Diterbitkan pada 16 April 2025, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penggunaan teknologi baharu menjadi satu daripada unsur penting dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pemerkasaan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), perniagaan digalakkan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi sambil memastikan amalan bertanggungjawab yang menyumbang kepada kesejahteraan sosial. Dalam hal ini, syarikat disarankan untuk menilai model perniagaan mereka dan mencipta penyelesaian berteknologi tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan sosial dengan memberikan perhatian kepada reputasi dan kepercayaan pihak berkepentingan.

Pertumbuhan ekonomi sesebuah negara sering kali berkait rapat dengan kemajuan teknologi yang ada. Teknologi digital kini memainkan peranan yang semakin penting terutamanya dalam bidang pelaporan kewangan. Digitalisasi menyediakan platform yang lebih cekap, fleksibel dan komprehensif dalam memenuhi keperluan pihak berkepentingan. Sebagai contoh, digitalisasi memudahkan pembentangan maklumat kewangan yang terkini dan membolehkan pengguna membuat analisis terhadap keadaan kewangan syarikat dengan lebih mudah.

Pelaporan kewangan digital muncul sebagai satu daripada komponen penting dalam ketelusan dan tanggungjawab korporat. Dengan kemajuan pesat teknologi, pelaporan syarikat telah beralih daripada kaedah tradisional ke platform digital. Laman web syarikat menjadi medium utama untuk menyebarkan laporan kewangan dan menggantikan cara konvensional. Pelaporan kewangan digital tidak hanya memudahkan penyampaian maklumat kepada pelabur dan pengawal selia tetapi juga meningkatkan interaksi dan kebolehcapaian maklumat kepada pihak berkepentingan dengan lebih meluas.

Pelaporan kewangan digital merujuk penggunaan platform digital terutamanya Internet untuk menyebarkan maklumat kewangan dan bukan kewangan kepada pihak berkepentingan. Hal ini termasuklah laporan kewangan seperti penyata pendapatan, kunci kira-kira dan penyata aliran tunai serta data tambahan yang relevan. Dengan pendekatan ini, syarikat dapat meningkatkan ketelusan dan membolehkan penyebaran maklumat yang lebih tepat pada masanya, boleh diakses dan boleh dibandingkan.

Namun demikian, walaupun pelaporan kewangan digital dapat memberikan manfaat yang besar, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh syarikat Malaysia dalam mengadaptasi amalan ini. Isu seperti kekurangan rangka kerja pelaporan digital yang standard, kos penggunaan teknologi baharu dan kekurangan latihan untuk profesional kewangan menjadi halangan utama dalam melaksanakan pelaporan kewangan digital dengan berkesan.

Dengan adanya teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan rantaian blok, pelaporan kewangan kini menjadi lebih cekap, tepat dan telus. Teknologi ini memungkinkan syarikat untuk mengemas kini laporan kewangan secara masa nyata, meningkatkan kolaborasi antara pihak berkepentingan dan memperkukuh ketelusan dalam transaksi kewangan. Teknologi canggih seperti AI juga membuka peluang untuk analisis yang lebih mendalam dan ramalan yang lebih tepat, sementara rantaian blok memastikan ketelusan dan integriti dalam transaksi kewangan.

Namun begitu, penggunaan teknologi ini memerlukan peningkatan kemahiran dalam kalangan profesional perakaunan. Akauntan perlu dilatih untuk memanfaatkan teknologi digital dengan berkesan. Di samping itu, ancaman keselamatan siber, masalah integrasi sistem dan kebimbangan etika yang timbul daripada penggunaan AI juga memerlukan perhatian.

Untuk menangani cabaran dalam transformasi digital, syarikat perakaunan perlu melaksanakan langkah keselamatan siber yang kukuh seperti penyulitan data dan audit keselamatan berkala. Selain itu, mereka perlu melabur dalam program latihan dan pensijilan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang analisis data, AI dan automasi. Di samping itu, untuk mengatasi masalah integrasi sistem, penggunaan perisian yang serasi dan teknologi antara muka atur cara aplikasi (API) boleh memastikan aliran data yang lancar antara platform.

Pada masa hadapan, penggunaan pelaporan kewangan digital merupakan suatu keperluan strategik bagi syarikat yang ingin berkembang dalam dunia yang semakin kompetitif. Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dalam pelaporan kewangan digital dengan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI, pengkomputeran awan dan rantaian blok. Untuk memastikan kejayaan dalam transformasi digital, syarikat perlu melabur dalam teknologi dan latihan pekerja serta mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengawal selia. Dengan pendekatan ini, syarikat dapat meningkatkan ketelusan, memperbaik pelibatan pihak berkepentingan dan mencapai pertumbuhan yang mampan dalam era digital.

Lt. Kol. Profesor Madya Dr. Mohd Noor Azli Ali Khan ialah Pensyarah di Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi