Diterbitkan pada 25 November 2025, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Dasar percukaian karbon yang dijangka diperincikan dalam Belanjawan 2026 dilihat sebagai langkah penting kerajaan untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau yang lebih mampan dan berdaya saing.

Menurut Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi dan Pengurusan (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique, pelaksanaan cukai karbon bukan semata-mata instrumen fiskal, sebaliknya mekanisme pasaran yang bertujuan meletakkan tanggungjawab kewangan terhadap pencemaran kepada pihak yang menghasilkannya.

Beliau berkata, setiap pengeluaran produk turut menghasilkan barang sisa dan pencemaran, namun kos kerosakan alam sekitar selama ini tidak pernah dimasukkan dalam harga pasaran. Pelaksanaan cukai karbon bertujuan menutup jurang tersebut dengan memastikan pihak yang membuat pencemaran menanggung kos sebenar terhadap pelepasan karbon yang dihasilkan.

Tambah beliau, mekanisme ini akan memaksa firma pengeluar menanggung kos pelepasan mereka dan seterusnya menggalakkan penggunaan teknologi lebih bersih dan efisien. Produk yang dihasilkan dengan kadar pencemaran tinggi akan menjadi lebih mahal dan kurang kompetitif, sekali gus mengubah corak pengeluaran dan penggunaan dalam masyarakat.

Selain itu, Profesor Dr. Shaufique menegaskan bahawa hasil kutipan cukai karbon memberikan ruang kepada kerajaan untuk membiayai pelbagai inisiatif alam sekitar seperti program mitigasi, pembangunan teknologi hijau, pelaburan tenaga boleh baharu, serta bantuan kepada industri yang sedang melalui peralihan ke arah operasi rendah karbon.

Pendekatan tersebut bukan sahaja menyokong aspirasi negara menuju ekonomi karbon rendah, malah sejajar dengan keperluan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global yang semakin menjadi penanda aras daya saing negara.

Dalam konteks perubahan tingkah laku pengguna dan industri, beliau menjelaskan bahawa peningkatan harga tenaga akibat cukai karbon boleh mendorong rakyat memilih peralatan cekap tenaga dan teknologi hijau termasuk penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar.

Pandangan itu turut disertai saranan agar Belanjawan 2026 mengimbangi mekanisme cukai dengan insentif kewangan bagi mempercepat pelaburan dalam teknologi hijau. Menurut beliau, pembiayaan istimewa atau kadar faedah rendah kepada syarikat yang melabur dalam tenaga boleh baharu dapat menggalakkan mereka beralih kepada amalan lebih lestari.

Dalam aspek ESG, Profesor Dr. Shaufique menekankan bahawa tanggungjawab terhadap kelestarian bukan hanya diipikul kerajaan atau industri besar, tetapi juga individu. Beliau mengingatkan bahawa setiap tindakan mencemarkan alam sekitar merupakan beban yang akhirnya ditanggung masyarakat lain.

Oleh itu, dasar berkaitan dengan sisa, kitar semula dan penggunaan tenaga perlu dilaksanakan secara lebih tegas dan berasaskan prinsip tanggungjawab. Beliau memberikan contoh pendekatan beberapa negara yang mengenakan bayaran bagi setiap beg sampah sebagai cara mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap sisa yang dihasilkan.

Mengakhiri pandangannya, beliau menegaskan bahawa ekonomi hijau hanya dapat direalisasikan apabila masyarakat memahami tujuan utama dasar seperti cukai karbon. Menurutnya, masyarakat tidak boleh melihat dasar tersebut sebagai beban, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa hadapan negara yang lebih bersih, adil dan berdaya saing.

Katanya, Belanjawan 2026 membuka peluang kepada Malaysia untuk menstrukturkan semula ekonomi secara lebih lestari serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi