Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Alam – Karnival FSK E-Fest 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 19 Mei 2025 hingga 23 Mei 2025 anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam berjaya menyerlahkan semangat keusahawanan dalam kalangan warga kampus dan komuniti sekitar.
Acara yang berlangsung meriah ini bukan sahaja menjadi platform keusahawanan, malah turut memperkukuh peranan FSK dalam mempromosikan kesedaran kesihatan awam.
Karnival ini dijayakan melalui kerjasama erat dengan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) selaku penganjur bersama. MASMED memainkan peranan penting dalam membimbing dan menyokong pelajar meneroka potensi keusahawanan selaras dengan misi UiTM untuk membentuk graduan yang berdaya saing dan berjiwa usahawan.
Lebih daripada 20 vendor luar telah mengambil bahagian dalam karnival ini dengan menawarkan pelbagai produk makanan, pakaian, aksesori serta perkhidmatan kepada pengunjung. Penyertaan vendor luar ini memberikan pendedahan luas kepada pelajar tentang dunia keusahawanan sebenar selain membuka ruang interaksi sihat antara komuniti kampus dengan peniaga luar.

Sepuluh persatuan pelajar di bawah naungan FSK turut bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan sepanjang karnival. Dengan sokongan dan penyelarasan bersama oleh MASMED, para pelajar berjaya mengendalikan gerai masing-masing secara profesional.

Menerusi inisiatif ini, mereka bukan sahaja mengasah kemahiran pengurusan dan komunikasi, malah berpeluang menjanakan pendapatan bagi menyokong aktiviti persatuan masing-masing.
Sebagai nilai tambah kepada karnival, setiap persatuan turut menyediakan reruai saringan kesihatan secara percuma kepada pengunjung. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah pemeriksaan mata, penentuan kumpulan darah, kaunseling diet, saringan fungsian tangan serta program kesedaran kitar semula.

Inisiatif ini jelas memperlihatkan komitmen FSK dalam memupuk kesedaran awal tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat kampus.
Penganjuran FSK E-Fest 2025 ini bukan sahaja berjaya menceriakan suasana kampus, bahkan memperlihatkan sinergi hebat antara akademik, keusahawanan dengan kesedaran komuniti selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.
Karnival ini diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan FSK, sekali gus menjadi medium penghubung yang lebih erat antara fakulti, pelajar, masyarakat dan industri.