Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan CAIQ Biosecurity Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh ekosistem pensijilan eksport negara menerusi pelaksanaan Malaysia-China Gateway Initiative (MCGI).

Inisiatif ini bagi meningkatkan keupayaan pengeksport tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran China dengan lebih berkesan.

Kerjasama tersebut memberikan tumpuan pada penyediaan sokongan pematuhan teknikal dan peningkatan kesiapsiagaan pasaran, termasuk membantu syarikat memenuhi keperluan import China seperti ujian produk, dokumentasi, pelabelan, kebolehkesanan produk, serta pematuhan terhadap peraturan kawal selia negara berkenaan. Inisiatif ini dijangka memudahkan syarikat tempatan memenuhi standard pasaran China yang semakin ketat dan meningkatkan daya saing eksport negara.

Tidak seperti program latihan konvensional, MCGI berfungsi sebagai platform pelaksanaan menyeluruh yang membimbing syarikat melalui setiap peringkat proses eksport bermula daripada penilaian awal, persediaan pematuhan, akses pasaran, padanan perniagaan sehingga susulan selepas eksport.

Pendekatan bersepadu ini turut memanfaatkan platform pembangunan pasaran sedia ada MATRADE seperti promosi perdagangan, padanan perniagaan dan saluran perdagangan digital.

Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun permintaan terhadap produk Malaysia di China terus meningkat, banyak pengusaha tempatan masih berdepan dengan cabaran untuk memenuhi keperluan teknikal dan regulatori yang ketat, termasuk proses pendaftaran produk di bawah pihak berkuasa China seperti General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) dan National Medical Products Administration (NMPA).

Menurut beliau, MCGI diwujudkan bagi merapatkan jurang antara akses pasaran dengan pematuhan teknikal, sekali gus membolehkan syarikat Malaysia memasuki pasaran China dengan lebih pantas, mematuhi keperluan peraturan dan meningkatkan skala perniagaan secara mampan. Inisiatif ini turut menyediakan sokongan meliputi pensijilan, semakan pelabelan, ujian makmal, kebolehkesanan produk dan pendaftaran tanda dagangan.

Skop pelaksanaan MCGI merangkumi pelbagai sektor bernilai tinggi seperti pertanian, produk akuatik, makanan dan makanan kesihatan, kosmetik, penjagaan kesihatan, penjagaan haiwan peliharaan, komoditi, serta produk berstatus Petunjuk Geografi (GI). Langkah ini dijangka mempercepat pengkomersialan produk premium Malaysia yang mempunyai nilai tambah tinggi, di samping memenuhi permintaan pengguna China terhadap produk berkualiti dan tulen.

Selain memperluas akses pasaran, inisiatif ini dijangka membantu mempelbagaikan struktur eksport negara yang masih banyak bergantung pada komoditi tradisional seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG), serta produk elektrik dan elektronik. Peningkatan eksport produk pengguna bernilai tinggi berpotensi menjana margin keuntungan yang lebih baik dan mengukuhkan daya saing Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, MATRADE dan CAIQ Biosecurity akan mewujudkan mekanisme pemantauan bersama untuk menilai pencapaian syarikat yang menyertai program, termasuk jumlah syarikat yang menerima sokongan pematuhan, produk yang berjaya didaftarkan, prospek eksport yang diwujudkan, serta nilai jualan eksport sebenar.

China kekal sebagai antara rakan dagang terpenting Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion pada tahun 2025 yang mewakili 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara.

Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, perdagangan dua hala terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 26.8 peratus kepada RM261.32 bilion, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk syarikat Malaysia memperluas penguasaan pasaran di republik tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi