Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kisah Nur Rafidah Man yang juga dikenali sebagai “Jungle Girl” menjadi contoh bagi masyarakat Orang Asli dalam mencapai kejayaan dalam dunia yang serba moden.

Latar belakangnya yang sederhana sehingga menjadi seorang usahawan yang berjaya menyoroti potensi dalam setiap individu tanpa mengira asal usul mereka. Kisahnya bukan sahaja memberikan inspirasi kepada masyarakat Orang Asli tetapi turut memberikan motivasi kepada banyak orang tentang kepentingan mempercayai kemampuan diri sendiri.

Kejayaan Nur Rafidah bermula dengan kecintaannya terhadap warisan dan hasrat untuk berkongsi keindahan budaya serta tradisi suku Jahut. Beliau berasal dari Kampung Penderas, Kuala Krau, Pahang.

Dengan mencipta produk sendiri menggunakan resipi turun temurun yang diperoleh dari hutan, beliau memanfaatkan kekayaan budaya suku Jahut untuk menghasilkan produk semula jadi seperti Minyak Jungle Girl, kacip fatimah dan kemuning madu. Inovasi ini bukan hanya memelihara amalan tradisional masyarakat Orang Asli tetapi juga memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan bahan semula jadi.

Rakit yang digunakan oleh Nur Rafidah bagi mencari bahan yang diperlukan untuk penghasilan produknya.

Sumber hutan yang melimpah memberikan peluang kepada Nur Rafidah untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi. Kacip Fatimah yang digunakan sejak turun-temurun oleh masyarakat Orang Asli sebagai tonik kesihatan wanita kini menjadi satu daripada produk utamanya. Kejayaan ini bukan sahaja membantu Nur Rafidah menjanakan pendapatan yang lumayan tetapi juga melestarikan pengetahuan tradisional yang semakin dilupakan.

Kemunculan beliau di media sosial seperti TikTok memainkan peranan penting dalam pencapaian ini. Dengan berkongsi kehidupan harian, amalan budaya dan keindahan kampungnya, beliau berjaya menarik perhatian ribuan pengikut media sosial.

Video yang memaparkan kehidupan orang asli ini tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendidik orang ramai tentang budayanya yang unik. Keaslian dalam setiap perkongsian tersebut mendapat perhatian yang seterusnya membantu meningkatkan sokongan terhadap produk beliau. Zaman digital memberikan peluang besar untuk sesiapa sahaja mempamerkan bakat dan cerita mereka dan Nur Rafidah telah membuktikan bahawa platform ini mampu mengubah kehidupan seseorang serta memberikan kestabilan kewangan untuk diri dan keluarga.

Walaupun telah menjadi seorang usahawan yang berjaya, kerendahan hati tetap menjadi teras hidup Nur Rafidah. Beliau tidak melupakan asal usulnya dan sentiasa menghargai sokongan daripada keluarga. Keinginannya untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anaknya menjadi pendorong utama di sebalik cita-citanya. Perkara ini memberikan inspirasi kepada masyarakat dalam komuniti beliau.

Kisah Nur Rafidah menunjukkan bahawa pendidikan dan kemahiran komunikasi merupakan kunci utama untuk berjaya. Walaupun beliau berasal dari latar belakang yang sederhana, usahanya untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman membolehkan beliau berinteraksi dengan pelanggan di seluruh Malaysia. Penguasaan bahasa Inggeris yang bagus juga menjadi aset dalam perniagaannya, membolehkannya berkomunikasi dengan lebih efektif.

Melalui kejayaan beliau, masyarakat Orang Asli tidak hanya dilihat sebagai kumpulan yang terpinggir tetapi sebagai golongan yang mampu memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara. Perjalanan kehidupan Nur Rafidah menggambarkan kemampuan luar biasa masyarakat Orang Asli untuk berjaya dalam dunia moden.

Melalui semangat inovatif, penggunaan media sosial dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada keluarganya, beliau menjadi sinar harapan bagi komunitinya. Dengan mengiktiraf nilai tradisi dalam masyarakat, seseorang boleh menggalakkan perubahan dan mencipta laluan kepada kejayaan. Nur Rafidah telah membuktikan bahawa dengan ketekunan, sesiapa sahaja boleh mencapai impian mereka. Semoga kisahnya menjadi sumber inspirasi untuk kita semua terus berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam mengejar impian.

Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuat tinjauan dan liputan di Kampung Penderas, Kuala Krau, Pahang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi