11 Ogos 2024, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kangar – “Pelancongan, industri, pertanian dan kuari serta perlombongan merupakan potensi menggamit pelaburan yang terdapat di negeri Perlis. Selain daripada itu adalah logistik, pendidikan dan latihan, teknologi hijau serta perikanan.”
Demikian dikongsikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menerima mengadap Duta Besar Malaysia ke Jerman, PYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin di Fairy Le Phenomenal Café, Kangar baru-baru ini.
Yang turut hadir ialah suami PYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin, iaitu Mahzan Abdul Samad dan anak beliau, iaitu Muhammad Aqeel Rasikh Mahzan serta Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn Bhd, iaitu Datuk Nellsen Young.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap selepas kunjungan ke negeri ini, Duta Besar ke Jerman itu dapat sedikit banyak membantu memperkenalkan peluang dan potensi pelaburan serta pelancongan negeri Perlis di negara tersebut.
Cadangan lain yang turut dipertimbangkan adalah untuk mengadakan promosi masakan Perlis di Berlin dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Ketika di Perlis selama dua hari, PYT Datin Paduka Dr. Adina turut meluangkan masa melawat Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Superfruits Valley di Chuping serta kawasan komersial baharu, iaitu Kangar Jaya selain mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menerima mengadap Duta Besar Malaysia ke Jerman, PYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin di Fairy Le Phenomenal Café, Kangar baru-baru ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.