Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasaran utama Perjanjian Paris 2015 adalah untuk mengehadkan “peningkatan suhu purata dunia kepada di bawah 2°C melebihi paras praindustri”. Banyak pihak kini berusaha mencapai sasaran 1.5°C untuk mengurangkan risiko bencana alam yang dahsyat kepada manusia. Pada November 2024, semasa Conference of Parties ke-29 (COP29) di Azerbaijan, komitmen baharu diumumkan untuk menyalurkan sejumlah USD1.3 trilion setiap tahun kepada negara membangun bagi menangani isu perubahan iklim.
Pada tahun sebelumnya, COP28 di Dubai menyaksikan beberapa negara menjanjikan sokongan kewangan sekitar USD300 juta untuk dana kerugian dan kerosakan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) bertujuan untuk membiayai bantuan teknikal kepada negara membangun yang terdedah kepada kesan buruk perubahan iklim. Selaras dengan Artikel 9 Perjanjian Paris 2015, usaha ini diharap dapat memudahkan semua pihak mencapai matlamat Perjanjian Paris, iaitu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) hampir separuh menjelang tahun 2030 bagi menghentikan pemanasan global menjelang tahun 2050.
Sehingga kini, sebanyak 107 negara menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (net zero carbon emission) termasuklah penyumbang pelepasan terbesar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan India. Pada tahun 2019, kerajaan Kanada, Korea Selatan, Perancis dan Jerman telah menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Kerajaan United Kingdom meluluskan rang undang-undang untuk menukar semua pelepasan GHG kepada sifar karbon bersih menjelang tahun 2050, sekali gus menjadikannya sebagai kuasa ekonomi pertama yang menetapkan sasaran tersebut secara formal. Kerajaan Malaysia turut menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 35% berbanding dengan tahun 2005, yang kemudiannya ditingkatkan kepada 45% pada tahun 2021.
Dalam dunia perniagaan, syarikat Microsoft mengumumkan pada Januari 2020 bahawa syarikat telah mencapai matlamat menjadi pelepas negatif karbon dan akan mengeluarkan lebih banyak karbon dari atmosfera berbanding dengan karbon yang dilepaskannya menjelang tahun 2030. Microsoft komited untuk mengeluarkan lebih daripada 16 juta metrik tan karbon menjelang tahun 2025, yang setara dengan pengeluaran karbon daripada 3.5 juta kereta di jalan raya setiap tahun. Pada tahun yang sama, Unilever juga mengumumkan bahawa syarikat akan menetapkan sasaran untuk menjadi pelepas negatif karbon menjelang tahun 2030. Syarikat tersebut turut komited untuk mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 50% dan mencapai penggunaan tenaga 100% daripada sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030. Nestle pada tahun 2019 mengumumkan sasaran berasaskan sains untuk mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 30% menjelang tahun 2025 dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
Komitmen syarikat terhadap sasaran karbon sifar bersih melambangkan kesungguhan terhadap kelestarian dan kesediaan mengambil tanggungjawab terhadap kesan perusahaan mereka ke atas alam sekitar. Fokus kepada kelestarian dalam operasi perniagaan dapat meningkatkan reputasi dan nilai jenama sekali gus menarik minat pelanggan dan pelabur yang menghargai amalan perniagaan yang beretika. Selain itu, amalan perniagaan yang lestari boleh membawa kepada penjimatan kos melalui penggunaan tenaga yang cekap, pengurangan sisa dan pengurusan sumber yang lebih berkesan di samping mematuhi peraturan perniagaan. Perkara ini juga bermanfaat untuk pelabur kerana amalan lestari boleh mendorong pertumbuhan ekonomi jangka panjang, mengurangkan risiko dan memastikan pelaburan memberikan kesan sosial serta alam sekitar yang positif.
Untuk memanfaatkan dana yang diperuntukkan oleh United Nations (UN) serta peluang lain, syarikat perlu beroperasi dengan model perniagaan lestari (SBM). SBM menggabungkan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses pembuatan keputusan syarikat bagi mengimbangi kepentingan manusia, alam dan keuntungan serta matlamat strategik syarikat. Dengan memfokuskan kepada empat komponen utama model perniagaan lestari, iaitu Kelestarian, Manusia, Proses dan Sistem, serta Nilai Ekonomi, model ini dapat memastikan kecekapan operasi perniagaan dalam menghadapi perubahan iklim serta memudahkan peralihan kepada karbon sifar bersih.
Dalam komponen kelestarian, syarikat perlu mempertimbangkan kesan operasi terhadap alam sekitar dan sumber semula jadi. Langkah mitigasi risiko harus dilaksanakan supaya perusahaan dapat beradaptasi dengan perubahan alam sekitar, terutamanya dalam landskap perniagaan yang pantas berubah. Selain itu, syarikat juga harus mempromosikan penggunaan sumber dan tenaga boleh baharu bagi mengurangkan pelepasan karbon dan sisa, serta melindungi biodiversiti. Pelibatan bersama-sama para saintis alam sekitar dan golongan profesional lain boleh membantu syarikat untuk menjanakan keuntungan yang mampan dengan operasi yang mesra alam.
Selain kesesuaian dengan alam sekitar, syarikat perlu mengutamakan kesejahteraan tenaga buruh dan komuniti setempat. Aspek kesaksamaan, kepelbagaian dan inklusi dalam kalangan tenaga kerja dan pembekal harus diberi perhatian, sambil menggalakkan pelibatan dan pembangunan komuniti.
Data sumber manusia harus dimanfaatkan sebaiknya untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan populasi pekerja atau kekurangan bakat dari kumpulan demografi tertentu, yang mungkin disebabkan oleh kekurangan wakil dari kumpulan tertentu atau struktur gaji yang kurang saksama dalam syarikat. Golongan profesional kewangan seperti akauntan dan juruanalisa berperanan menentukan penunjuk alam sekitar dan penunjuk sosial yang sesuai (contoh: sasaran pencapaian, metrik dan petunjuk prestasi utama) agar operasi syarikat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Sustainability Development Goals). Budaya syarikat yang baik turut diperlukan untuk mengubah tingkah laku kakitangan, hala tuju firma serta amalan perniagaan agar lebih menyokong kelestarian alam sekitar dan keadilan dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, buruh yang cekap, produktif dan berkemampuan diperlukan untuk mencapai sasaran strategik kelestarian dan memahami keperluan pihak berkepentingan. Selain daripada pemantauan prestasi ESG, golongan profesional kewangan seperti akauntan dan penganalisis boleh membantu dalam menilai kesan skor ESG yang rendah atau ketidakpatuhan terhadap peraturan alam sekitar ke atas kewangan syarikat.
Perusahaan lestari perlu memberikan tumpuan kepada proses dan sistem yang cekap untuk menjanakan keuntungan dengan memberikan keutamaan kepada ESG. Selain daripada melaporkan risiko kelestarian, syarikat perlu menekankan amalan perniagaan beretika, hak buruh dan hak asasi manusia dalam operasi mereka. Kecekapan operasi syarikat bergantung pada keberkesanan kaedah yang digunakan untuk menggali maklumat yang tersedia, selain takrif input ESG yang jelas dan struktur tadbir urus yang jelas.
Dalam menjanakan keuntungan, cadangan perniagaan yang diutarakan untuk syarikat perlu menyokong kewujudan bersama manusia dan alam sekitar. Memandangkan dunia sedang bergerak ke arah ekonomi kitaran dengan sasaran berasaskan fakta sains, elemen kitar semula produk, pembaharuan dan penggunaan semula sumber yang terhad perlu disertakan dalam cadangan projek selain rangka kerja pengawalan risiko yang mantap. Cadangan yang diutarakan juga perlu mempertimbangkan pendekatan untuk mengenal pasti teknologi bersih dan kaedah untuk melepaskan aset konvensional. Dalam hal ini, selain berganding bahu dengan golongan profesional kewangan, kerjasama syarikat dengan komuniti sains dan teknologi akan menguntungkan dan menambah nilai kepada cadangan perniagaan.
Seperti mana dalam operasi firma konvensional, keuntungan perniagaan yang menggabungkan agenda kelestarian harus dipertimbangkan dengan mengambil kira faktor masa untuk memastikan kesinambungan. Penyata kewangan, rancangan dan belanjawan perniagaan perlu diteliti menggunakan metrik dan nisbah perakaunan, sama seperti sebelum Perjanjian Paris dikuatkuasakan. Golongan profesional boleh membantu syarikat mengenalpasti perubahan tingkah laku pengguna serta peraturan perniagaan dan alam sekitar, sambil mempertimbangkan peluang penjimatan kos dan sumber pendapatan baharu melalui produk dan perkhidmatan mesra alam.
Dalam menelusuri perubahan dunia ke arah persekitaran yang lebih mampan, manusia dan komuniti perniagaan khususnya perlu menyesuaikan pendekatan perniagaan bagi memastikan kelestarian dan keuntungan yang berterusan. Dunia yang semakin panas dan terdedah kepada risiko alam sekitar memerlukan kita membuat pilihan yang bijak demi masa hadapan generasi yang akan datang.
Siti Norafidah Mohd Ramli, PhD, CFA ialah Pensyarah Kanan, Program Sains Aktuari, Universiti Kebangsaan Malaysia.