Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun memberikan penghormatan kepada sumbangan dan pengorbanan wanita di seluruh dunia tanpa mengira latar belakang, pendidikan, agama atau kepercayaan. Seiring dengan perubahan zaman, wanita kini turut menjadi penyumbang utama dalam sektor ekonomi global, tidak hanya terikat kepada tugas rumah tangga semata-mata.

Menurut laporan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Statistik Negara pada tahun 2024 mengenai Statistik Pemeriksaan Wanita dalam sektor terpilih, daripada jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 33.4 juta, sebanyak 15.9 juta ialah wanita. Berdasarkan kumpulan umur, 23 peratus (3.7 juta) berada dalam usia 0 hingga 14 tahun, 68.9 peratus (11 juta) berada dalam usia 15 hingga 64 tahun dan 8.1 peratus (1.3 juta) berusia 65 tahun ke atas.

Berdasarkan data kelahiran, sebanyak 219,780 bayi perempuan dilahirkan daripada jumlah kelahiran hidup sebanyak 455,761 dengan kadar kesuburan wanita di Malaysia kepada 1.7 anak bagi setiap wanita dalam tempoh usia produktif (15 tahun hingga 49 tahun).

Namun demikian, isu keganasan rumah tangga terhadap wanita masih menjadi kebimbangan dengan 46.3 peratus daripada 9,283 kes yang dilaporkan pada tahun 2023 melibatkan wanita.

Terdapat juga penyebab utama kematian wanita antaranya termasuklah pneumonia (16.4 peratus), penyakit jantung iskemik (11.5 peratus), penyakit serebrovaskular (7.8 peratus), kanser payudara (3.5 peratus) dan diabetes melitus (2.1 peratus).

Dari segi penyertaan dalam tenaga buruh, wanita mencatatkan kadar penyertaan yang lebih rendah (56.2 peratus) berbanding dengan lelaki (82.3 peratus). Purata gaji wanita di Malaysia ialah sekitar RM3,311 dengan upah bulanan sebanyak RM3,441.

Dalam bidang penggubalan undang-undang dan pengurusan, wanita hanya mewakili 25.4 peratus daripada jumlah penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, jauh tertinggal berbanding dengan lelaki yang mencatatkan 74.6 peratus.

Dalam sektor profesional dan teknikal, peratusan wanita masih lebih rendah (40.2 peratus) berbanding dengan lelaki (59.8 peratus). Walau bagaimanapun, dalam bidang pendidikan, wanita menunjukkan pencapaian yang baik dengan kadar literasi wanita (97.4 peratus) hampir setanding dengan lelaki (97.5 peratus) serta kadar enrolmen wanita lebih tinggi pada semua peringkat pendidikan terutamanya pada peringkat tertiari, dengan 50.7 peratus berbanding dengan 33.8 peratus bagi lelaki.

Dari aspek jangka hayat, wanita dijangka hidup lebih lama, iaitu 76.6 tahun berbanding dengan 71.8 tahun bagi lelaki. Namun begitu, dalam bidang politik, penyertaan wanita masih rendah dengan hanya 13.5 peratus ahli parlimen ialah wanita dan 16.1 peratus wanita memegang jawatan menteri pada tahun 2024.

Berdasarkan Indeks Jurang Jantina Malaysia (MGGI), kesaksamaan jantina di Malaysia masih jauh daripada tercapai, walaupun beberapa negeri menunjukkan kemajuan. Kuala Lumpur menduduki tempat pertama dalam MGGI dengan skor 0.7, menunjukkan penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik berbanding dengan negeri lain. Sebaliknya, Johor mencatatkan skor MGGI terendah, iaitu 0.686.

Dari segi ekonomi, Putrajaya mencatatkan skor tertinggi dengan 0.84 diikuti oleh Kelantan (0.79) yang menunjukkan pelibatan aktif wanita dalam perniagaan terutamanya di Pasar Besar Siti Khadijah. Namun begitu, Johor merekodkan pelibatan wanita terendah dalam sektor ekonomi.

Dalam sektor pendidikan, Kelantan juga menunjukkan kemajuan dengan skor tertinggi (1.149) mencerminkan kesaksamaan jantina yang lebih baik pada peringkat pendidikan. Sektor kesihatan menunjukkan kemajuan di Kuala Lumpur, Melaka dan beberapa negeri lain, walaupun Sabah dan Sarawak masih mencatatkan skor yang rendah dalam aspek ini.

Namun begitu, dari aspek politik, penyertaan wanita pada peringkat negeri masih rendah terutamanya di Kelantan dan Terengganu yang mencatatkan skor rendah pelibatan wanita dalam jawatan politik.

Kesimpulannya, walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa sektor, pemerkasaan wanita di Malaysia masih jauh daripada tercapai. Beberapa negeri terutamanya yang jauh dari arus pembangunan seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu memerlukan lebih banyak usaha untuk mencapai kesaksamaan jantina seperti di negeri maju yang lainnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi