Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 ialah langkah penting dalam meningkatkan taraf hidup pekerja di Malaysia. Berdasarkan Akta Gaji Minimum 2025, gaji minimum meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700. Sebanyak 4.37 juta pekerja terutamanya dalam sektor perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan, pengangkutan dan logistik, serta profesional, bakal menikmati manfaat tersebut.
Tindakan ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi hak pekerja, tetapi juga mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar. Diharapkan dengan kenaikan ini, golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pendapatan yang lebih adil dan tidak lagi dieksploitasi. Selain itu, kenaikan gaji minimum juga bertujuan untuk meningkatkan martabat dan kesejahteraan rakyat serta mengurangkan jurang yang semakin melebar antara golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada setiap tahun.
Bagi golongan pekerja, kenaikan gaji ini sememangnya dinanti-nantikan. Hal ini memberikan sedikit kelegaan daripada tekanan kewangan, terutamanya bagi mereka yang sebelum ini berpendapatan di bawah RM1,500. Gaji yang lebih tinggi memberikan mereka sedikit ruang untuk bernafas dan memperbaik kualiti hidup. Namun begitu, terdapat kebimbangan bahawa kenaikan gaji minimum ini mungkin diikuti dengan kenaikan harga barangan, yang mungkin mengurangkan kuasa beli yang diperoleh daripada kenaikan tersebut. Isu ini memunculkan persoalan sama ada kenaikan gaji akan benar-benar meningkatkan taraf hidup atau hanya menampung kenaikan harga barangan yang semakin mencabar.
Perkara yang lebih penting adalah cara kita menguruskan tambahan RM200 tersebut. Untuk mereka yang berkemampuan, simpanan ialah langkah yang terbaik. Sebagai contoh, jika RM200 disimpan dan dilaburkan secara bijak, dalam masa lima tahun, jumlah simpanan dan dividen yang terkumpul boleh melebihi RM12,000, atau lebih daripada RM24,000 jika kedua-dua pasangan bekerja. Perkara ini dapat memberikan kestabilan kewangan jangka panjang dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga. Selain itu, sasaran untuk mempunyai simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji juga boleh dicapai dalam masa tiga tahun jika menggunakan lebihan RM200 sebulan dengan bijak.
Satu lagi aspek yang perlu diambil kira adalah pengurusan hutang. Jangan terjebak dalam pembelian yang tidak perlu hanya kerana ada lebihan RM200. Hutang yang tidak diselesaikan akan terus menambah beban kewangan. Oleh itu, elakkan membeli barang yang tidak penting dan fokus kepada pengurangan hutang secara sistematik. Selain itu, apabila gaji meningkat, adalah penting untuk tidak terjebak dalam perubahan gaya hidup yang berlebihan. Menukar selera kepada restoran mahal atau membeli barang mewah tidak akan membantu dalam meningkatkan simpanan. Sebaliknya, tingkatkan jumlah simpanan dan peruntukkan sebahagian daripada kenaikan gaji tersebut untuk tujuan tersebut.
Kenaikan gaji minimum ini ialah peluang untuk memperbaik kedudukan kewangan. Dengan disiplin dan pengurusan yang bijak, tambahan RM200 itu boleh memberikan impak besar terhadap masa hadapan kewangan kita. Bagi mereka yang berkomitmen untuk menyimpan dan menguruskan kewangan dengan baik, impian untuk mencapai kestabilan kewangan dalam jangka panjang pasti tercapai. Mengambil tindakan yang bijak dan konsisten hari ini akan menentukan masa hadapan kewangan yang lebih cerah.