Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada penghujung tahun 2025, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sekali lagi menjadi tumpuan nasional apabila mengumumkan penerbitan instrumen pembiayaan baharu, iaitu sukuk dengan jaminan kerajaan dan Pembiayaan Kredit Pusingan Islam (GGRC-i) yang keseluruhannya mencecah RM8.92 bilion hingga September 2025. Perkembangan ini bukanlah suatu peristiwa terpencil, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada proses pemulihan yang panjang sejak krisis korporat dan kewangan FELDA mula terserlah sekitar tahun 2015.
Kos pemulihan FELDA bukan sahaja melibatkan suntikan dana kerajaan berjumlah berbilion ringgit, malah turut merangkumi kehilangan “nilai peluang” susulan beberapa keputusan strategik dan cabaran dalam aspek tadbir urus selepas penyenaraian FGV Holdings Berhad (FGV) pada tahun 2012. Sebelum tahun tersebut, FELDA dikenali sebagai entiti yang kukuh, berdikari dan menguntungkan. Prestasi antara tahun 2007 hingga tahun 2011 menunjukkan purata keuntungan sekitar RM800 juta setahun, kedudukan tunai yang sihat dengan purata RM2.5 bilion dan paras hutang yang rendah, iaitu sekitar RM100 juta pada tahun 2007.
Berdasarkan trajektori prestasi tersebut, sekiranya momentum itu dapat diteruskan secara konsisten sepanjang tempoh 13 tahun dari tahun 2012 hingga tahun 2025, FELDA berpotensi mengumpul keuntungan sekitar RM10.4 bilion, meningkatkan kedudukan tunai kepada lingkungan RM5 bilion hingga RM7 bilion menjelang tahun 2025 dan mengekalkan paras hutang di bawah RM1 bilion. Potensi tersebut mencerminkan kedudukan sebenar yang berupaya dicapai oleh FELDA. Namun demikian, realiti selepas penyenaraian FGV pada tahun 2012 menunjukkan perubahan ketara dalam kedudukan kewangan FELDA. Tahun 2017 menjadi kemuncak krisis apabila FELDA dilaporkan mencatat kerugian besar sekitar RM4.9 bilion dalam tempoh setahun.
Selain itu, kerugian terkumpul dari tahun 2013 hingga tahun 2021 dianggarkan sekitar RM8 bilion hingga 10 bilion, manakala kedudukan tunai merosot dengan ketara sehingga hanya sekitar RM0.4 bilion pada tahun 2017. Dalam tempoh yang sama, hutang FELDA meningkat mendadak kepada RM12.1 bilion berbanding dengan paras hutang yang rendah sebelum ini. Liabiliti keseluruhan turut melonjak kepada sekitar RM14.4 bilion. Perbandingan ini memperlihatkan bahawa krisis yang dihadapi bukan sekadar dipengaruhi oleh turun naik kitaran komoditi, sebaliknya berpunca daripada keputusan strategik dan kelemahan tadbir urus yang memberikan kesan struktur jangka panjang.
Melalui tiga komponen utama, anggaran “nilai wang yang hilang” dapat diperincikan. Yang pertama, kehilangan keuntungan potensi apabila keuntungan yang sepatutnya mencecah RM10.4 bilion bertukar kepada kerugian sekitar RM8 bilion hingga RM10 bilion, sekali gus menghasilkan kehilangan nilai sekitar RM18 bilion hingga 20 bilion. Yang kedua, peningkatan beban hutang apabila paras hutang yang sepatutnya kekal di bawah RM1 bilion melonjak kepada RM12.1 bilion menjadikan tambahan beban sekitar RM11 bilion. Yang ketiga, penyusutan kedudukan tunai apabila jumlah yang dijangka berkembang kepada RM5 bilion hingga RM7 bilion akhirnya merosot dengan ketara.
Secara keseluruhan, anggaran jumlah “nilai wang yang hilang” dianggarkan sekitar RM34 bilion hingga RM37 bilion. Kesan daripada keputusan masa lalu bukan sahaja tercermin dalam kerugian tahunan, malah turut menjejaskan potensi pengumpulan keuntungan dan kekuatan imbangan kira-kira yang sepatutnya dinikmati oleh FELDA dan para peneroka.
Bagi menangani kesan kehilangan nilai tersebut, kerajaan menyalurkan bantuan kepada FELDA mengikut beberapa fasa pemulihan sepanjang tempoh 2015 hingga 2025. Pendekatan berfasa ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memulihkan kedudukan kewangan FELDA dan memastikan kelangsungan peranannya dalam pembangunan sosioekonomi peneroka.
Jadual 1 Huraian fasa pemulihan dan bantuan kerajaan kepada FELDA (2015–2025).

FELDA memiliki aset tanah yang luas, iaitu sekitar 355,000 hektar ladang sawit yang secara teorinya berupaya meletakkan organisasi tersebut sebagai pemain global utama sekiranya diuruskan secara cekap dan telus. Nilai aset FELDA dianggarkan mencecah RM35 bilion hingga 40 bilion dan sekiranya disenaraikan dengan baik, nilai pasaran berpotensi mencapai RM25 bilion hingga 30 bilion. Keadaan ini sekali gus berupaya meningkatkan kedudukan peneroka dan menjadikan FELDA sebagai antara institusi badan berkanun yang mampu menyumbang hasil cukai pendapatan yang lebih besar walau berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi.
Sehubungan dengan itu, FELDA sering dibandingkan dengan syarikat perladangan besar seperti Wilmar International, Sime Darby Plantation dan Golden Agri-Resources. Dari sudut keluasan tanah, dan potensi integrasi huluan dan hiliran, FELDA sebenarnya berupaya berdiri setanding pada skala tertentu. Inti perbandingan tersebut menegaskan bahawa kerugian yang berlaku bukan sekadar melibatkan angka, tetapi turut merangkumi kehilangan peluang untuk menjadikan FELDA sebagai juara komoditi bertaraf dunia yang memberikan pulangan besar kepada peneroka dan negara.
Pemulihan FELDA melalui Reformasi
Dalam melangkah ke hadapan, beberapa teras hala tuju telah dikenal pasti. Yang pertama, penstrukturan semula korporat bagi tempoh 2025 hingga 2027 selepas penyahsenaraian FGV akan memberikan tumpuan kepada penyatuan operasi FELDA dan FGV. Langkah ini bertujuan memanfaatkan ekonomi skala, khususnya dalam perolehan input ladang seperti baja, racun dan peralatan dengan potensi penjimatan kos antara RM500 juta hingga RM1 bilion setahun. Pada masa sama, penekanan turut diberikan kepada pembentukan tadbir urus baharu yang melibatkan lembaga pengarah profesional, kawalan dalaman yang kukuh, audit berkala dan ketelusan keputusan dalam setiap keputusan pelaburan.
Yang kedua, pembangunan perniagaan hiliran bagi tempoh 2026 hingga 2030 dilihat sebagai strategi nilai tambah yang penting meliputi sektor oleokimia, biodiesel dan tenaga boleh baharu, termasuk biogas daripada POME, serta pengeluaran produk makanan berjenama. Segmen hiliran berpotensi menawarkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding dengan penjualan minyak sawit mentah semata-mata, sekali gus menyumbang kepada sasaran pendapatan bernilai berbilion ringgit.
Yang ketiga, dari sudut pemulihan kewangan bagi tempoh 2025 hingga 2030, FELDA menyasarkan penurunan hutang daripada sekitar RM12 bilion kepada bawah RM5 bilion menjelang tahun 2030. Sasaran ini disokong oleh pembayaran berperingkat, pembiayaan semula pada kadar lebih rendah dan penggunaan keuntungan operasi. Pada masa yang sama, sasaran keuntungan dijangka bermula dengan tahap pulang modal sebelum meningkat kepada ratusan juta ringgit dan seterusnya melebihi RM1 bilion setahun selepas tahun 2030 dengan sasaran kedudukan tunai antara RM3 bilion hingga 5 bilion.
Yang keempat, aspek kebajikan peneroka bagi tempoh 2025 hingga 2030 terus menjadi teras utama. Antara inisiatif yang dirancang termasuklah penjadualan semula hutang peneroka, sokongan kepada peneroka berusia, peningkatan pendapatan minimum melalui program generasi kedua yang merangkumi latihan, teknologi, pembiayaan produktiviti, serta penambahbaikan kemudahan asas seperti bekalan air, jalan raya, perumahan dan biasiswa pendidikan. Apabila kebajikan terjamin, peneroka berupaya meningkatkan pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya pada bantuan FELDA.
Yang kelima, penekanan terhadap pertanian mampan dan penggunaan teknologi bagi tempoh 2025 hingga 2035 akan dilaksanakan melalui pendekatan pertanian “presisi” seperti penggunaan dron, sensor Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi ramalan hasil. Di samping itu, pensijilan seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO), pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), penggunaan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP), dan teknologi blok rantai dalam rantaian bekalan dan platform e-dagang akan diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti, ketelusan dan akses kepada pasaran premium. Pelaksanaan agenda ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan agar kemahiran dan pengetahuan dapat berkembang seiring dengan perubahan semasa.
Secara keseluruhan, apabila anggaran “nilai wang yang hilang” sekitar RM34 bilion hingga RM37 bilion digabungkan dengan bantuan kerajaan berjumlah kira-kira RM20 bilion hingga RM21 bilion, kos keseluruhan kepada negara melebihi RM50 bilion. Jumlah ini bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan peluang pembangunan yang boleh dimanfaatkan untuk sektor penting seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam. Pengajaran utama yang dapat dirumuskan ialah kelemahan tadbir urus dan pergolakan berupaya menjejaskan institusi yang sebelumnya kukuh.
Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk kerajaan, pengurusan FELDA dan FGV, peneroka, serta rakyat diseru untuk memainkan peranan dalam memantau penggunaan dana baharu termasuk instrumen sukuk, menuntut laporan berkala dan memastikan proses pemulihan dilaksanakan berasaskan kepentingan peneroka dan daya saing mampan FELDA. Secara keseluruhannya, proses pemulihan FELDA dilihat masih positif dengan syarat reformasi tadbir urus, strategi hiliran, disiplin kewangan, agenda kebajikan dan transformasi teknologi dilaksanakan secara konsisten dan telus.
Penulisan ini merupakan pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili Dewan Ekonomi.