Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jenama beras terkemuka negara, Jati melakar sejarah dalam industri agromakanan tempatan apabila melancarkan Chom Chom, snek beras putih tempatan pertama di Malaysia.
Produk nilai tambah berasaskan beras putih tempatan itu ditransformasikan sebagai snek moden yang lebih sihat dan berpotensi bersaing dalam pasaran terbuka.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Old Malaya, Kuala Lumpur itu diserikan dengan keberangkatan Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Tuanku Raja Puan Muda Kedah menzahirkan rasa bangga melihat hasil pertanian tempatan diberikan nafas baharu melalui pendekatan yang kreatif, progresif dan berdaya maju. Langkah ini mampu mencipta nilai ekonomi yang lebih besar kepada industri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, pelancaran produk tersebut membuktikan sektor agromakanan negara terus berkembang menerusi inovasi dan pemodenan yang selari dengan keperluan pasaran semasa.
Menurut beliau, beras putih tempatan kini terbukti mampu melangkaui penggunaan tradisional untuk menghasilkan produk moden yang mempunyai potensi komersial yang lebih luas.
YBhg. Datuk Seri Isham turut menegaskan bahawa kejayaan Chom Chom memenuhi empat kepentingan utama negara, iaitu Inovasi Agromakanan, Pemodenan Pertanian, Pengukuhan Rantaian Nilai dan Pengkomersialan Hasil Tempatan.
Usaha tersebut selaras dengan aspirasi KPKM dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan memperkasakan ekosistem industri daripada petani sehingga usahawan pemasaran.
Beliau turut menyeru syarikat tempatan untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memacu masa hadapan sektor pertanian negara berasaskan formula inovasi, penjenamaan, penciptaan nilai dan pengembangan pasaran.
“Jika kita menguasai rantaian ini, sektor pertanian akan menjadi sektor premium yang mampu menjana pulangan lumayan kepada negara,” jelas beliau.
Beliau turut menambah bahawa produk inovatif seperti Chom Chom akan diketengahkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September 2026.
Kemuncak acara menyaksikan pertunjukan dron yang menerangi ruang udara Kuala Lumpur dengan formasi menyerupai produk Chom Chom sebagai simbolik pelancaran rasmi snek inovatif berkenaan.
Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran maskot rasmi MAHA 2026, Che Yam, serta pameran promosi MAHA.
