Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dari tahun 2021 hingga tahun 2025. Dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) purata sekitar lima peratus setahun, negara dilihat berupaya bangkit daripada kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global. Pencapaian ini sering diketengahkan sebagai indikator keberkesanan dasar ekonomi, serta daya tahan negara dalam mendepani krisis.
Walau bagaimanapun, di sebalik laporan statistik yang positif, timbul persoalan tentang sejauh mana pertumbuhan tersebut benar-benar dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian. Dari sudut makroekonomi, prestasi negara menunjukkan kestabilan yang meyakinkan. Kadar inflasi kekal terkawal sekitar dua peratus, manakala sektor eksport dan pelaburan swasta kembali rancak. Keyakinan pasaran turut menunjukkan pemulihan yang beransur-ansur.
Namun demikian, apabila tumpuan dialihkan kepada realiti pada peringkat isi rumah, gambaran yang lebih berhati-hati perlu diberikan perhatian. Pendapatan isi rumah median pada tahun 2024 dianggarkan sekitar RM7,000 sebulan, masih belum mencapai sasaran RM10,000 yang digariskan dalam RMK-12. Jurang ini mencerminkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh sebahagian rakyat dalam mengurus perbelanjaan harian, khususnya dalam suasana kos sara hidup yang meningkat.
Jadual 1 Kadar pertumbuhan KDNK, inflasi dan pendapatan isi rumah (2015–2024).

Data ekonomi bagi tempoh pra-RMK-12 dan semasa RMK-12 menunjukkan wujudnya jurang antara pencapaian makroekonomi dengan kesejahteraan isi rumah. Walaupun pertumbuhan KDNK mencatat pemulihan pascapandemik yang stabil bagi tempoh tahun 2021 hingga tahun 2024, dan inflasi kekal rendah hasil dasar monetari yang berhemat, peningkatan pendapatan isi rumah berlaku pada kadar yang lebih sederhana. Pendapatan median dilaporkan meningkat daripada sekitar RM5,000 pada tahun 2015 kepada kira-kira RM7,017 pada tahun 2024. Perkembangan ini menuntut penelitian lanjut tentang mekanisme agihan manfaat pertumbuhan agar lebih inklusif.
Jurang antara pertumbuhan ekonomi negara dengan realiti kehidupan rakyat perlu ditangani secara berhemah. Kejayaan pada peringkat nasional wajar diterjemahkan secara lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi kumpulan B40, dengan pendapatan bulanan di bawah RM5,250, sebahagian besar pendapatan digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, perumahan dan utiliti, sekali gus mengehadkan ruang simpanan.
Perbandingan antara sasaran RMK-12 dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) memperlihatkan kesinambungan matlamat pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi tempoh tahun 2026 hingga tahun 2030. Di samping mengekalkan sasaran pertumbuhan yang kompetitif, RMK-13 turut memberikan penekanan terhadap kadar pengangguran yang rendah dan inflasi yang terkawal. Dalam konteks ini, pendekatan baharu yang lebih menumpukan pada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan isi rumah amat penting bagi merapatkan jurang yang masih wujud.
Isu kos sara hidup terus menjadi perhatian utama. Walaupun kadar inflasi keseluruhan berada pada paras sederhana, kenaikan harga barangan tertentu seperti makanan, perumahan dan pengangkutan memberikan kesan langsung kepada perbelanjaan harian rakyat. Peningkatan perbelanjaan isi rumah yang lebih pantas berbanding dengan pertumbuhan pendapatan dapat menjejaskan kuasa beli jika tidak ditangani melalui dasar yang bersasar dan responsif.
Tekanan ini lebih ketara di kawasan luar bandar dan pesisir yang masih bergantung pada sektor tradisional seperti pertanian kecil, perikanan dan pelancongan berskala kecil. Ketidaktentuan pendapatan, serta peningkatan kos input memberikan kesan kepada kestabilan ekonomi isi rumah di kawasan tersebut. Oleh itu, intervensi yang bersifat setempat dan berpaksikan komuniti perlu diperkukuh bagi memastikan tiada kumpulan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Struktur pertumbuhan ekonomi yang banyak disokong oleh sektor berintensif modal turut memerlukan penilaian semula dari segi penciptaan pekerjaan bergaji tinggi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja. Usaha memperluas sektor bernilai tambah tinggi, perusahaan kecil dan sederhana, serta ekonomi digital wajar dipergiat agar manfaat pertumbuhan dapat diagihkan secara lebih meluas.
Menjelang pelaksanaan RMK-13, Malaysia berada pada fasa penting dalam menentukan hala tuju pembangunan ekonomi yang lebih inklusif. Penekanan tidak seharusnya tertumpu pada pertumbuhan KDNK semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan indikator kesejahteraan seperti peningkatan pendapatan kumpulan B40, pengurangan kemiskinan multidimensi dan pengukuhan kedudukan kewangan isi rumah.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah penyelarasan gaji minimum secara berperingkat selaras dengan produktiviti dan kos sara hidup, peluasan subsidi bersasar berasaskan data yang tepat, serta pelaburan berterusan dalam pendidikan dan latihan kemahiran. Pendigitalan tenaga kerja dan sokongan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana juga penting untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat.
Kesimpulannya, kejayaan ekonomi negara perlu dinilai bukan sahaja melalui angka pertumbuhan, tetapi juga melalui peningkatan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh. Pendekatan pembangunan yang holistik, inklusif dan berteraskan kesejahteraan akan memastikan hasil kemajuan negara dapat dikongsi secara adil dan mampan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jadual 2 Sasaran ekonomi RMK-12 dan unjuran RMK-13.

Profesor Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Hj. Mat Noor, Pensyarah di Pusat Kajian Harta Tanah, Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.