Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memutuskan untuk mengekalkan struktur fi lesen biobahan api bagi aktiviti yang dilesenkan di bawah Peraturan-Peraturan Industri Biobahan Api Malaysia (Pelesenan) 2008.
Keputusan tersebut bertujuan menyokong daya saing industri dan memastikan kelangsungan operasi pemain industri dalam keadaan kos semasa yang mencabar.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selepas mengadakan pertemuan bersama-sama Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) dalam satu majlis baru-baru ini.
Keputusan berkenaan dibuat setelah kementerian meneliti secara menyeluruh cadangan dan maklum balas yang dikemukakan oleh penggiat industri.
Menurut beliau, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri, khususnya berkaitan dengan peningkatan kos operasi dan beban caj pelesenan sedia ada.
Sehubungan dengan itu, pengekalan struktur fi lesen tersebut dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan tekanan kos dan membantu industri kekal berdaya saing.
Pada masa yang sama, kementerian turut menghargai kerjasama erat dan maklum balas berterusan yang diberikan oleh penggiat industri dalam memastikan dasar yang dilaksanakan lebih responsif dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara kestabilan industri biobahan api negara, di samping memperkukuh daya saing sektor biodiesel pada peringkat domestik dan antarabangsa.
Langkah tersebut juga sejajar dengan usaha berterusan untuk memastikan industri terus berkembang secara mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.