Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pendidikan tinggi merupakan sektor penting dalam pembangunan modal insan yang progresif. Menyedari peranan ini, Kerajaan Negeri Johor telah memperkenalkan inisiatif Kad Siswa Johor sebagai langkah strategik untuk meringankan beban kewangan pelajar serta memperluas akses kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan. Bagi mahasiswa yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, pelaksanaan kad ini telah memberikan impak ketara yang dapat dirasai secara langsung.

Antara manfaat utama Kad Siswa Johor termasuklah penjimatan kos perbelanjaan harian. Kad ini menawarkan diskaun untuk pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan awam, makanan, buku dan barangan keperluan asas. Kelegaan yang dirasai oleh mahasiswa dalam mengurus perbelanjaan harian membolehkan mereka menumpukan sumber kewangan kepada aspek lain seperti yuran pengajian dan kos tempat tinggal, khususnya diskaun pengangkutan harian membantu mereka menjimatkan kos perjalanan ke kampus.

Dari sudut lain, kad ini turut memberikan peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam program pembangunan diri dan aktiviti kemasyarakatan dengan kos rendah atau percuma. Akses kepada seminar, bengkel dan pameran pendidikan bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik tetapi turut meningkatkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Pelibatan aktif ini memperluas jaringan sosial dan mempersiapkan mahasiswa menghadapi dunia pekerjaan dengan lebih yakin.

Kad Siswa Johor juga berperanan dalam meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mahasiswa. Pelibatan syarikat tempatan yang menawarkan pelbagai keistimewaan menunjukkan sokongan masyarakat terhadap kesejahteraan pelajar. Jalinan kerjasama ini bukan sahaja memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti perniagaan, malah turut merangsang ekonomi setempat melalui sokongan generasi muda.

Selain itu, inisiatif ini menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan. Mahasiswa mula berbelanja secara lebih berhemah dan menyusun belanjawan bulanan dengan lebih teratur. Hal ini membantu membentuk generasi yang lebih peka terhadap pengurusan kewangan peribadi, yakni satu kemahiran hidup yang penting dalam dunia moden.

Dari aspek pengurusan masa, kemudahan pengangkutan awam yang lebih mampu milik membolehkan pelajar merancang perjalanan mereka ke kelas, kerja sambilan dan aktiviti kokurikulum dengan lebih cekap. Hal ini membantu mengelakkan kelewatan dan meningkatkan produktiviti dalam kehidupan seharian mereka.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan kad ini. Antara isu yang dibangkitkan termasuklah ketidakseragaman tawaran kemudahan di kawasan luar bandar apabila pelajar tidak mendapat manfaat sepenuhnya seperti rakan mereka di kawasan bandar. Selain itu, terdapat aduan teknikal seperti terminal pembayaran yang tidak berfungsi atau kedai rakan niaga yang tidak menerima kad tersebut, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaannya.

Bagi menambah baik inisiatif ini, adalah disarankan agar pelaksanaannya diperluas secara berperingkat ke semua institusi pengajian tinggi di Johor dengan menambah bilangan rakan niaga daripada pelbagai sektor. Sesi dialog dan kajian impak secara berkala perlu dilaksanakan bagi mengumpul maklum balas daripada mahasiswa sebagai pengguna utama kad ini. Maklum balas ini penting untuk menambah baik sistem dan memastikan kesesuaian perkhidmatan dengan keperluan semasa.

Sebagai tambahan, penggunaan teknologi digital seperti aplikasi mudah alih boleh dipertimbangkan. Aplikasi ini boleh menyediakan maklumat terkini berkaitan dengan tawaran, lokasi rakan niaga, dan saluran aduan, sekali gus menjadikan perkhidmatan lebih responsif dan mesra pengguna.

Kesimpulannya, Kad Siswa Johor memberikan impak yang signifikan kepada mahasiswa dari aspek kewangan, sosial dan pembangunan diri. Walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, inisiatif ini menunjukkan potensi besar dalam memperkasakan generasi muda dan menyokong mereka dalam merealisasikan impian pendidikan. Dengan sokongan berterusan dan penambahbaikan yang strategik, Kad Siswa Johor mampu menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan mampan di negeri Johor.

Kredit Foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi