Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pengubah keadaan dalam usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sebagai agenda penting pada peringkat nasional.
Demikian menurut YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW 2024 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 27 September 2024 yang lalu.
Sejak saya diberikan mandat untuk mempengerusikan Majlis TVET Negara bermula 27 Februari 2023, saya melihat potensi besar TVET bukan sahaja untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran di seluruh negara tetapi sebagai kunci untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup anak bangsa pada masa hadapan.
Berdasarkan data terkini, jumlah kemasukan para pelajar ke institusi TVET telah mencecah lebih 408,000 orang dan keadaan ini mencerminkan penerimaan masyarakat yang semakin luas terhadap bidang TVET.
Ujar beliau,
Hasil promosi TVET di peringkat antarabangsa antara tahun 2023 hingga pertengahan tahun 2024, lebih 636 jaringan kerjasama dengan syarikat domestik dan global yang berjaya dicapai bersama, malah negara China menawarkan 5,125 buah tempat untuk pelajar Malaysia mempelajari TVET secara percuma.

Tambah beliau, insitutsi TVET semakin proaktif menyesuaikan kursus yang ditawarkan agar selari dengan keperluan industri yang sentiasa berubah menerusi peralihan kepada bidang kenderaan elektrik, keselamatan siber, kecerdasan buatan, bahan termaju, teknologi elektronik, mekanisasi ladang dan automasi pertanian dan penternakan.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai pemegang taruh terbesar dalam institusi TVET negara berazam untuk terus memperkukuhkan peranannya menerusi program TVET aras tinggi (HTVET) dengan pelbagai program berimpak tinggi dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, perkapalan, teknologi rel, robotik dan satelit.
Jelas beliau lagi,
Melalui keputusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), para pelajar boleh memasuki universiti kerana kita telah menukar ekosistem pendidikan negara kepada TVET, malah untuk SKM Tahap 3, 4 dan 5 telah diiktiraf oleh badan akreditasi setaraf dengan diploma serta kabinet juga meluluskan bahawa kelulusan TVET melalui SKM 6, 7 dan 8 diiktiraf sebagai kelulusan yang sama taraf dengan ijazah pertama di mana-mana universiti.
Selain itu, statistik menunjukkan kebolehpasaran graduan TVET khususnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mencapai 98.7%, mengatasi kadar kebolehpasaran graduan TVET keseluruhan pada peringkat nasional, iaitu 94.5%.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan pertukaran 16 dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Institut Malaysia-Jerman (GMI) dan Institut Kemahiran Tinggi PERDA dengan rakan-rakan industri yang disaksikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan tetamu kehormat.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah Wang; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, YB Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Ibrahim Durum; Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.