Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasaran modal Malaysia perlu memacu penciptaan nilai yang mampan dan memperluas manfaat pertumbuhan ekonomi kepada rakyat bagi memastikan pembangunan negara dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fasa baharu pembangunan pasaran modal negara tidak lagi boleh hanya tertumpu pada usaha menarik pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu memberikan penekanan kepada kualiti pertumbuhan, tadbir urus yang baik dan penciptaan nilai jangka masa panjang.
Menurut beliau, landskap pelaburan global kini mengalami perubahan ketara apabila pelabur bukan sahaja menilai keuntungan sesebuah syarikat, malah turut mengambil kira keupayaan syarikat mengurus modal secara berkesan, melaksanakan tadbir urus korporat yang kukuh dan menyediakan strategi pertumbuhan yang jelas.
Beliau berkata, syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai visi jangka masa panjang dilihat lebih berpotensi menarik minat pelabur dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Invest Malaysia 2026 yang berlangsung di ibu negara dengan tema “From Reform to Execution: Malaysia’s Next Leap”.

Persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan strategi memperkukuh daya saing negara dalam mendepani cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan sesebuah negara tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang berjaya dibawa masuk semata-mata. Sebaliknya, kejayaan sebenar bergantung pada sejauh mana pelaburan yang diterima mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, merangsang aktiviti keusahawanan, meningkatkan produktiviti dan memperbaik taraf hidup rakyat.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, beliau menjelaskan bahawa inisiatif MyValueUP diperkenalkan untuk menggalakkan perubahan budaya dalam pasaran modal daripada pendekatan berasaskan pematuhan kepada pendekatan yang lebih menumpukan kepada penciptaan nilai. Melalui inisiatif ini, syarikat digalakkan memberikan tumpuan kepada strategi pembangunan jangka masa panjang yang mampu menghasilkan nilai berkekalan kepada pemegang saham dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Sebagai sokongan kepada agenda berkenaan, tiga syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian daripada modal pelaburan mereka bagi menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap prinsip penciptaan nilai dan amalan yang digariskan menerusi MyValueUP.
Langkah ini dijangka memperkukuh ekosistem pasaran modal negara dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan pada peringkat global.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pertumbuhan yang dijana melalui pasaran modal perlu memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan, belia, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), komuniti luar bandar, serta wilayah pembangunan baharu.
Pendekatan yang lebih inklusif amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diagihkan secara lebih seimbang dan mampan.
Beliau turut menekankan bahawa pasaran modal yang kukuh perlu berfungsi sebagai pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi negara merangkumi aspek inovasi, pembangunan perusahaan, pembiayaan pertumbuhan dan penciptaan peluang baharu.
Dengan gabungan reformasi dasar, pelaksanaan yang berkesan dan komitmen sektor swasta, Malaysia diyakini mampu melonjak ke tahap pembangunan ekonomi yang lebih tinggi dan memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.