Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pekerja merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi sesebuah negara. Dalam apa-apa sektor sekalipun, tenaga kerja memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan produktiviti, serta menyokong pertumbuhan negara secara menyeluruh. Atas sebab itu, kebanyakan kerajaan di dunia memberikan perhatian serius terhadap usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pekerja agar mereka mampu menyumbang secara optimum kepada pembangunan negara.

Di Malaysia, agenda memperkasakan pekerja turut menjadi antara keutamaan kerajaan MADANI melalui pelbagai dasar, reformasi dan inisiatif yang bertujuan meningkatkan taraf hidup, perlindungan sosial, serta pembangunan modal insan. Pendekatan tersebut penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja terus terpelihara dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar dan dinamik.

Secara umumnya, pekerja merujuk individu yang bekerja untuk memperoleh upah atau gaji. Menurut Kamus Dewan, pekerja ialah orang yang melakukan pekerjaan untuk mendapatkan bayaran atau pendapatan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, tenaga buruh Malaysia pada Februari 2026 dianggarkan berjumlah 17.3 juta orang. Peningkatan jumlah tenaga buruh dari tahun ke tahun memerlukan dasar yang lebih menyeluruh bagi memastikan hak, kebajikan dan produktiviti pekerja dapat dipertingkatkan.

Dalam konteks perundangan, Kementerian Sumber Manusia Malaysia terus memperkukuh perlindungan pekerja melalui Akta Kerja 1955 yang menjadi instrumen utama dalam mengawal hubungan antara majikan dengan pekerja. Akta tersebut memainkan peranan penting dalam melindungi hak pekerja, serta menetapkan tanggungjawab majikan terhadap kebajikan tenaga kerja.

Walaupun keberkesanan akta tersebut sering menjadi perbahasan dalam kalangan majikan dan pekerja, pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyesuaikan undang-undang buruh negara dengan perkembangan semasa industri dan piawaian antarabangsa.

Antara pindaan utama termasuklah pengurangan waktu kerja mingguan kepada 45 jam, lanjutan cuti bersalin kepada 98 hari, pemberian cuti paterniti selama tujuh hari, serta peluasan perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji.

Namun begitu, perkembangan ekonomi digital dan pekerjaan fleksibel mewujudkan cabaran baharu apabila sebahagian besar pekerja gig masih belum dilindungi sepenuhnya di bawah kerangka perundangan sedia ada kerana status mereka sebagai pekerja bebas.

Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja, kerajaan MADANI turut melaksanakan reformasi gaji dan pendapatan melalui pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024. Melalui Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1700 sebulan yang berkuat kuasa kepada semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja. Langkah tersebut bertujuan mengimbangi peningkatan kos sara hidup dan melindungi pekerja berpendapatan rendah daripada eksploitasi.

Peningkatan gaji minimum bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah dilihat mampu memperkukuh motivasi, produktiviti dan daya beli pengguna. Dalam jangka masa panjang, langkah tersebut turut menyokong pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan penggunaan swasta.

Selain dasar gaji minimum, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai sebahagian daripada reformasi pasaran buruh negara. Dasar yang diterajui Kementerian Sumber Manusia Malaysia itu bertujuan meningkatkan gaji pekerja secara berperingkat selari dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti.

Berbeza daripada pendekatan tradisional yang menetapkan kadar minimum gaji, DGP memberikan penekanan kepada pembangunan kerjaya dan peningkatan pendapatan secara progresif. Dasar tersebut juga melengkapi pelaksanaan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) bagi memastikan pengagihan pendapatan yang lebih seimbang dalam pasaran pekerjaan.

Pada masa sama, kerajaan MADANI turut melaksanakan reformasi saraan sektor awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2024 bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Pelaksanaan SSPA bertujuan memperkukuh struktur saraan, meningkatkan motivasi penjawat awam dan memperbaiki kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Sistem baharu tersebut memberikan penekanan kepada aspek produktiviti dan prestasi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan turut disifatkan sebagai antara pelarasan terbesar dalam sejarah perkhidmatan awam negara selepas semakan terakhir dilakukan pada tahun 2013.

Selain reformasi gaji, kerajaan turut memperkukuh perlindungan sosial pekerja termasuk golongan pekerja gig yang semakin berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital. Perkembangan sektor e-pangggilan, penghantaran makanan dan pekerjaan bebas mewujudkan keperluan kepada kerangka perlindungan sosial yang lebih inklusif.

Sehubungan dengan itu, penguatkuasaan Akta Gig 2025 dilihat sebagai langkah penting dalam melindungi hak lebih daripada 1.6 juta pekerja gig dan sektor tidak formal di negara ini. Akta tersebut menyediakan perlindungan berkaitan dengan keselamatan sosial, ketelusan kontrak pekerjaan, serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih jelas.

Melalui akta tersebut, pekerja gig tidak lagi dilihat sekadar pekerja bebas tanpa perlindungan, sebaliknya diberi pengiktirafan lebih adil dalam sistem pekerjaan negara. Perlindungan seperti caruman keselamatan sosial, insurans kemalangan dan faedah kesihatan mampu meningkatkan jaminan kebajikan golongan tersebut.

Kerajaan turut memperkukuh perlindungan sosial pekerja melalui pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24/7 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Skim tersebut diwujudkan bagi menyesuaikan sistem perlindungan sosial dengan perubahan corak pekerjaan semasa yang semakin fleksibel dan berasaskan aturan kerja hibrid. Menurut PERKESO, pelaksanaan skim tersebut dapat mengurangkan jurang perlindungan sosial berikutan ribuan tuntutan sebelum ini ditolak kerana tidak memenuhi takrif bencana kerja di bawah sistem sedia ada.

Dalam aspek kesejahteraan pekerja pula, kerajaan memperkenalkan Kad Pekerja MADANI yang berfungsi sebagai medium digital bagi membolehkan pekerja menikmati pelbagai kemudahan dan manfaat melalui kerjasama dengan sektor swasta.

Antara manfaat yang ditawarkan termasuklah diskaun perkhidmatan kesihatan, akses latihan kemahiran dan insentif tertentu yang membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup. Langkah tersebut dilihat mampu menyatukan pelbagai inisiatif bantuan pekerja di bawah satu sistem yang lebih cekap dan mudah diakses berbanding dengan pendekatan terdahulu yang lebih berasingan.

Kerajaan MADANI turut memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran pekerja. Antaranya termasuklah Program Latihan MADANI (PLM) yang dilaksanakan oleh HRD Corp bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah pekerja.

Program tersebut menawarkan latihan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, keusahawanan, pendidikan dan pembangunan sosial bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi semasa.

Secara keseluruhannya, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan MADANI mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan pekerja negara. Reformasi gaji, peluasan perlindungan sosial, pembangunan kemahiran, serta pengiktirafan terhadap pekerja gig menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian terhadap perubahan landskap pekerjaan masa kini.

Dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, serta dipengaruhi tekanan geopolitik dan perkembangan teknologi, kesejahteraan pekerja akan terus menjadi elemen penting dalam memastikan kestabilan ekonomi dan daya tahan negara. Pekerja bukan sahaja aset pembangunan negara, malah menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi