Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubsidi minyak masak merupakan antara instrumen dasar yang digunakan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
Melalui Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), minyak masak paket bersaiz satu kilogram dijual pada harga sekitar RM2.50, iaitu jauh lebih rendah berbanding dengan harga pasaran yang boleh mencecah hampir RM6.90 seunit. Dasar ini bertujuan memastikan barangan keperluan asas kekal mampu dimiliki oleh majoriti isi rumah, terutama kumpulan pendapatan rendah (B40) yang lebih terkesan oleh kenaikan harga makanan.
Bagi memastikan rakyat terus menikmati harga minyak masak yang lebih rendah, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini bagi menampung subsidi berkenaan.
Pada peringkat awal pelaksanaan skim ini, subsidi minyak masak dianggarkan mencecah kira-kira RM1.6 bilion setahun bagi menampung pengeluaran sekitar 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi setiap bulan yang dianggarkan mencukupi untuk kira-kira 80 peratus isi rumah di Malaysia.
Statistik lain menunjukkan bahawa lebih daripada 20 juta pek minyak masak bersubsidi telah dijual sejak pelaksanaan sistem digital eCOSS bermula pada Mei 2025 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengesanan dan mengurangkan ketirisan dalam rantaian pengedaran.
Walaupun peruntukan kewangan yang besar disediakan, pelaksanaan subsidi minyak masak tidak terlepas daripada beberapa cabaran yang menimbulkan persoalan tentang keberkesanan dasar ini. Dalam teori ekonomi, subsidi harga merupakan satu bentuk campur tangan kerajaan bagi menurunkan harga barangan kepada pengguna.
Langkah ini lazimnya dilaksanakan untuk melindungi kebajikan pengguna apabila harga pasaran meningkat atau apabila sesuatu barangan dianggap sebagai keperluan asas. Namun demikian, jika subsidi tidak disasarkan dengan tepat, keadaan ini boleh mewujudkan ketidakcekapan pasaran, termasuk peningkatan permintaan berlebihan, ketirisan subsidi dan beban fiskal kepada kerajaan.
Di Malaysia, isu berkaitan dengan subsidi minyak masak yang sering dibangkitkan termasuklah ketirisan dan penyelewengan subsidi, kekurangan bekalan dalam pasaran, serta penyalahgunaan kuota oleh pihak tertentu. Situasi ini menunjukkan bahawa negara berdepan dengan cabaran dalam memastikan pengagihan subsidi dilaksanakan secara telus, cekap dan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Ketirisan dan Penyelewengan Subsidi
Satu daripada isu utama dalam pelaksanaan subsidi minyak masak ialah ketirisan dalam rantaian pengedaran. Harga minyak masak paket bersubsidi yang jauh lebih rendah berbanding dengan harga pasaran menjadikannya sasaran aktiviti penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam beberapa kes yang dilaporkan, minyak masak bersubsidi dibeli secara pukal dan dijual semula pada harga lebih tinggi, diproses sebagai minyak masak terpakai atau dijadikan pek baharu untuk kegunaan komersial seperti restoran dan perniagaan makanan.
Dari perspektif ekonomi, fenomena ini dapat dijelaskan melalui konsep herotan harga (price distortion). Apabila harga sesuatu barangan ditetapkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran sebenar, wujud insentif ekonomi kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi perbezaan harga tersebut. Kajian antarabangsa mendapati bahawa subsidi bersifat umum sering memberikan manfaat kepada kumpulan yang lebih luas daripada sasaran asal, termasuk peniaga dan pengguna berpendapatan tinggi.
Isu kedua yang sering dibangkitkan ialah kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi pada peringkat runcit. Walaupun kerajaan menetapkan kuota bekalan sekitar 60,000 tan metrik sebulan bagi memenuhi keperluan rakyat, bekalan tersebut kadangkala sukar diperoleh oleh pengguna di kedai runcit.
Kekurangan ini berpunca daripada beberapa faktor seperti pembelian secara besar-besaran, penyorokan stok, serta penyeludupan ke luar negara. Dalam sesetengah keadaan, permintaan tinggi terhadap minyak masak bersubsidi menyebabkan bekalan cepat habis sebelum sampai kepada pengguna yang benar-benar memerlukan.
Terdapat juga kes penyalahgunaan lesen oleh syarikat pembungkusan atau pengedar minyak masak. Syarikat yang diberikan kuota subsidi sepatutnya mengedarkan minyak masak kepada peruncit mengikut peraturan.
