Diterbitkan pada 14 Oktober 2025, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Pendidikan literasi kewangan yang menyeluruh menjadi kunci utama bagi membentuk daya tahan ekonomi masyarakat demi memastikan kesejahteraan kewangan isi rumah dapat dicapai dalam jangka masa panjang.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, literasi kewangan bukan sekadar bergantung pada pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan amalan pengurusan kewangan yang betul dan pendidikan yang berterusan.

Menurutnya, banyak orang yang sedar tentang kepentingan membuat simpanan untuk kecemasan, tetapi gagal melaksanakannya kerana ilmu kewangan tidak diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Ilmu semata-mata tidak mencukupi jika tidak dipraktikkan. Pendidikan kewangan perlu bergerak melangkaui kaedah tradisional dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi kewangan (fintech) seperti aplikasi digital,” ujar beliau ketika menyampaikan Syarahan Inaugural bertajuk “Sustaining Financial Well-Being: Do Financial Literacy, Financial Behaviour and Financial Education Matter?” di UPM.

Dekan FEM, UPM, Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri ketika menyampaikan syarahan.

Beliau menegaskan bahawa literasi kewangan harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bukan sahaja untuk individu, tetapi juga bagi kestabilan ekonomi negara secara holistik.

Tambah beliau,

Literasi kewangan ini bukan sekadar kemahiran akademik, sebaliknya keupayaan hidup yang membantu individu membuat keputusan kewangan yang bijak bagi mengelakkan perangkap hutang dan merancang masa hadapan dengan lebih baik.

Mengulas isu kecukupan gaji dalam kalangan B40, M40 dan T20, Profesor Dr. Mohamad Fazli menekankan bahawa sikap dan disiplin dalam mengurus kewangan lebih penting berbanding dengan jumlah pendapatan.

“Prinsip utama ialah hidup dalam kemampuan. Jika gaji RM2,500, berbelanjalah sekitar RM2,300 agar ada lebihan. Banyak yang berpendapatan RM3,000, tetapi berbelanja seolah-olah berpendapatan RM5,000. Hal inilah yang menyebabkan kewangan tidak pernah cukup,” ujar beliau.

Jelas beliau, pendidikan kewangan perlu bermula sejak usia muda melalui keluarga dan sistem pendidikan. Walaupun tiada subjek khusus di sekolah, literasi kewangan boleh diterapkan secara tidak langsung melalui kelab, aktiviti kokurikulum, minggu literasi kewangan, kempen bijak menabung atau pertandingan menabung.

Ujar beliau,

Lebih awal kita mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang, lebih tinggi peluang mereka membentuk tabiat kewangan yang baik.

Beliau yang juga pakar dalam bidang literasi kewangan, teknologi kewangan, kesejahteraan kewangan, kerentanan kewangan dan pengurusan hutang turut mengingatkan tentang cabaran era digital yang semakin menjejaskan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia, termasuk budaya membeli-belah dalam talian dan pinjaman mudah.

Jelas beliau,

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang diterajui oleh Financial Education Network (FEN) amat penting untuk memperkasakan rakyat. Jika masyarakat mempunyai pengetahuan dan sikap kewangan yang betul, mereka lebih berdaya tahan bagi menghadapi sebarang cabaran ekonomi.

Yang turut hadir ke syarahan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, YBrs, Profesor Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi