Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Kerajaan negeri menyasarkan untuk mendaftarkan 400 buah syarikat pengeksport di Melaka dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan syarikat-syarikat tersebut.
Ketua Menteri, YBhg. Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak 268 buah syarikat di Melaka daripada 13,018 buah syarikat dari seluruh Malaysia telah berdaftar dengan MATRADE hingga bulan Jun 2024.
Jelas beliau lagi, Kerajaan negeri akan terus komited untuk membangunkan dan membimbing usahawan pengeksport ke dalam pasaran antarabangsa serta memperkukuh pasaran domestik bagi meningkatkan ekonomi Malaysia, khususnya di Melaka.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Eksport 2024 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, yang berlangsung baru-baru ini.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi MATRADE, iaitu YBhg. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menurut YBhg. Datuk Seri Reezal,
Saya berharap agar pelaksanaan Hari Eksport 2024 selama dua hari ini dapat meningkatkan jumlah pendaftaran syarikat pengeksport di Melaka, terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). Kerajaan negeri juga akan terus menggalakkan kedatangan pelabur dan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport di negeri ini.
Jelas YBhg. Datuk Seri Ab Ruf Yusoh pula,
Usahawan pengeksport juga perlu aktif memanfaatkan faedah yang disediakan oleh MATRADE untuk memastikan pelaksanaan setiap strategi dapat memberikan hasil yang maksimum, dan seterusnya meningkatkan keuntungan syarikat.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa kedudukan Melaka di antara Johor dengan Selangor memberikan banyak kelebihan kepada pelabur yang berhasrat menggunakan pelabuhan di bahagian selatan negara, seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) atau Pelabuhan Klang.
Menurutnya lagi, keadaan ini telah meningkatkan pelaburan di Melaka dengan jumlah perdagangan yang bernilai RM32.29 bilion pada tahun 2023.
Bagi tempoh Januari hingga April yang lalu, jumlah perdagangan di Melaka juga menunjukkan peningkatan sebanyak 24.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2023.
Ujar beliau,
Walaupun jumlah eksport Melaka pada tahun 2023 mengalami penurunan sebanyak 5.4 peratus kepada RM12.03 bilion berbanding dengan RM12.72 bilion pada tahun 2022, saya yakin bahawa inisiatif galakan seperti Hari Eksport 2024 ini akan dapat menyumbang kepada pemulihan prestasi nilai eksport. Ini disokong dengan kehadiran banyak syarikat yang berpotensi tinggi, terutama dalam sektor-sektor industri utama.
Sementara itu, YBhg. Datuk Seri Reezal turut menyatakan bahawa MATRADE menetapkan sasaran untuk eksport negara mencapai RM1.6 trilion menjelang akhir tahun 2024, setelah pencapaian sebanyak RM1.427 trilion pada tahun lalu.
Hingga lima bulan pertama tahun ini, jumlah eksport negara menunjukkan peningkatan dengan mencapai RM606 bilion dan dijangka terus meningkat. Kita yakin kerana matlamat mencapai RM1 trilion telah tercapai selama tiga tahun berturut-turut.
Jelasnya lagi, matlamat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk mencapai eksport bernilai RM1.5 trilion pada akhir 2025 telah pun tercapai pada tahun 2022.
