Diterbitkan pada 26 Mac 2025, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seharusnya dilihat sebagai aset jangka panjang, iaitu “telur emas” yang memainkan peranan penting dalam merancang masa hadapan selepas persaraan. Dalam kehidupan pascapersaraan, setiap individu memerlukan sejumlah wang untuk kelangsungan hidup.

Bagi pekerja yang tidak memiliki skim pencen, simpanan di KWSP merupakan instrumen penting untuk memastikan mereka mempunyai masa hadapan kewangan yang lebih stabil. Sekiranya simpanan KWSP dilakukan secara strategik, hal ini bukan sahaja membantu mengekalkan kestabilan kewangan, malah mampu memberikan pulangan yang selesa semasa persaraan.

Simpanan di KWSP sebaik-baiknya tidak diusik sebelum mencapai umur persaraan. Matlamat utama simpanan ini adalah untuk persaraan dan seharusnya tidak dijadikan sumber penyelesaian masalah kewangan sementara.

Walaupun pencarum boleh mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan pendidikan, kesihatan, atau perumahan, kerap mengeluarkan wang daripada akaun ini akan menyebabkan pencarum kehilangan peluang untuk menikmati pulangan dividen yang menarik pada setiap tahun. Pencarum seharusnya sedar bahawa setiap ringgit yang dikeluarkan akan mengurangkan jumlah pulangan dividen yang diperoleh.

Satu daripada elemen penting dalam simpanan jangka panjang ialah faedah kuasa kompaun. Faedah kuasa kompaun yang dikenali sebagai “keajaiban kelapan dunia” merujuk konsep simpanan yang dihasilkan daripada dividen dibenarkan berkembang lebih lanjut, seterusnya meningkatkan jumlah pulangan dalam jangka masa panjang.

Bagi memaksimumkan manfaat faedah ini, tiga faktor utama perlu diambil kira, iaitu tempoh masa, kadar pulangan dividen dan jumlah yang disimpan. Antara ketiga-tiga faktor ini, tempoh masa memainkan peranan yang paling penting terutamanya bagi mereka yang memulakan simpanan pada usia muda.

Sebagai contoh, jika seorang pencarum mula menyimpan RM200 setiap bulan pada usia 20 tahun, dengan kadar dividen lima peratus setahun, mereka boleh mengumpul sekitar RM300,000 apabila mencapai usia 60 tahun. Perkara ini menunjukkan pentingnya memulakan simpanan KWSP pada usia muda bagi meningkatkan kesan faedah kuasa kompaun. Walaupun seseorang mula menyimpan pada usia 40 tahun dengan simpanan bulanan RM1,000, mereka masih boleh mengumpul sekitar RM400,000, menunjukkan bahawa jumlah simpanan bulanan juga penting.

Akaun Fleksibel membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan dengan jumlah minimum RM50 pada bila-bila masa. Namun demikian, keistimewaan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kerap mengeluarkan wang tanpa perancangan yang teliti. Pengeluaran wang daripada akaun ini sepatutnya hanya dilakukan dalam keadaan yang sangat mendesak.

Sehingga 30 September 2024, pengeluaran daripada Akaun Fleksibel telah mencecah RM10.78 bilion yang melibatkan 3.86 juta ahli. Pengeluaran yang kerap daripada akaun ini boleh merugikan kerana pencarum akan kehilangan sekitar 10 peratus daripada jumlah simpanan persaraan mereka. Memandangkan Malaysia akan menjadi negara menua menjelang tahun 2030, pencarum perlu memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Simpanan KWSP adalah untuk kegunaan masa hadapan dan setiap pengeluaran yang dilakukan sebelum waktu persaraan adalah “mahal.” Pencarum perlu bijak mencari alternatif untuk menangani masalah kewangan sementara seperti meningkatkan pendapatan, menggunakan kad kredit tanpa caj faedah dan mendapatkan bantuan kerajaan atau keluarga. Sebelum membuat pengeluaran, pertimbangkan semua pilihan yang ada.

Banyak orang memandang remeh perancangan kewangan untuk persaraan dengan beranggapan bahawa mereka masih mempunyai banyak masa. Namun begitu, apabila hampir mencapai usia persaraan, banyak yang menyesal kerana tidak memulakan persediaan lebih awal. Oleh itu, penting bagi pencarum untuk mengurus simpanan KWSP dengan bijak agar dapat menikmati kehidupan yang selesa selepas persaraan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi