Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Mohd Amim Othman berkata, kedua-dua bentuk bantuan tersebut berfungsi sebagai penampan ekonomi yang melindungi kumpulan B40 dan M40 daripada kesan langsung inflasi.

Menurut beliau, dalam persekitaran ekonomi yang dicirikan oleh kenaikan harga makanan, barangan keperluan, perkhidmatan, serta kos utiliti, jurang antara pendapatan dengan perbelanjaan asas semakin melebar, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Tambah beliau, bagi isi rumah M40 yang sering tidak layak menerima pelbagai bentuk bantuan lain, STR menjadi sokongan penting untuk mengelakkan kemerosotan mendadak taraf hidup.

“STR berfungsi sebagai bantuan tunai langsung yang meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah. Bantuan ini memberikan fleksibiliti kepada penerima untuk menampung keperluan mendesak seperti bayaran bil utiliti, sewa rumah, kos pengangkutan, pendidikan anak-anak, serta perbelanjaan kesihatan,” ujar beliau.

Dr. Mohd Amim berkata, bantuan SARA pula disalurkan secara lebih bersasar dan berstruktur melalui pemberian bulanan khusus bagi pembelian barangan asas, terutamanya makanan dan keperluan runcit. Pendekatan ini memastikan keperluan asas isi rumah terus terjamin walaupun berdepan kekangan pendapatan.

“Gabungan STR dan SARA membentuk sistem sokongan dua lapis, iaitu bantuan fleksibel dan bantuan bersasar yang secara kolektif membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, serta melindungi kesejahteraan isi rumah,” ujar beliau.

Mengulas kesan inflasi, beliau berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan telah menghakis kuasa beli rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang sebahagian besar pendapatan mereka diperuntukkan untuk perbelanjaan asas.

“STR membantu menstabilkan aliran tunai isi rumah supaya mereka dapat mengekalkan perbelanjaan minimum tanpa bergantung sepenuhnya pada hutang atau terpaksa mengurangkan keperluan penting secara drastik,” jelas beliau.

Selain itu, Bantuan SARA bertindak sebagai penstabil perbelanjaan asas, khususnya makanan, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan dan membantu isi rumah mengekalkan kualiti hidup minimum.

Dr. Mohd Amim berkata, model bantuan tunai bersyarat dan tidak bersyarat seperti STR dan SARA terbukti berkesan dalam mengurangkan kemiskinan jangka pendek di Malaysia.

“Walaupun bantuan ini tidak menyelesaikan kemiskinan struktural seperti isu gaji rendah atau kekurangan peluang pekerjaan, bantuan ini tetap memainkan peranan penting sebagai mekanisme perlindungan sosial sementara yang memberikan ruang kepada isi rumah menstabilkan kehidupan sebelum mengambil langkah jangka panjang ke arah peningkatan ekonomi,” ujar beliau.

Selain membantu kesejahteraan keluarga, beliau berkata, bantuan tunai kerajaan turut memberikan kesan positif kepada ekonomi komuniti setempat.

“Kebanyakan penerima membelanjakan bantuan di kedai runcit, pasar basah dan perniagaan kecil tempatan, sekali gus merangsang permintaan domestik. Kesan gandaan ekonomi daripada perbelanjaan tersebut membantu mengekalkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan mengukuhkan jaringan ekonomi komuniti, khususnya di kawasan berpendapatan rendah,” jelas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi