Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia sedang bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi yang berteraskan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan rakyat. Pelbagai dasar dirangka untuk menarik pelaburan, meningkatkan produktiviti, serta memperkukuh daya saing. Namun begitu, kejayaan agenda tersebut bergantung pada satu faktor asas yang sering dipandang sebagai isu moral semata-mata, iaitu integriti.

Dalam konteks ekonomi, integriti ialah aset strategik yang mempengaruhi kecekapan pasaran, keberkesanan institusi awam dan keyakinan pelabur. Sebaliknya, rasuah dan salah guna kuasa meningkatkan kos ekonomi, menjejaskan produktiviti, serta melemahkan daya saing negara.

Rasuah sebagai Kos Ekonomi

Rasuah bukan sekadar pelanggaran undang-undang, malah merupakan kos tersembunyi yang mengurangkan kecekapan ekonomi. Apabila keputusan dibuat berdasarkan kepentingan peribadi, bukannya merit dan keperluan sebenar, sumber tidak lagi diagihkan secara optimum.

Keadaan ini menyebabkan projek yang memberikan pulangan sosial tinggi berisiko diketepikan, manakala projek yang kurang berimpak menerima keutamaan. Sebagai akibatnya, perbelanjaan awam menjadi kurang cekap dan setiap ringgit yang dibelanjakan gagal menghasilkan nilai terbaik kepada rakyat.

Dalam jangka masa panjang, ketirisan mengurangkan keberkesanan pelaburan dalam bidang pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan inovasi. Kesannya bukan sahaja menjejaskan produktiviti negara, malah mengehadkan peluang ekonomi, serta mengurangkan kualiti hidup rakyat.

Integriti Tingkatkan Keyakinan Pelabur

Dalam ekonomi global yang semakin kompetitif, pelabur bukan sahaja menilai saiz pasaran dan kemudahan infrastruktur, malah turut mengambil kira kualiti tadbir urus sesebuah negara.

Persekitaran yang telus dan bebas daripada amalan rasuah mengurangkan risiko perniagaan, mempercepat proses kelulusan, serta meningkatkan kepastian dasar. Faktor ini menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan berkualiti, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

Sebaliknya, persepsi terhadap rasuah meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan menjejaskan keyakinan pelabur. Sebagai akibatnya, negara berisiko kehilangan peluang pelaburan yang mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan eksport dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Pengalaman negara seperti Singapura, New Zealand dan beberapa negara Nordik menunjukkan bahawa tadbir urus yang telus merupakan antara faktor penting yang menyokong daya saing ekonomi dan kemakmuran jangka masa panjang.

Impak kepada Kesejahteraan Rakyat

Kesan rasuah tidak terhad kepada aspek pentadbiran, malah dirasai secara langsung oleh rakyat. Ketirisan dana awam boleh menjejaskan penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan program bantuan sosial.

Golongan berpendapatan rendah lazimnya menerima kesan paling besar kerana mereka lebih bergantung pada perkhidmatan awam. Apabila sumber tidak diurus secara berkesan, jurang sosial dan ekonomi berisiko semakin melebar.

Pembangunan ekonomi yang mampan bukan sekadar meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh lapisan masyarakat. Oleh itu, usaha memperkukuh integriti turut menyokong agenda kesejahteraan dan keterangkuman ekonomi.

Memperkukuh Tadbir Urus

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh tadbir urus, termasuk penambahbaikan sistem perolehan awam, pendigitalan penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan mekanisme pemantauan.

Transformasi digital turut meningkatkan ketelusan melalui penggunaan sistem elektronik dalam urusan perolehan, pembayaran dan penyampaian perkhidmatan. Pendekatan ini dapat mengurangkan campur tangan manusia, mempercepat proses kerja, serta mengecilkan ruang berlakunya salah guna kuasa.

Namun begitu, penguatkuasaan sahaja tidak memadai. Integriti perlu dibudayakan melalui pendidikan, penghayatan nilai murni dan pemerkasaan etika profesional agar menjadi amalan dalam sektor awam, swasta dan masyarakat.

Integriti sebagai Modal Pembangunan

Dalam ekonomi moden, kelebihan daya saing tidak lagi bergantung semata-mata pada sumber asli atau pembangunan fizikal. Sebaliknya, kepercayaan, ketelusan dan tadbir urus yang baik menjadi faktor utama yang menentukan keupayaan sesebuah negara menarik pelaburan, merangsang inovasi dan mengekalkan pertumbuhan jangka masa  panjang.

Oleh itu, integriti wajar dilihat sebagai modal pembangunan yang sama pentingnya dengan modal insan dan modal fizikal. Apabila setiap dasar dilaksanakan secara telus dan berakauntabiliti, sumber awam dapat dimanfaatkan dengan lebih cekap, serta memberikan pulangan ekonomi dan sosial yang lebih besar.

Malaysia mempunyai potensi untuk muncul sebagai ekonomi yang lebih maju, berdaya tahan dan inklusif. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, integriti perlu dijadikan budaya dalam setiap aspek tadbir urus dan pembangunan. Dengan institusi yang kukuh, pentadbiran yang telus dan komitmen berterusan membanteras rasuah, pertumbuhan ekonomi bukan sahaja dapat dipacu secara mampan, malah manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

Dr. Lim Chee Ann, Pensyarah Kanan di Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi