030: Mineral dipromosikan sebagai satu daripada 21 sektor penting untuk pembangunan industri negara. Kerajaan merancang untuk memajukan industri REE melalui sektor huluan dan hiliran bagi memenuhi keperluan industri domestik dan global.

Menurut laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam kajian The Role of Critical Minerals in Clean Energy Transitions pada tahun 2023, pasaran global untuk mineral kritikal seperti litium, kobalt, nikel, REE dan grafit dijangka mencapai nilai USD400 bilion menjelang tahun 2030. Permintaan terhadap mineral ini dipacu oleh sektor seperti EV, sistem tenaga boleh baharu, semikonduktor dan industri pertahanan. Mineral kritikal memainkan peranan penting dalam rantaian nilai teknologi hijau dan industri berteknologi tinggi serta turut memberikan impak positif kepada industri hiliran seperti pembuatan bateri, mobiliti elektrik dan infrastruktur tenaga boleh baharu.

Laporan IEA juga menunjukkan bahawa Malaysia memainkan peranan penting dalam pemprosesan REE yang menyumbang kepada rantaian bekalan global untuk industri ini.

Pada tahun 2024, kerajaan Malaysia mengumumkan rancangan untuk menubuhkan dua kilang pemprosesan mineral dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sebagai langkah tambahan, pada September 2023, kerajaan memperkenalkan dasar yang menghalang eksport REE yang belum diproses bertujuan untuk memastikan negara mendapat nilai tambah yang lebih tinggi daripada bahan mentah sebelum dieksport.

Pada Mac 2024, Malaysia menubuhkan Kaukus Mineral Kritikal Parlimen Malaysia untuk membangunkan cadangan dasar yang melibatkan penerokaan, pengekstrakan, pemprosesan, kitar semula dan diplomasi mineral kritikal. Kaukus ini bertujuan untuk membina dan memastikan Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dalam pasaran global. Langkah ini mencerminkan betapa pentingnya mineral kritikal terutamanya REE dalam agenda pembangunan negara.

Walaupun Malaysia kini tidak memegang kedudukan utama dalam jumlah perdagangan mineral kritikal, negara ini mempunyai sejarah sebagai pengeluar utama bijih timah dari akhir abad ke-19 hingga tahun 1960-an. Dalam perdagangan mineral kritikal global, China merupakan pengimport terbesar, sementara China dan Australia ialah pelopor dalam perlombongan REE. Di sisi pemprosesan, China dan Malaysia merupakan antara negara utama dalam penapisan REE.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 menegaskan bahawa kerajaan menyokong pembangunan industri REE tempatan melalui kerjasama dengan negara seperti China dan Australia yang memiliki keupayaan teknologi yang tinggi. Potensi besar industri mineral kritikal memerlukan Malaysia merangka strategi pembangunan yang mampan dan lestari dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

Institusi penyelidikan dan institusi pendidikan tinggi di Malaysia turut digalakkan untuk menawarkan kursus berkaitan dengan industri mineral kritikal agar dapat menyokong peningkatan kemahiran tenaga kerja di negara ini. Di samping itu, Malaysia dan negara di Asia Tenggara boleh mengeratkan kerjasama dalam rangka kerja antarabangsa bagi membangunkan rantaian bekalan mineral kritikal di seluruh rantau ini.

Potensi industri mineral Malaysia terutamanya dalam sektor mineral kritikal amat besar dan memberikan peluang untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Dengan sokongan dasar kerajaan yang jelas dan inisiatif seperti NMITP, Malaysia berpeluang untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pasaran mineral global. Walau bagaimanapun, pembangunan industri ini harus dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial, serta melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mencapai hasil yang optimum.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi