Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dengan Iran berpotensi menjejaskan ekonomi global termasuk Asia dan Malaysia melalui kenaikan harga minyak, tekanan inflasi, serta risiko terhadap keterjaminan makanan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Taha Mohd Omar berkata, konflik itu mencetuskan ketidaktentuan pasaran apabila pelabur beralih kepada aset selamat, sekali gus memperlahankan pertumbuhan ekonomi global.

Menurutnya, kesan segera dapat dilihat melalui lonjakan harga minyak, terutama jika berlaku gangguan di Selat Hormuz yang meningkatkan kos tenaga, tarif elektrik, serta harga barangan dan perkhidmatan.

Konflik itu turut meningkatkan kos penghantaran dan insurans global, sekali gus menekan sektor pembuatan dan eksport.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata kenaikan harga minyak memberikan manfaat kepada hasil petroleum, namun meningkatkan beban subsidi dan kos sara hidup, selain menjejaskan sentimen pelabur, ringgit dan pasaran saham.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian UPM, YBrs. Profesor Dr. Norsida Man berkata, konflik berpanjangan di Asia Barat mengancam keterjaminan makanan global akibat gangguan laluan perdagangan dan kenaikan kos logistik.

Katanya, Malaysia masih terdedah kerana bergantung pada import komoditi seperti gandum dan daging, meskipun bekalan beras stabil.

Beliau menegaskan dasar sedia ada perlu diperkukuh melalui peningkatan pengeluaran domestik, kepelbagaian sumber import, pembangunan stok penimbal, serta penggunaan teknologi pertanian bagi memastikan daya tahan jangka masa panjang.

“Keterjaminan makanan kini menjadi sebahagian daripada keselamatan negara dan perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi