Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSecara harfiah, Tun Daim Zainuddin atau nama penuhnya Che Abdul Daim Zainuddin, lebih terkenal di pentas politik dan sebagai tokoh perniagaan, terutamanya dalam sektor perbankan dan hartanah. Namun begitu, beliau lebih dikenang sebagai Menteri Kewangan Malaysia, sebuah peranan yang memberikan impak besar terhadap pembangunan ekonomi negara. Tun Daim pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dua kali di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu dari tahun 1984 hingga tahun 1991 dan sekali lagi dari tahun 1999 hingga tahun 2001.
Sepanjang perkhidmatannya, Tun Daim memainkan peranan penting dalam menangani pelbagai cabaran ekonomi yang dihadapi negara. Sebagai contoh, pada penggal pertama beliau berkhidmat, ekonomi Malaysia bukan sahaja berjaya dipulihkan, malah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang antara tertinggi di Asia. Selain itu, sumbangan beliau yang paling dikenang adalah kejayaan melahirkan ramai usahawan dan korporat Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Artikel ini bertujuan untuk mengupas pemikiran dan perspektif Tun Daim berkenaan dengan pelaburan. Tanpa meragui ketokohan beliau sebagai figura utama dalam pembangunan sosioekonomi negara, adalah penting untuk meneliti pandangan beliau yang lebih mendalam mengenai pelaburan saham, khususnya dalam kalangan komuniti Melayu.
Pelaburan Saham
Pertama, artikel ini menggariskan kepentingan ilmu dan kefahaman yang mendalam tentang pelaburan. Seperti yang dinyatakan oleh Tun Daim, “You must understand. How business works. And you have to educate people. Don’t just be blind follower.” Pelaburan merupakan topik yang menarik perhatian masyarakat kerana memberikan peluang untuk meraih kekayaan dan meningkatkan nilai aset, serta mengatasi inflasi jika dilakukan dengan tepat. Namun begitu, sebelum membuat pelaburan, adalah penting untuk memahami terlebih dahulu maksud pelaburan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pelaburan merujuk jumlah wang yang dilaburkan dalam usaha niaga untuk memperoleh keuntungan atau sebagai penanaman modal. Dalam konteks saham, pelaburan merujuk sekuriti yang mewakili sebahagian modal dalam perniagaan. Pemegang saham ialah pemilik perniagaan dan turut berkongsi kejayaan dan kegagalannya. Keuntungan dilihat melalui dividen dan harga saham di pasaran. Pasaran saham boleh menjadi tempat yang menguntungkan, namun tetap juga mempunyai risiko tinggi. Oleh itu, adalah penting untuk pelabur memiliki ilmu, pengalaman dan dapat mengawal emosi agar dapat meminimumkan risiko dan memaksimumkan keuntungan.
Kedua, artikel ini menekankan bahawa saham bukanlah tempat untuk berspekulasi atau berjudi. Tun Daim menegaskan, “Must remember share is a form of saving.” Sebilangan individu sering melihat pelaburan saham sebagai jalan cepat untuk meraih keuntungan, sehingga ada yang bertindak sebagai penjudi. Keinginan untuk cepat kaya menyebabkan keputusan yang tidak rasional dalam membuat pelaburan. Berjudi dianggap sebagai perbuatan buruk kerana mengagihkan harta tanpa usaha produktif, bergantung sepenuhnya pada nasib. Oleh itu, set minda yang betul dalam melihat saham adalah penting; jika dianggap sebagai permainan, maka boleh menjurus ke arah perjudian. Pasaran saham adalah tempat untuk menyimpan dan melabur untuk jangka panjang, bukan tempat untuk mencari keuntungan cepat.
Ketiga, artikel ini mengajak pelabur untuk melihat pelaburan saham sebagai satu bentuk simpanan jangka panjang. Tun Daim mengkritik golongan yang membeli saham hanya untuk menjualnya apabila harga naik untuk meraih keuntungan segera. Saham seharusnya dilihat sebagai simpanan untuk masa hadapan, dengan potensi pulangan melalui dividen, terutamanya selepas tempoh persaraan. Sejarah juga menunjukkan bahawa masalah penjualan saham oleh kaum bumiputera, seperti yang diterangkan oleh Wan Kamarul (2014), berlaku kerana keinginan untuk memperoleh keuntungan segera.
Penubuhan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada tahun 1981 adalah sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini, dengan tujuan untuk memberikan peluang kepada bumiputera memiliki ekuiti dan mengelakkan penjualan saham kepada spekulator. Oleh itu, pelaburan saham perlu dilihat sebagai suatu bentuk simpanan jangka panjang yang dapat memberikan manfaat kepada pelabur, khususnya golongan bumiputera.
Nasihat bersifat Sejagat
Jika diteliti lebih mendalam, nasihat Tun Daim mengenai pelaburan bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Melayu, malah merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan negara. Hal ini demikian kerana ilmu pelaburan saham bersifat sejagat atau universal. Pelaburan, sama ada di Malaysia atau di luar negara seperti Amerika Syarikat, memerlukan dua perkara asas, iaitu modal dan masa. Modal diperlukan untuk memulakan pelaburan, sementara masa diperlukan untuk membolehkan pelaburan tersebut berkembang dengan baik. Selain itu, pelaburan turut dikelaskan berdasarkan tahap risikonya, seperti risiko rendah (contohnya, deposit tetap di bank), risiko sederhana (contohnya, unit amanah di syarikat pengurusan unit amanah) dan risiko tinggi (contohnya, saham di Bursa Malaysia). Penting untuk diingat bahawa pelaburan ini ada yang mudah dan mampu dilakukan oleh majoriti individu, tetapi ada juga yang lebih sukar dan memerlukan modal yang lebih besar.
Seperti yang diungkapkan oleh pelabur tersohor dunia, Warren Buffett, “Risk comes from not knowing what you’re doing.” Kenyataan ini selari dengan nasihat pertama Tun Daim yang menekankan kepentingan memahami ilmu pelaburan sebelum terjun ke dalam pasaran saham. Tanpa pengetahuan yang mencukupi, seseorang pelabur berisiko menghadapi kerugian. Selain itu, pasaran saham bukanlah tempat untuk spekulasi, yang dibuktikan dengan pengakuan Warren Buffett sendiri, “I am unable to speculate successfully, and skeptical of those who claim sustained success at doing so.” Sebagai seorang jutawan saham yang berpengalaman, beliau mengakui bahawa spekulasi bukanlah pendekatan yang bijak. Jika seorang pelabur yang berjaya seperti Buffett tidak dapat meramalkan pasaran saham dengan tepat, apatah lagi mereka yang menganggap pasaran saham sebagai tempat perjudian.
Akhir sekali, Warren Buffett menekankan kepentingan pegangan saham untuk jangka panjang, dengan menyatakan, “If you aren’t willing to own a stock for 10 years, don’t even think about owning it for 10 minutes.” Hal ini menjelaskan bahawa pelabur tidak seharusnya melibatkan diri dalam pelaburan saham jika mereka hanya mencari keuntungan dalam tempoh yang singkat. Pelaburan saham memerlukan komitmen dan kesabaran untuk mencapai keuntungan dalam jangka panjang. Nasihat Tun Daim, yang juga berfokuskan pada pelaburan jangka panjang, ternyata selari dengan prinsip yang dipegang oleh Warren Buffett, menjadikan nasihat beliau sangat relevan dan universal.
Pelaburan yang paling penting ialah pada diri sendiri. Sebelum memulakan pelaburan secara langsung, adalah bijak untuk melabur dalam pengetahuan dan pemahaman asas pelaburan saham terlebih dahulu. Perkara ini boleh dilakukan dengan membeli buku, mengikuti seminar dan mencari sumber ilmu yang lain. Tanpa ilmu yang mencukupi, para pelabur berisiko ditipu atau lebih buruk lagi, kehilangan wang mereka akibat melabur dalam skim pelaburan yang tidak sah.
Secara keseluruhannya, sudut pandang Tun Daim ini memberikan panduan dan peringatan penting kepada para pelabur bahawa pelaburan yang bijak memerlukan ilmu, usaha dan pendekatan yang strategik. Walaupun Tun Daim telah meninggal dunia, nasihat dan jasanya akan terus menjadi sumber inspirasi, terutamanya kepada generasi muda di negara ini.