Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSabak Bernam – Projek tanaman tembikai yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Smart Agro Park (SSAP), Sungai Air Tawar terus memacu ekonomi luar bandar dan memperkukuh sekuriti makanan negeri menerusi peningkatan pengeluaran hasil pertanian bernilai tinggi, serta pewujudan peluang pendapatan kepada komuniti setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, YBrs. Encik Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kejayaan projek berkenaan membuktikan bahawa penggunaan teknologi pertanian pintar dan amalan pertanian mampan mampu meningkatkan produktiviti sektor agromakanan, di samping memberikan impak ekonomi yang positif kepada masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, PKPS komited untuk memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian selain memperkasakan usahawan tani bagi memastikan bekalan makanan yang mampan dan berterusan.
Menurut beliau, pembangunan SSAP yang menggabungkan teknologi pertanian moden menjadi contoh terbaik dalam usaha mentransformasikan sektor agro Selangor. Daripada keluasan keseluruhan 120 ekar kawasan pembangunan, sebanyak 105.5 ekar telah dimanfaatkan yang mewakili kira-kira 88 peratus penggunaan tanah.
Selain tembikai premium, kawasan tersebut turut diusahakan dengan tanaman bernilai tinggi lain seperti nanas Yankee, betik B9 dan kelapa hibrid secara komersial.
Hingga Disember 2025, SSAP merekodkan jumlah jualan sebanyak RM483,082 dengan pengeluaran keseluruhan mencecah 154.9 tan metrik hasil pertanian. Bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan menjana pendapatan jangka masa pendek, pelbagai tanaman kontan seperti labu, bendi, terung dan pisang turut ditanam di kawasan berkenaan.
Kejayaan projek tersebut turut mendapat perhatian apabila Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat kemudahan SSAP pada 4 Jun 2026 sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0. Lawatan itu mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan sektor agromakanan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Pada masa yang sama, SSAP turut memainkan peranan penting dalam pembangunan usahawan tani menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) Melosel. Program berasaskan teknologi fertigasi moden itu dilaksanakan di Parit Baru dan Kampung Tebuk Berihun dengan melibatkan 15 unit Rumah Pelindung Hujan bagi pengeluaran tembikai premium Selangor yang dikenali sebagai “Melosel”. Sebanyak 15 peserta terlibat dalam program tersebut dengan setiap peserta mengusahakan kira-kira 2000 pokok tembikai menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 000 pokok.
Hasil daripada pusingan pengeluaran pertama antara November 2024 hingga Januari 2025 menunjukkan peserta program di Kampung Tebuk Berihun berjaya memperoleh purata pendapatan bersih sebanyak RM4,583 seorang. Harga ladang bagi tembikai Gred A pula mencapai RM8 sekilogram, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
“Melosel” merupakan varieti tembikai premium yang dibangunkan khusus untuk Selangor menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan kerajaan negeri hasil daripada kerjasama antara PKPS dengan Green World Genetics Sdn. Bhd. sejak tahun 2022. Kejayaan varieti tersebut membuktikan keberkesanan penyelidikan tempatan dalam menghasilkan produk pertanian berkualiti tinggi dan berdaya saing dalam pasaran.
Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, PKPS merancang untuk melaksanakan fasa kedua projek bermula Julai ini. Langkah tersebut dijangka dapat memperkukuh rantaian bekalan agromakanan negeri, meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil pertanian berkualiti tinggi, serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar dan pemain industri.
Inisiatif ini juga selaras dengan usaha PKPS untuk memperkukuh sekuriti makanan melalui pelaksanaan pelan transformasi perniagaan tani negeri yang memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor agro yang moden, berdaya tahan dan mampan.