Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelanjawan 2025 memperuntukkan RM45.6 bilion khusus untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuklah akses pembiayaan, pendigitalan serta inovasi. Malah, pada tahun 2024, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM15.11 bilion untuk melaksanakan 270 program keusahawanan yang memberikan manfaat kepada hampir 500,000 penerima.
Antara program keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) termasuklah Program Rural Business Challenge (RBC) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2012 melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 di bawah model Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21. RBC merupakan satu pertandingan rancangan perniagaan dalam kalangan usahawan belia di luar bandar yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka menjadi lebih berjaya. Program ini berfungsi sebagai platform utama bagi mengangkat usahawan desa, membimbing mereka daripada impian kepada realiti perniagaan. Selain melahirkan usahawan, pertandingan ini juga membuka peluang pekerjaan, memperkasakan ekonomi desa dan merapatkan jurang antara bandar dan desa.
Pada tahun 2023, KKDW telah memperkenalkan semula RBC 2.0 sebagai satu langkah transformasi keusahawanan. Program RBC 2.0 ini dilancarkan oleh YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri KKDW, sempena Program Karnival Usahawan Desa @ Putrajaya pada 24 November 2023. Antara penambahbaikan RBC 2.0 ialah pewujudan elemen pementoran dan pemantauan pemenang RBC 2.0 oleh usahawan yang berpengalaman; penyertaan dan penilaian RBC 2.0 secara dalan talian; hanya kategori pengembangan perniagaan sahaja yang dipertandingkan; dan penerapan elemen pendigitalan.
KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM 15 juta sebagai hadiah geran kemenangan kepada para pemenang Program Pertandingan RBC 2.0. Tarikh tutup permohonan penyertaan pertandingan RBC 2.0 adalah pada 31 Januari 2024 dan dilanjutkan sehingga 29 Februari 2024. Sebanyak 1,737 permohonan telah diterima dan hanya 45 orang finalis yang berjaya disenarai pendek setelah melalui lima peringkat penilaian yang melibatkan para panel penilai daripada KKDW dan agensi, kementerian-kementerian lain, jabatan teknikal, bank, pemain industri, serta pihak lain yang dilantik mengikut kesesuaian peringkat penilaian. Majlis Anugerah Rural Business Challenge (RBC) 2.0 Tahun 2024 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW pada 21 Januari 2025 di Hotel Marriott, Putrajaya.
KKDW sebagai Agen Perubahan Ekonomi
Inovasi merupakan kunci kepada ekonomi moden, kerana melalui inovasi, kita dapat mencipta produk dan perkhidmatan baharu yang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran. Usahawan desa bukan sekadar berniaga, tetapi mereka ialah agen perubahan. KKDW dan pasukan yang komited berusaha merapatkan jurang antara bandar dan desa dengan menjadikan keusahawanan sebagai teras utama pembangunan luar bandar. Fokus utama bukan hanya kepada infrastruktur, tetapi juga kepada pembinaan ekosistem keusahawanan desa yang kukuh. KKDW berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan desa yang bukan sahaja mampu bertahan, tetapi juga menjadi pemimpin ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan luar bandar.
Agenda Transformasi Desa termasuklah langkah strategik keusahawanan melalui penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Usahawan KKDW pada peringkat kementerian bagi menyatukan semua program dan inisiatif keusahawanan di bawah satu platform. Kementerian juga telah melaksanakan Dashboard Usahawan KKDW – satu aset baharu yang membolehkan pemantauan secara masa sebenar terhadap penerima bantuan, memastikan agihan sumber dilakukan secara adil, serta menilai impak program dengan lebih tepat. Inisiatif ini merupakan pemangkin perubahan di bawah KKDW yang bertujuan untuk mencipta peluang dan membentuk usahawan desa yang lebih berdaya saing, lebih inovatif dan mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Dalam dunia yang semakin mencabar, kejayaan tidak hanya bergantung pada modal dan tenaga kerja tetapi juga pada keberanian untuk berubah serta kebijaksanaan dalam merebut peluang.
Strategi Memacu Kejayaan Usahawan Desa
Program keusahawanan belia bertujuan untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan golongan muda agar mereka dapat memulakan dan mengurus perniagaan dengan berjaya. Program ini merangkumi latihan, bimbingan dan sokongan kewangan yang diperlukan untuk membantu mereka mengatasi cabaran dalam dunia perniagaan. Selain memberikan fokus kepada aspek teori, program ini juga menekankan latihan praktikal, bimbingan daripada usahawan berpengalaman, serta sokongan kewangan. Melalui inisiatif ini, golongan muda diberikan peluang untuk membangunkan kemahiran kepimpinan, kreativiti dan daya tahan yang kesemuanya penting untuk kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Antara elemen utama dalam program keusahawanan belia termasuklah:
Dalam dunia perniagaan yang pantas berubah, usahawan desa tidak boleh sekadar bertahan, tetapi harus berani untuk berkembang dan mendahului pasaran. Beberapa strategi utama perlu diadaptasi oleh semua usahawan antaranya termasuklah menguasai platform digital. Tidak cukup dengan berniaga secara tradisional, usahawan juga perlu aktif berniaga menerusi platform seperti TikTok, Instagram, Facebook serta e-dagang seperti Shopee dan Lazada. Penggunaan iklan digital dan automasi kecerdasan buatan (AI) dapat memperkasakan lagi capaian pasaran dengan kos yang lebih rendah.
Selain itu, dalam mempersiapkan tenaga kerja, penting untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu perniagaan supaya lebih ramai usahawan desa dapat menyertai kursus keusahawanan digital yang disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi keusahawanan yang lain. Mencari mentor atau menyertai rangkaian usahawan juga dapat membuka peluang untuk kolaborasi dan memberikan akses kepada pengalaman yang lebih luas.
Usahawan desa perlu membangunkan jaringan dan kerjasama strategik dan tidak boleh bergerak sendirian. Sebaiknya, usahawan perlu bergabung dengan perniagaan lain yang saling melengkapi. Kolaborasi dengan syarikat tempatan atau antarabangsa boleh membuka peluang untuk menembusi pasaran baharu dan mengembangkan perniagaan pada peringkat global. Inovasi harus dijadikan keutamaan kerana usahawan yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mencari cara untuk menambah nilai kepada pelanggan. Peluang pemasaran dan langganan produk boleh digunakan untuk mencipta keunikan dan permintaan yang berterusan. Usahawan juga mesti berani meneroka pasaran luar, serta menyertai ekspo dan pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan pameran antarabangsa yang lain untuk membawa produk tempatan ke peringkat global. Sebagai contoh, MIHAS@Dubai baru-baru ini berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa dengan jualan eksport bernilai RM2.2 bilion.
Dalam dunia keusahawanan, kejayaan bukanlah destinasi akhir, tetapi sebuah perjalanan yang memerlukan keberanian, ketahanan dan keazaman. Masa hadapan ekonomi desa ditentukan oleh usaha dan tekad mereka sendiri. Kegagalan bukanlah pengakhiran tetapi batu loncatan untuk menuju kejayaan. Inilah masanya bagi usahawan desa untuk bangkit, menyesuaikan diri dan menjadi pemacu ekonomi Malaysia pada peringkat global.