Diterbitkan pada 29 Jun 2024, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Portal MyInvois kini boleh diakses bagi tujuan pengeluaran dan penghantaran invois secara dalam talian dengan menggunakan e-Invois.

Ketersediaan Portal MyInvois ini membuktikan komitmen HASiL dalam usaha memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan dengan lancar terutamanya dalam kalangan pembayar cukai Fasa 1 yang akan menggunakan e-Invois secara mandatori mulai 1 Ogos 2024.

Menurut HASiL, pembayar cukai boleh mengemukakan e-Invois kepadanya melalui dua kaedah, iaitu Integrasi Application Programming Interface (API) bagi syarikat yang mempunyai sistem perisian sendiri; dan Portal MyInvois boleh diakses secara percuma di laman sesawang https://mytax.hasil.gov.my

“Terdapat dua fungsi utama Portal MyInvois yang tersedia untuk kegunaan pengguna, iaitu yang pertama ialah Pengurusan Profil bagi pengguna, pembayar cukai (syarikat), wakil, sistem ERP dan perantara.

“Yang kedua ialah Pengurusan Dokumen yang merangkumi pengemukaan, semakan, penolakan, pembatalan dan cetakan dokumen,” jelas HASiL melalui kenyataan pada hari ini.

Jelas HASiL, bagi memudahkan pengguna, HASiL turut menyediakan dua persekitaran yang boleh diakses oleh pembayar cukai.

“Persekitaran pertama ialah Persekitaran Pengujian (Sandbox) yang membolehkan pembayar cukai menguji fungsi yang disediakan dalam portal berkenaan sebelum menggunakan persekitaran sebenar (produksi).

“Maklumat yang dihantar ke Persekitaran Pengujian tidak akan disimpan dan direkodkan dalam pangkalan data HASiL dan Persekitaran Produksi,” jelasnya lagi.

Kata HASiL lagi, persekitaran kedua ialah Persekitaran Produksi yang membolehkan pembayar cukai mengemukakan e-Invois dengan maklumat sebenar untuk direkodkan dalam pangkalan data.

Untuk maklumat tambahan, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 3.0) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di Laman Mikro e-Invois di portal rasmi HASiL menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

Software Development Kit (SDK) versi 1.0 juga telah dikemas kini dengan fungsi terbaharu, iaitu pengesahan Tandatangan Digital.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung dengan pelaksanaan e-Invois dan Portal MyInvois boleh disalurkan melalui:

  • Meja Bantuan e-Invois HASiL melalui talian 03-8682 8000 (talian 24 jam);
  • Sembang langsung MyInvois;
  • E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan
  • Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi