Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Raya sering kali dinantikan oleh seluruh umat Islam, namun kemeriahan perayaan ini boleh membawa kepada perbelanjaan yang boros jika tidak dikawal dengan bijak.

Walaupun berbelanja untuk persiapan raya bukanlah satu kesalahan tetapi sikap boros dan berlebihan perlu dielakkan bagi menghindari kesan buruk selepas perayaan. Prinsip “terlajak belanja, buruk padahnya” seharusnya dijadikan panduan agar kita tidak terperangkap dalam hutang atau kehabisan wang selepas Hari Raya.

Keterujaan menyambut Syawal bermula seawal minggu pertama Ramadan. Bukan sahaja pakaian raya yang baharu, malah seluruh ahli keluarga turut berusaha untuk bergaya lengkap, dihiasi dengan pelbagai aksesori. Terdapat pula permintaan yang tinggi untuk kuih-muih, peralatan rumah baharu serta pelbagai hiasan dan perabot mengikut tema perayaan.

Malangnya, dalam usaha mengejar kesempurnaan tersebut, banyak yang terjerumus dalam perangkap berhutang, membuat pinjaman atau lebih teruk lagi, meminjam wang daripada “ah long” untuk melengkapkan persiapan raya.

Kita perlu sedar bahawa kehidupan tidak hanya berfokus pada sambutan Hari Raya semata-mata. Kita juga perlu merancang kewangan untuk meneruskan kehidupan harian setelah perayaan berakhir. Oleh itu, dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, adalah penting untuk kita lebih bijak dan berhati-hati dalam berbelanja.

Perancangan Kewangan yang Bijak

Langkah pertama yang perlu diambil ialah membuat perancangan kewangan yang teliti. Setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan baik termasuklah membuat belanjawan berdasarkan kemampuan kewangan semasa.

Pastikan belanjawan yang ditetapkan adalah realistik agar semua perbelanjaan dapat ditampung tanpa perlu berhutang selepas Hari Raya. Fokus pada keperluan, bukan untuk memenuhi tuntutan emosi atau nafsu yang hanya didorong oleh perbandingan dengan orang lain.

Sebelum membeli, pastikan anda membandingkan harga di pelbagai tempat dan mencari tawaran yang terbaik. Banyak kedai menawarkan diskaun dan promosi yang boleh membantu anda menjimatkan wang. Dengan membandingkan harga, anda dapat memastikan wang yang dibelanjakan adalah setimpal dengan nilai yang diperoleh, sekali gus membantu mengurus belanjawan dengan lebih efisien.

Terdapat pelbagai cara untuk menjimatkan wang tanpa mengorbankan kemeriahan perayaan. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan pakaian raya lama yang masih elok atau menjahit sendiri pakaian raya. Selain itu, memasak juadah raya di rumah juga dapat membantu menjimatkan wang. Bagi hiasan rumah, tiada keperluan untuk membeli perabot baharu; cukup dengan menyusun atur perabot sedia ada secara kreatif agar rumah kelihatan segar dan menarik.

Tekanan perbandingan di media sosial boleh mempengaruhi keputusan perbelanjaan seseorang. Gambar kemewahan yang dipaparkan di platform media sosial sering kali membuat kita berasa bahawa keperluan yang sedia ada tidak mencukupi, mendorong kita untuk berbelanja melebihi kemampuan. Perlu diingat bahawa gambar tersebut mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar kehidupan seseorang. Oleh itu, fokuslah pada kemampuan diri sendiri dan amalkan berjimat cermat.

Walaupun Hari Raya adalah perayaan yang penting, perbelanjaan berlebihan boleh memberikan kesan buruk kepada kewangan jangka panjang. Oleh itu, keutamaan perlu diberikan kepada kestabilan kewangan jangka panjang dan kesejahteraan kewangan. Dengan membuat perbelanjaan yang bijak semasa Hari Raya, kita dapat mengelakkan diri daripada terjerat dalam hutang yang tidak perlu.

Sambutan Hari Raya seharusnya tidak diukur dengan kemewahan atau berapa banyak wang yang dibelanjakan tetapi lebih kepada nilai kasih sayang, kebersamaan dan rasa kesyukuran. Dengan mengutamakan perbelanjaan yang bijak dan sederhana, kita dapat merayakan perayaan ini dengan lebih bermakna tanpa terjerat dalam pembaziran.

Setiap individu memiliki tahap kemampuan kewangan yang berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk menilai kemampuan diri sebelum membuat keputusan perbelanjaan. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan masalah kewangan dan memastikan sambutan Hari Raya penuh kebahagiaan tanpa dibebani dengan hutang yang berpanjangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi