Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIbn Khaldun telah mengemukakan beberapa teori ekonomi yang berpaksikan hubungan rapat antara aspek ekonomi dengan sosiologi, jauh mendahului pemikir Barat moden seperti Adam Smith, Thomas Robert Malthus (1766–1834) dan David Ricardo (1772–1823), iaitu kira-kira tiga abad lebih awal. Antara teori ekonomi yang dikemukakan oleh beliau sebagaimana disenaraikan oleh Muhamad Mujahidin dalam kertas kerjanya yang bertajuk The Concept of Economic Thought of Ibn Khaldun termasuklah:
Menurut Ibn Khaldun, perdagangan ialah suatu usaha untuk menambah kekayaan melalui pembelian barangan pada harga rendah dan menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi. Barang dagangan ini boleh terdiri daripada pakaian, haiwan ternakan atau sembelihan dan hasil pertanian. Keuntungan diperoleh melalui dua cara; pertama dengan membeli barang secara pukal dan menjualnya semasa harga meningkat; kedua dengan menjual barang yang dibeli ke wilayah atau negara lain yang mempunyai permintaan tinggi.
Pandangan ini berbeza daripada Imam al-Ghazali yang menekankan konsep keuntungan melalui pengurangan margin untung dan penjualan pada harga rendah. Namun begitu, kedua-dua tokoh ini bersetuju bahawa keuntungan merupakan motif utama dalam perdagangan. Bagi Ibn Khaldun, keadilan merupakan asas utama kerana tanpa keadilan, sesebuah negara akan menuju kejatuhan dan kemusnahan peradaban. Oleh itu, aktiviti perdagangan mesti dilaksanakan dalam kerangka syariah dan prinsip keadilan termasuk harga yang wajar, tidak melampau dan berpandukan pada persaingan bebas yang beretika.
Ibn Khaldun melihat pengeluaran sebagai elemen asas ekonomi yang berhubung rapat dengan penggunaan dan pertumbuhan. Beliau menegaskan bahawa manusia merupakan makhluk ekonomi dan pengeluar. Dalam proses pengeluaran, buruh memainkan peranan penting, manakala organisasi sosial pengeluaran dan pembahagian kerja dianggap sangat utama. Pembahagian kerja dan pengkhususan akan meningkatkan kecekapan, mewujudkan lebihan pengeluaran dan akhirnya membawa kepada kemakmuran ekonomi.
Pertumbuhan pengeluaran akan mencetuskan peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi. Ibn Khaldun turut menekankan bahawa tenaga kerja yang memiliki kemahiran khusus jauh lebih penting dan berdaya saing berbanding dengan sekadar bergantung pada sumber asli negara semata-mata.
Ibn Khaldun mentakrifkan nilai sesuatu barang berdasarkan jumlah kerja dan kos terkumpul yang diperlukan untuk menghasilkannya. Terdapat hubungan langsung antara kuantiti buruh dengan kadar pengeluaran: lebih banyak buruh, maka lebih tinggi pengeluaran dan sebaliknya. Bagi Ibn Khaldun, wang ialah alat tukar utama untuk memenuhi keperluan manusia, namun bukan penentu mutlak kepada kekayaan sesebuah negara.
Beliau menyarankan penggunaan emas dan perak sebagai piawaian kewangan kerana kestabilannya dan ketahanannya daripada pengaruh subjektif. Dalam konteks harga pula, Ibn Khaldun mengaitkannya dengan hukum penawaran dan permintaan. Harga ideal ialah harga yang tidak membebankan pengguna dan tidak merugikan pengeluar, suatu keseimbangan yang menjamin kesejahteraan bersama.
Menurut Ibn Khaldun, harga sesuatu produk terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu:
Teori kitaran Ibn Khaldun merangkumi dua aspek utama, iaitu:
Sumbangan Ibn Khaldun dalam bidang ekonomi amat signifikan kerana beliau menyatukan ekonomi dengan unsur sosiologi, politik, norma sosial dan kepercayaan. Dalam karya al-Muqaddimah, beliau membentuk satu model ekonomi yang bukan sahaja menjelaskan hukum pasaran, tetapi juga menganalisis dinamik kebangkitan dan kejatuhan tamadun.
Model ini mencerminkan pendekatan holistik terhadap ekonomi sebagai cabang ilmu sains sosial yang saling berkait dengan faktor kemanusiaan, struktur masyarakat dan kerangka moral. Oleh itu, Ibn Khaldun bukan sahaja pelopor teori ekonomi Islam, malah merupakan seorang pemikir sistem sosial dan ekonomi yang jauh mendahului zamannya.