Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Program Sokongan Industri dan Perniagaaan Rakyat (SINAR) yang bernilai RM205 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi cabaran semasa susulan krisis bekalan global yang tercetus akibat konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong menyempurnakan pelancaran program baharu tersebut yang dilaksanakan melalui SME Corp. Malaysia.
Program SINAR merangkumi lima inisiatif baharu yang melibatkan bantuan kewangan dan bukan kewangan yang akan dibuka untuk permohonan mulai Jun 2026.
Menurut KUSKOP, program tersebut turut menyediakan akses kepada pembiayaan tambahan dan program pembangunan kapasiti bagi membantu PMKS mengekalkan aliran tunai, meneruskan operasi dan memperkukuh daya tahan perniagaan dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Daripada jumlah peruntukan keseluruhan, tiga program pembiayaan ditawarkan dengan nilai pembiayaan hingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga peratus hingga lima peratus setahun. Kemudahan pembiayaan tersebut disediakan melalui kerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.
Selain itu, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif diperkenalkan sebagai program pembangunan kapasiti yang menawarkan geran hingga 90 peratus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan mereka. Program sama turut membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran berkaitan dengannya bagi membolehkan transformasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Bagi memudahkan akses kepada semua inisiatif yang ditawarkan, PMKS yang ingin memohon pembiayaan hanya perlu mendapatkan Status PMKS, iaitu pensijilan rasmi yang mengesahkan sesebuah perniagaan memenuhi definisi PMKS.
KUSKOP turut menawarkan kadar diskaun sebanyak 50 peratus bagi permohonan Status PMKS bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2026.
YB Steven Sim berkata, kerajaan memahami bahawa banyak usahawan kini berdepan dengan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan pasaran susulan krisis bekalan global yang berpunca daripada perkembangan geopolitik dan geoekonomi dunia.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan dengan cabaran ini bersendirian. Melalui SINAR, kita mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan yang diperlukan untuk terus bertahan, berkembang dan mencipta peluang pekerjaan,” jelas beliau.
Pengumuman tersebut dibuat sempena perasmian Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall.
Turut diadakan bersempena dengan karnival tersebut ialah Program Halal Sukses KUSKOP Johor yang menyediakan bimbingan kepada usahawan berkaitan dengan pensijilan halal, pemasaran digital dan peluang jaminan pembiayaan perniagaan.
Pada masa yang sama, TikTok Shop bertindak sebagai rakan strategik program menerusi pelbagai inisiatif pendigitalan yang disasarkan usahawan PMKS.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.