Namun begitu, dalam beberapa kes, bekalan disalahgunakan dengan dijual kepada pihak yang tidak layak, mengabaikan kuota atau prosedur pengedaran, malah disalurkan dalam pasaran gelap atau diseludupkan ke luar negara. Penyalahgunaan ini menjejaskan keberkesanan subsidi, serta mengurangkan bekalan kepada golongan sasaran.
Beban Fiskal kepada Negara
Di samping isu ketirisan, pelaksanaan subsidi minyak masak turut memberikan implikasi signifikan kepada kedudukan fiskal negara. Rekod perbelanjaan terdahulu menunjukkan bahawa subsidi berkaitan dengan minyak dan barangan berasaskan minyak sawit pernah mencecah sehingga RM4 bilion setahun pada tempoh tertentu. Perbelanjaan yang besar ini menunjukkan bahawa subsidi makanan asas memerlukan komitmen kewangan kerajaan secara berterusan bagi mengekalkan harga pada tahap mampu milik.
Peruntukan fiskal yang besar juga menimbulkan cabaran dari sudut pengurusan belanjawan negara. Kerajaan perlu menyeimbangkan antara mengekalkan program perlindungan sosial dengan keperluan membiayai sektor penting lain seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, serta kebajikan masyarakat.
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan tekanan inflasi terhadap harga makanan, kerajaan sering berhadapan dengan dilema antara mengekalkan subsidi bagi melindungi rakyat atau mengurangkan subsidi demi memastikan kedudukan fiskal kekal mampan.
Dari perspektif ekonomi awam, subsidi berskala besar tetapi tidak disasarkan secara tepat boleh menyebabkan ketidakcekapan dalam penggunaan sumber kerajaan. Sebahagian manfaat subsidi mungkin dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi atau sektor komersial yang sebenarnya tidak memerlukan bantuan tersebut. Keadaan ini mewujudkan fenomena fiscal leakage, iaitu apabila perbelanjaan kerajaan tidak mencapai kumpulan sasaran secara optimum.
Pengalaman Negara Lain
Pengalaman negara lain menunjukkan bahawa pengurusan subsidi barangan asas sering memerlukan reformasi dasar secara berkala. Sebagai contoh, Indonesia pernah melaksanakan subsidi minyak goreng bagi mengekalkan harga rendah kepada pengguna. Namun begitu, selepas berdepan dengan masalah ketirisan dan tekanan fiskal, kerajaan negara itu menggunakan pendekatan baharu yang menggabungkan kawalan harga dengan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah.
Di Thailand pula, kerajaan menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel dengan membenarkan harga pasaran memainkan peranan lebih besar, namun pada masa yang sama menyediakan bantuan kepada pengeluar kecil, serta program sokongan kepada pengguna berpendapatan rendah. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan herotan pasaran sambil mengekalkan perlindungan sosial.
Langkah ke Arah Subsidi yang Lebih Bersasar
Meskipun kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi menangani isu ketirisan subsidi minyak masak melalui sistem digital eCOSS, penguatkuasaan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing, serta operasi membanteras penyorokan stok dan penyeludupan, langkah tersebut masih memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan termasuklah memperluas penggunaan mekanisme subsidi secara langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah melalui pemindahan tunai bersasar atau baucar digital. Kaedah ini dapat mengurangkan kebergantungan pada subsidi harga pada peringkat runcit, serta mengelakkan ketirisan sepanjang rantaian pengedaran.
Pada masa yang sama, kerajaan dicadangkan meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, serta memanfaatkan teknologi analitik data bagi mengesan corak pembelian yang mencurigakan. Dalam jangka masa panjang, penggunaan sistem pengenalan identiti seperti MyKad atau integrasi dengan pangkalan data pendapatan isi rumah boleh membantu memastikan subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak.
Dalam aspek tadbir urus, kerajaan juga dicadangkan memperkukuh mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan terhadap syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan minyak masak bersubsidi. Sekiranya didapati melanggar peraturan, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen operasi wajar dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, subsidi minyak masak masih memainkan peranan penting sebagai alat perlindungan sosial dalam jangka masa pendek, khususnya dalam melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kenaikan harga barangan asas. Namun begitu, tanpa mekanisme sasaran yang lebih tepat, subsidi sebegini berisiko menimbulkan ketirisan, meningkatkan beban fiskal kerajaan, serta mewujudkan ketidakcekapan pasaran.
Oleh itu, cabaran utama dasar ini ialah mencari keseimbangan antara usaha melindungi kebajikan rakyat dengan memastikan kecekapan ekonomi supaya pengurusan subsidi dapat dilaksanakan secara lebih mampan demi kesejahteraan jangka masa panjang negara.
Dr. Norhanishah Mohamad Yunus, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.